Monday, May 11, 2009

Dari dangdut ke balada

TIDAK menghairankan dalam industri muzik negara apabila artis-artis beralih dari satu genre muzik ke genre muzik yang lain.

Misalnya dari balada ke pop rock, dari pop ke irama Malaysia dan begitulah sebaliknya.

Begitu juga yang terjadi dengan penyanyi yang berumur 23 tahun, Anis Aneesa atau nama sebenarnya Nuranishazwani Mushidi.

Mula memperkenalkan diri dalam bidang seni menerusi aliran muzik dangdut, kini Anis beralih arah ke genre muzik balada untuk memastikan dirinya terus bernafas dalam bidang seni suara ini.

"Peralihan ini bukan bermakna saya tidak menyukai irama tersebut, tetapi jiwa saya lebih kepada lagu-lagu balada," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang seni, Anis berkata, bakatnya mula digilap oleh Iwan (penyanyi dangdut) sekitar tahun 2005 di bawah label Iwan Entertainment.

"Memang pada awalnya, Anis agak keberatan untuk menyanyikan lagu-lagu dangdut, tetapi atas dasar kepercayaan Abang Iwan terhadap bakat Anis, maka Anis terima tawaran tersebut.

"Lebih-lebih lagi, Anis baru hendak berjinak-jinak dalam bidang seni. Tak salah rasanya jika Anis memulakan langkah dengan lagu berentak demikian untuk meletakkan nama Anis dalam industri muzik negara.

"Dan sekarang hasilnya, ada komposer-komposer terkenal yang nampak bakat Anis untuk menyanyikan lagu-lagu balada dan pop," ujarnya lagi.

Nyata, Anis bukan sekadar beromong kosong apabila komposer, Adnan Abu Hassan sudi berkerjasama dengannya untuk menghasilkan mini album yang bertajuk Anis Aneesa.

Lebih menarik lagi, apabila album yang mula dipasarkan pada Disember 2008 diterbitkan oleh syarikat Anis sendiri, Anis Sya MD Production.

"Alhamdulillah, selepas menjalani proses rakaman selama sebulan, impian Anis untuk memiliki album solo akhirnya tercapai.

"Dengan kos album tersebut sebanyak RM50,000, Anis berharap agar kehadiran Anis dapat diterima oleh peminat-peminat di Malaysia," kata Anis lagi.

Mini album Anis Aneesa ini memuatkan sebanyak empat buat lagu yang dihasilkan oleh Adnan Abu Hassan, manakala Anis sendiri bertindak sebagai penulis lirik selain daripada Faris Zailani.

Lagu-lagu yang terdapat dalam album tersebut ialah Kau Tetap Di Hati, Sekuntum Mawar Merah, Puteri Tarian Kasih dan Abadi Selamanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: