Gafim ajak ahli hadir taklimat Kempen Caruman Sukarela, esok di Finas
BIARPUN belum ada kata sepakat, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) tetap berusaha mencari formula terbaik untuk merealisasikan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kesemua ahli 11 persatuan naungannya.
Timbalan Presiden Gafim yang juga Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Syed Mohamed Hassan Ben Yahya, berharap pelaksanaan skim caruman itu dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa menyusahkan mana-mana pihak.
Sehubungan itu, Gafim katanya, mengajak semua ahli di bawah persatuan itu untuk menghadiri taklimat mengenai Kempen Caruman Sukarela KWSP di kalangan penggiat industri tanah air di Dataran Karyawan Finas, Hulu Klang, 9 Mei ini, jam 10 pagi.
“Kami cuba mencari persepakatan supaya skim caruman dibuat secara sukarela tanpa membebankan penerbit. Perbincangan diadakan secara terbuka supaya kedua-dua pihak iaitu penerbit dan penggiat industri mendapat manfaat daripadanya.
“Kami tidak mendesak cuma berharap akan berlaku perubahan kerana skim ini penting untuk masa depan penggiat industri,” katanya pada sidang media khas untuk menguar-uarkan mengenai kempen itu di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Finas, baru-baru ini.
Syed Mohamed berkata, hasil perbincangan bersama KWSP mereka sepakat supaya caruman untuk pekerja kontrak dibuat dengan jumlah paling kecil RM50 dan tidak melebihi RM5,000.
Bagaimanapun, katanya, mereka menyerahkan kepada budi bicara penerbit dalam menentukan jumlah caruman supaya tiada masalah timbul apabila pelaksanaannya dibuat kelak.
“Mungkin ia tidak memberi masalah kepada penerbit besar, namun Gafim juga mengkaji keupayaan serta masalah yang bakal dihadapi penerbit bebas dan kecil apabila pelaksanaan skim ini dipersetujui nanti.
“Disebabkan itu Gafim mempelawa semua yang berkaitan untuk berbincang bagi mencari kata putus dan pada masa sama, memberi keadilan kepada semua pihak yang terbabit.
“Bagaimanapun, kami sangat berharap ia dibuat secara sukarela untuk permulaan yang baik kepada pekerja industri hiburan,” katanya.
Usaha itu, kata Syed Mohamed, tidak akan terhenti sehingga termaktub sebuah klausa yang melindungi kebajikan pekerja industri untuk setiap kontrak yang ditandatangani.
“Perbincangan yang turut disertai wakil KWSP diharap memberi anjakan kepada industri, sekali gus membela nasib penggiatnya pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof, berkata kebanyakan artis veteran lebih bernasib baik kerana pendapatan mereka dicarumkan ketika berada di bawah pentadbiran studio dulu.
Apa yang berlaku ketika ini katanya, berpunca daripada kelemahan memperjuangkan kebajikan ahli persatuan yang berdiri di depan dan belakang kamera.
“Kita memiliki ramai artis tetapi yang berjaya boleh dikira dengan jari, sedangkan kebanyakan mereka mengumpul pendapatan sederhana.
“Atas kesedaran ini, kami berharap pendapatan mereka dicarumkan dan kedua-dua penerbit serta pekerja perlu bertanggungjawab kerana ia dibuat untuk mereka.
“Penerbit perlu melihat masalah penggiat industri kerana mereka tidak menerima royalti daripada setiap hasil kerja dilakukan.
“Jadi apa salahnya daripada peruntukan itu dikeluarkan sedikit untuk caruman kerana sekurang-kurangnya apabila tua nanti, mereka mempunyai pendapatan tanpa perlu bergantung kepada sumbangan serta bantu pihak lain,” katanya.
Hasil daripada kempen itu, Mustapha berharap kerajaan akan melihat masalah anak seni serta melakukan sesuatu sebagai pembelaan untuk hari akan datang.
“Kami akan lihat dulu bagaimana keputusannya nanti, di samping mengharap kuasa mereka yang berkaitan supaya usaha ini dipercepatkan,” katanya.
Awal tahun ini, persatuan itu turut mengemukakan cadangan kepada kementerian berkaitan untuk memperkenalkan Skim Pencen Finas.
Sehingga ini, maklumat mengenai semua ahli berdaftar sedang dikumpul untuk memastikan pelaksanaannya dibuat secara menyeluruh serta memberi jaminan kepada artis apabila menempuh usia emas.
Sidang media itu turut dihadiri Setiausaha Gafim, Mohd Khalim Rohani.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: