Jika anda berminat dengan sesebuah rumah yang diiklan untuk dilelong, sebelum membuat bidaan pergilah membuat pemeriksaan tentang persekitaran dan keadaan rumah terlebih dahulu.

![]() |
| MOHD. ALI ABDUL MAJIS |
MEMBELI rumah lelong bukanlah satu perkara yang negatif. Selain membantu pembeli terdahulu melangsaikan hutangnya dengan pihak bank, pembeli baru pula berjaya memperoleh hartanah pada kos yang diimpikan.
Menurut Pengurus Jualan yang juga jurulelong berlesen di Ehsan Auctioneers Sdn. Bhd., Mohd. Ali Abdul Majis, rumah lelong memberi peluang kepada pembeli memperoleh rumah idaman mereka pada harga yang mampu milik.
"Namun pada masa kini, masih ramai yang beranggapan rumah lelong adalah satu tabu di mana ia hanyalah rumah yang bermasalah.
"Ada di antara hartanah lelong ini satu permata bagi pembeli itu sendiri kerana lokasinya," ujar Mohd. Ali yang memaklumkan hartanah lelong mampu membantu pembeli berjimat.
Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada pelabur untuk membuat pelaburan dalam bidang hartanah.
Sungguhpun begitu, katanya, ramai yang tidak mengetahui mengenai perkara-perkara asas yang berkaitan lelongan hartanah.
"Dalam lelongan awam, seperti yang dikendalikan oleh Ehsan Auctioneers yang merupakan wakil pihak bank untuk lelongan hartanah, lelongan dilakukan terhadap hartanah yang dirampas daripada pemilik asal kerana tidak menjelaskan hutang mereka.
"Biasanya pemilik asal akan diberikan beberapa notis dan amaran oleh pihak bank.
"Sekiranya pembayaran masih tidak dilunaskan, pihak bank akan menghantar surat tuntutan bayaran sebelum rampasan harta dibuat," kata Mohd. Ali.
Beliau memaklumkan bahawa di Malaysia, hartanah dilelong pada harga pasaran yang telah dinilai oleh penilai profesional.
"Harga pasaran ini akan menjadi harga rizab atau permulaan dalam acara lelongan."
Setelah itu, pengisytiharan jualan untuk acara lelong akan dilaksanakan.
"Undang-undang telah termaktub bahawa hartanah yang dilelongkan perlu diiklankan. Antara tempat di mana maklumat tersebut boleh diperoleh termasuklah surat khabar, mahkamah dan pejabat tanah.
"Syarikat-syarikat lelong turut akan mengiklankan hartanah yang akan dilelongkan sama ada melalui risalah ataupun melalui laman sesawang," jelas Mohd. Ali yang memberitahu ia biasanya dilakukan 14 hari sebelum tarikh lelongan.
Pada hari lelongan, mereka yang berminat membeli suatu hartanah lelong perlu membawa kad pengenalan dan juga wang tunai antara lima sehingga 10 peratus sebagai deposit seperti yang ditetapkan oleh pihak bank.
Di samping itu, pembida juga perlu menyediakan dokumentasi berkaitan sekiranya ingin membuat pinjaman perumahan dengan pihak bank seperti salinan kad pengenalan, slip gaji dan borang taksiran cukai pendapatan.
Pembida hanya boleh membida hartanah yang telah didaftar lebih kurang sejam sebelum acara bermula.
"Bidaan terbuka tidak dilakukan semasa acara. Sekiranya tiga orang telah mendaftar pada satu hartanah, hanya mereka bertiga yang akan bersaing untuknya," jelas Mohd. Ali.
Pembida yang berjaya mendapat hartanah yang diingini setelah penukul diketuk di meja dan jurulelong mengisytiharkan si pembelinya.
"Apabila penukul muktamad dibunyikan, ia bermakna pembida itu adalah pembeli sah.
"Beliau tidak dibenarkan menukar fikiran terhadap pembelian itu," jelas Mohd. Ali.
Setelah itu, pembeli akan menandatangani dokumen kontrak jualan dan membayar baki deposit.
"Jualan lelongan dilakukan dengan telus kerana orang ramai dapat melihat sendiri bidaan yang dilakukan oleh mereka yang berminat."
Mohd. Ali menegaskan, pembeli perlu memeriksa hartanah yang diingini dengan cermat sebelum menyertai acara lelongan.
"Mereka perlu melihat lokasi hartanah dan keadaannya. Butir-butir dalam pengisytiharan jualan hanya mengandungi maklumat asas seperti alamat kediaman itu.
"Tinjauan terlebih dahulu dapat mengelakkan pembeli terkilan. Antara perkara yang perlu dilihat ialah sama ada kediaman itu berpenghuni dan keadaan rumah sama ada anda perlu melakukan banyak kerja penyelenggaraan atau tidak dan juga kos-kos tambahan lain seperti bil-bil yang tertunggak."
Mohd. Ali menjelaskan, terdapat sesetengah bank yang akan menanggung kos-kos penyelenggaraan dan ada juga yang tidak berbuat demikian.
"Oleh itu, pembeli haruslah mendengar dan mengetahui dengan teliti terma-terma dan syarat yang dikeluarkan oleh pihak bank.
"Jurulelong akan memaklumkan tentang perkara itu. Tetapi pembida perlu faham apa yang dimaksudkan," katanya lagi.
Menyentuh mengenai kediaman lelong berpenghuni, Mohd. Ali berkata, sungguhpun perkara itu jarang berlaku, namun ia adalah tanggungjawab pembeli untuk menguruskan situasi berkenaan khususnya apabila dokumentasi hak milik hartanah telah ditukarkan kepada nama pembeli baru.
Selain itu, pembida perlu memeriksa maklumat-maklumat hak milik sama ada ia bersamaan dengan maklumat yang tertera dalam notis pengisytiharan jualan.
Berpengalaman selama enam tahun dalam bidang lelongan hartanah, Mohd. Ali berkata, terdapat permintaan yang tinggi terhadap hartanah lelongan.
"Ini kerana bank-bank pada masa kini menawarkan kadar dan pakej pinjaman yang menarik.
"Orang ramai juga telah sedar tentang potensi besar hartanah-hartanah lelong ini

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: