KUALA LUMPUR: Kesedaran umat Islam tentang kepentingan zakat semakin meningkat apabila program-program luar anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ)- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus mendapat sambutan menggalakkan.
Penolong Pengurus Besar Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Eksekutif PPZ, Nor Mukshar Harun berkata, PPZ percaya program pendedahan tentang zakat lebih berkesan apabila ia dilakukan di luar pejabat dan melibatkan komuniti.
Katanya, sebagai amil yang bertanggungjawab membuat kutipan zakat, van-van bergerak PPZ sering digerakkan bagi membolehkan maklumat tentang zakat disampaikan secara langsung serta memudahkan umat Islam dalam urusan pembayaran zakat.
"Bila ada elemen maklumat dan kemudahan disediakan, InsyaAllah masyarakat Islam akan tunaikan zakat.
"Di Wilayah Persekutuan apa yang kita nampak orang ramai bukan tak mahu bayar zakat, mereka mahu... cuma mereka mahukan sedikit penjelasan dan maklumat serta urusan mereka dipermudahkan, itulah yang kita sedang lakukan," katanya yang ditemui selepas menghadiri program Santai@"School" anjuran bersama PPZ, KLfm dan SK Batu Empat (1) Jalan Ipoh di sini, Khamis.
Menurut Mukshar, PPZ sentiasa memahami kemungkinan masalah atau kekangan yang dihadapi masyarakat berkaitan zakat.
"Mungkin disebabkan kekangan tertentu masyarakat tak dapat maklumat jadi kami datang dengan van bergerak untuk beri maklumat seperti saluran pembayaran, pengiraan zakat dan sebagainya.
"Melalui pengamatan kita, mana-mana tempat yang kita pergi sambutannya memang menggalakkan...dulu kita ada sebuah van bergerak, sekarang sudah ada dua buah.
"Itu menunjukkan keperluan itu ada," katanya.
Mengulas mengenai program Santai@"School", beliau berkata, ia adalah satu majlis ilmu yang diadakan secara kolaborasi antara dua agensi dan sekolah.
"Hari ini sahaja kita telah mengutip kira-kira RM2,000 daripada guru-guru yang membayar zakat.
"Kita fokus kepada potongan gaji. Sambutan daripada ibu bapa juga memberangsangkan," katanya.
Katanya, program ini tidak memberi fokus sepenuhnya kepada zakat sebaliknya diadakan secara santai bagi membolehkan mesej dakwah zakat disampaikan kepada semua peringkat umur termasuklah pelajar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: