Monday, June 3, 2013
Najwa Latif mahu jadi pensyarah
SETELAH mengambil keputusan untuk berehat selama beberapa bulan kerana menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, kini penyanyi Najwa Latif semakin ligat membuat persembahan.
Menerusi laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Muka Buku itu kerap mengemaskini tentang aktiviti seninya termasuk lokasi dia mengadakan persembahan.
Ketika ditemui semasa majlis penutup Program IP Summer Camp 2013 di Sekolah Sri Puteri, Cyberjaya minggu lalu, Najwa menyatakan jadual nyanyiannya sekarang cukup padat dengan pelbagai tawaran yang diterima.
Menariknya, penyanyi yang telah mendapat keputusan 4A dalam peperiksaan SPM beberapa bulan lalu mendedahkan dia baru sahaja mendapat tawaran belajar dalam bidang muzik.
Kosmo!: Bagaimanakah dengan perkembangan terbaharu kerjaya Najwa sekarang?
Najwa: Selepas berehat panjang pada tahun lalu, kali ini barulah saya berpeluang untuk aktif menyanyi semula dan sekarang ini saya sibuk mengadakan siri jelajah showcase di beberapa buah negeri seperti Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.
Selain itu, saya sedang mempromosikan single terbaharu saya iaitu I Love You dan ia merupakan lagu kelima dalam album saya yang pertama. Saya juga sudah memuat naik teaser lagu tersebut di laman YouTube untuk tatapan peminat.
Boleh ceritakan sedikit tentang lagu I Love You itu?
Lagu berkenaan merupakan ciptaan saya sendiri dan liriknya pula dihasilkan oleh kakak saya iaitu Ika Latif. Ia menceritakan tentang kisah seorang wanita yang memendam perasaan terhadap seorang lelaki, tetapi takut untuk meluahkannya.
Sepanjang bergelar penyanyi, Najwa dilihat selalu berkolaborasi dengan kakak dalam penciptaan lagu. Adakah Najwa tidak berminat menyanyikan lagu daripada komposer yang lain?
Buat masa ini saya memang lebih selesa bekerjasama dengan kakak memandangkan kami agak rapat dan selalu bersama. Lagipun pada usia kami yang tidak jauh berbeza, dia lebih memahami cita rasa dalam menghasilkan lirik yang sesuai.
Namun begitu, saya tidak menolak menyanyikan lagu daripada komposer lain sekiranya bersesuaian dengan saya, malah sudah ada beberapa komposer yang berjumpa dengan saya dan memberikan lagu mereka.
Memandangkan kemasukan pelajar baharu ke institut pengajian tinggi (IPT) akan bermula, adakah Najwa tidak mendapat sebarang tawaran melanjutkan pelajaran ke mana-mana IPT?
Kira-kira dua minggu lalu saya sudah membuat semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan saya mendapat tawaran dalam jurusan Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi masih belum buat keputusan sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau sebaliknya.
Mengapakah tidak terima sahaja tawaran itu memandangkan sekarang Najwa memang terbabit dalam bidang muzik?
Sebenarnya saya lebih berminat mengikuti pengajian dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) kerana bercita-cita mahu menjadi seorang guru atau pensyarah Bahasa Inggeris.
Lagipun bidang nyanyian ini sebenarnya lebih kepada hobi sahaja dan rasanya lebih baik saya menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati untuk kebaikan masa hadapan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: