Sinar Harian kongsikan kisah seorang pejuang negara yang menentang komunis di sempadan negara sehingga takdirnya, kudung kaki kanan akibat terkena ledakan jerangkap samar musuh.
Orang yang dimaksudkan ialah Staf Sarjan (B) Md Rafizi Salleh, 70. Beliau mula berkhidmat dalam Batalion Ke 5, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada April 1966. Beliau mula bertugas di Sarawak ketika Persatuan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) menentang penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, termasuk tindakan Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia.
Beliau sertai siri operasi termasuk misi keamanan ketika berlakunya peristiwa Hartal pada awal 1967 di Pulau Pinang sebelum kembali semula ke Sarawak pada 1968 di akhir konfrontasi, dan detik 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur. Setelah bersara, beliau menganggotai Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Cawangan Hulu Selangor dan menjadi Pengerusi Biro Perladangan.
Tragedi berdarah
Peristiwa 10 Mac 1978, menjadi titik sejarah kelam dalam hidup Md Rafizi, ketika beliau menyertai Ops Sedar di Kedah, di persempadanan Malaysia - Thailand.
Kejadian berlaku detik jam 12 tengah hari apabila ledakan jerangkap samar di puncak Bukit Perenggan, Sungai Seraya, Sik, Kedah, mengejutkan 29 anggota yang bersiap untuk beredar ke kawasan lebih selamat.
Beliau yang mengetuai sebahagian anggota pasukan itu melakukan tinjauan kawalan keselamatan seluruh tempat mereka berehat.
“Kami kena berwaspada kerana bimbang jerangkap samar. Kawasan itu banyak pokok lobak hutan, jadi untuk keselamatan kami pijak daun lobak itu untuk kembali ke tempat rehat.
"Tapi masa pijak satu daun, terasa objek keras macam batu. Saya terus angkat kaki dan mendapati tin susu kosong dalam plastik dengan serpihan serbuk peledak," katanya.
Setelah maklumkan kepada OC, semua anggota diarahkan beredar dari kawasan itu. Walaupun ada yang sedang memasak ketika itu untuk makan tengah hari, semua bahan masak yang dah dikeluarkan disimpan semula termasuk beras yang berisi air,” katanya.
Ketika semua sibuk bersiap, Md Rafizi menyuarakan hasrat kepada OC untuk menghisap rokok sebentar.
“Saya nak pekena sedapu la tuan, saya kata. OC kata, lagi 10 minit kita bergerak, semua bersiap. Saya pun ambil rokok paip, letak mulut. Tapi terfikir, kalau komunis nampak saya sedang leka merokok boleh kena tembak.
“Jadi saya nak pergi ke arah seorang anggota yang memegang senjata automatik, untuk bantu backup jika diserang. Saya langkah dua langkah je, ‘duummm’!” Katanya sambil menunjukkan kaki kanannya yang hancur terkena ledakan jerangkap samar tersebut.
Operasi menyelamat
Beliau menyambung cerita berkata, suasana ketika itu begitu mencemaskan dan segera diberikan rawatan oleh anggota perubatan dalam kumpulannya.
“Serpihan bom kena celah kangkang, isi dan kulit kaki betis dan paha ‘bergelayut’. Tapi masa kena tu tidak rasa sakit. Saya fikir mungkin sebab kita tak rehat lagi lepas penat berjalan mengharungi sungai, bukit dan sebagainya. Jadi tak sakit.
“Masa tu tapak kaki hingga buku lali dah hancur. Selepas dua jam direhatkan sementara menunggu helikopter sampai, masa tu lah saya rasa sakit.
“Rupanya, masa rawatan tadi anggota perubatan dah beri suntikan morfin untuk menahan kesakitan. Jadi lepas dua jam baru terasa sakit. Darah banyak keluar, balutan kaki pun penuh dengan darah sampai kering kerongkong sebab dah hilang banyak darah,” katanya.
Md Rafizi berkata, beliau tidak dapat menahan dahaga ketika itu dan meminta OC yang berada di sisinya memberikan air segera.
“Saya minta nak minum sikit. OC kata, tak boleh minum lagi. Saya kata macam mana tuan saya dahaga sangat.
“Jadi, dia tebuk tin nenas di situ dan beri saya seteguk dua saja kemudian OC kata cukup tak boleh banyak. Dia tahulah kenapa tak boleh minum masa tu. Jadi saya tunggulah helikopter penyelamat sampai,” katanya.
Cerita beliau lagi, ketika dibawa naik menggunakan tali dan pengusung, sebatang pokok tiba-tiba patah terkena kibasan angin helikopter lalu menimpa kepala seorang komando yang turun menyelamatkan beliau sebelum menghempap pengusung dan nyaris terkena badannya. Bagaimanapun, mereka berdua selamat dan dibawa ke Hospital Alor Setar untuk rawatan sepenuhnya.
Tambah Md Rafizi lagi, ketika insiden itu menimpanya, isterinya, Kasmariah Baki, sedang sarat mengandung anak ketiga mereka dan alangkah terkejut isteri beliau sebaik dimaklumkan mengenai kejadian malang itu.
Segalanya takdir ALLAH SWT, Md Rafizi selamat menjalani pembedahan dan rawatan selama enam bulan.
Sepanjang dua bulan pertama rawatan, beliau terpaksa memikirkan isterinya yang akan bersalin, sebab itu beliau mengambil keputusan untuk membawa isterinya pulang ke rumah bapa mertuanya di Kalumpang, Hulu Bernam, Selangor.
Di sana, beliau menjalani rawatan susulan di sebuah hospital di Kinrara, Puchong. Setelah sembuh, Md Rafizi mula menggunakan kaki palsu hinggalah sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: