Sunday, June 30, 2013

Aksi lucu Jet Li



JET LI dikatakan membawa karakter yang berbeza untuk filem ini.



TIDAK sah filem kung fu tanpa kelibat Jet Li. Malah lelaki berumur 50 tahun itu sudah terlibat dengan lebih 43 buah filem yang kebanyakannya genre aksi. Bukan itu sahaja, Li yang sebelum ini muncul dalam filem The Flying Sword of Dragon Gate dan The Sorcerer and the White Snake, diberikan peranan polis yang mempamerkan ketangkasannya berkung fu.
Filem itu merupakan filem keempat gabungan Li dengan aktor, Wen Zhang. Zhang baharu sahaja muncul dalam Journey to the West yang diarahkan oleh Stephen Chow. Sebelum ini, mereka pernah terlibat dalam filem The Sorcerer and the White Snake yang menyaksikan Li memainkan peranan guru dan Zhang memainkan peranan sebagai pengikutnya.
Chui Po Chun, penerbit untuk filem Badges of Fury mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam penerbitan filem termasuk filem seperti siri Once Upon a Time in China, Crouching Tiger Hidden Dragon dan Tai Chi Master.
Filem ini turut dibintangi para pelakon Hong Kong yang terkenal serta veteran seperti Raymond Lam, Michael Tse, Kevin Cheng, Leung KaYan, Stephen Fung, Alex Fong Lik Sun, Stephy Tang Lai Yan dan Josie Ho Chiu Yi.

ANTARA babak lucu yang akan memikat hati penonton.


Pakar kung fu seperti Wu Jing, Colin Chau dan Leung Siu juga membuat penampilan khas dan bakal membuatkan khalayak teruja dengan kemunculan mereka.
Filem aksi tidak akan sempurna tanpa bimbingan pakar koreografer aksi. Filem Badges of Fury ini dibimbing oleh Corey Yuen, seorang pakar koreografer aksi yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dengan pelbagai filem Hong Kong serta Amerika seperti The New Legend of Shaolin, The Expendables, X-Men dan The Transporter.
Dalam satu temu ramah yang diadakan di Beijing, China untuk promosi filem yang telah mula ditayangkan pada 27 Jun lalu, Li memberitahu bahawa dia sebenarnya teringinkan watak jahat yang dibawakan oleh Chau.
“Saya tidak tahu kenapa Zhang boleh menyukai tiga orang gadis dalam filem ini manakala saya hanya duduk di sebelah dan bercakap perkara-perkara yang menyakitkan hati,” ujar Li dalam nada lucu dengan menambah dia agak iri hati dengan Zhang yang memonopoli perhatian gadis-gadis dalam filem ini.

LI (kiri) bergandingan dengan pelakon Zhang untuk filem Badges of Fury.


Buat Michelle Chen yang merupakan bunga dalam filem ini, dia mengaku berhadapan banyak cabaran kerana tidak pernah terlibat dengan filem aksi komedi.
“Saya terlalu baru untuk genre komedi, jadi rentaknya merupakan sesuatu yang sangat saya titik beratkan. Namun, bekerja dengan Li sangat menyeronokkan. Saya sangat terkejut melihat dia sebenarnya boleh menjadi nakal. Dia akan berjenaka dan membuat kami semua ketawa pada setiap hari. Dia berusaha untuk membuatkan semua yang terlibat berada dalam mood yang menyenangkan kerana kami berada dalam filem bergenre komedi,” kata Chen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: