Saturday, June 29, 2013

Audi R8 enjin V10



AUDI R8 merupakan antara bintang utama dalam filem adiwira Iron Man.



JENTERA Audi R8 tahun 2013 kini semakin agresif. Jentera itu sudah melepasi fasa transformasi yang melibatkan aspek rangkaian kuasa dan reka bentuk.
Pengimport rasmi kenderaan Audi di Malaysia ialah Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil).
Pembaharuan bahagian rangkaian kuasa melibatkan penukaran sistem transmisi Audi R8 kepada sport S tronic tujuh kelajuan klac berkembar. Model sebelumnya menggunakan kotak gear jenis R tronic automatik manual.
Sistem transmisi baharu itu tidak menjejaskan kuasa tarikan jentera. Malah membolehkan penukaran gear dibuat dengan lebih pantas.
Dengan adanya mode pemanduan sport, ia membantu menyelaras corak penukaran gear dan mengekstrak kuasa terbaik daripada enjin V10 tersebut.
Dengan adanya fungsi kawalan pelancaran, ia membantu mengawal kelajuan enjin dan membenarkan kadar gelinciran roda yang bersesuaian sewaktu jentera dipecut.
Transmisi itu dipadankan dengan enjin 5.2 liter V10 FSI dan berupaya menjana kuasa maksimum sehingga 525hp pada 8,000rpm. Tork pula setinggi 530Nm @ 6,500rpm.
Jentera itu berupaya memecut dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 3.6 saat. Kelajuan maksimum boleh dicapai ialah 314km/j. Kadar penggunaan bahan api ialah 13.1 liter bagi setiap 100km.
Casis kereta berprestasi tinggi itu dihasil menerusi teknologi daripada bidang sukan bermotor. Sistem suspensi (double wishbone) jentera diperbuat daripada tempaan aluminium.
Sistem suspensi itu dilengkapi rendaman magnetik untuk mode pemanduan biasa dan sport. Stereng kuasa R8 pula menyampaikan maklum balas yang dikategorikan sebagai amat sensitif.
Wajah hadapan R8 diberi gril rekaan baharu. Corong kemasukan udara pada bampar hadapan kini disalut kemasan krom.
Diod pemancar cahaya (LED) digunakan pada set lampu utama bahagian hadapan dan belakang. Ia merupakan ciri standard Audi R8.
Lampu hadapan juga didatangkan bersama DRL LED. Lampu isyarat membelok telah diadun bersama set lampu utama.
Enjin jentera boleh kelihatan menerusi cermin belakang. Pengguna memiliki opysen untuk menggunakan kemasan karbon dan pencahayaan LED pada penutup ruang enjin.
Ruang kabin memaparkan lencana R8 pada beberapa bahagian. Antaranya, tombol gear, sil pintu dan skrin monitor meter.
Rekaan semula bahagian dalaman membabitkan gugusan meter dan paddle shifter. Konsol tengah, brek tangan dan sistem audio kini dibalut material kulit.
Tempoh jaminan diberikan adalah empat tahun atau jarak perbatuan 120,000km (mana-mana tiba dahulu).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: