Saturday, June 29, 2013

Perkukuh jenama Lexus di Malaysia



LEXUS Malaysia dilihat terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan premium Jepun di Malaysia menerusi pelancaran model Lexus IS serba baharu pada malam Rabu lalu.
Dipertontonkan kepada tetamu jemputan dan rakan media di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Lexus IS itu bakal meneruskan kejayaan model generasi kedua yang mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2007.
Model baharu generasi ketiga itu memberi fokus kepada aspek prestasi, reka bentuk dan keselamatan.
"Ketika model IS terdahulu diakui sebagai cetusan sebenar perwatakan reka bentuk sport dalam kelasnya, IS baharu melangkah lebih jauh dengan memberi fokus kepada pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.
"Semua aspek dalam IS baharu telah dijurutera semula. Fokusnya adalah untuk menambah baik aspek prestasi sport, pengendalian responsif, tindak balas tepat terhadap input pemandu dan maklum balas komunikasi yang terbaik," kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki.
Tidak dapat dinafikan bahawa Lexus telah mengotakan janjinya untuk mencapai satu lagi kecemerlangan menerusi Lexus IS baharu. Harus tahu bahawa jentera itu menampilkan lebih daripada 12 ciri baharu dan inovasi teknikal.
Tidak ketinggalan, IS baharu juga mempamerkan ruang dalaman serba baharu yang kemas. Di samping menggabungkan ciri keselesaan dan kualiti yang tidak akan menghampakan pemiliknya.
Pendek kata, IS baharu ialah sebuah kereta yang menawan dari luar dan dalamannya. Ia berpaksikan kepada falsafah rekaan L-finesse yang juga menjadi inspirasi ke atas setiap model baharu Lexus hari ini.

ISMET (kiri) dan Paul Caroll ketika melancarkan Lexus IS baharu di bilik pameran Lexus di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada malam Rabu lalu.


IS menyerlahkan ciri-ciri unggul sebuah Lexus. Ini termasuklah lampu dan gril radiator yang sofistikated. Wajah IS nyata begitu agresif, selari dengan identiti jenama Lexus yang kukuh.
"Saya bangga untuk menyatakan bahawa IS ini bukan sahaja sebuah kereta yang kelihatan sangat bagus dari segi reka bentuknya. Malah keselesaan dan kemewahan juga menerajui kelasnya.
"Ia sebuah kereta yang mampu memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dengan pengendalian hebat, tahap keselamatan terbaik dan penjimatan bahan api optimum," tambah Ismet.
Empat Varian
Lexus Malaysia menawarkan IS melalui empat varian iaitu IS 250, IS 250 Luxury, IS 250 F Sport dan IS 300h yang merupakan model hibrid. Tiga model dengan sistem pacuan roda belakang itu menggunakan khidmat enjin bersesaran 2.6 liter V6.
Menurut Ismet, setiap varian tersebut memiliki keterampilan tersendiri. Sementara varian hibrid pula menawarkan keseimbangan di antara prestasi tiada tandingan dan pada masa yang sama mesra alam sekitar.
Enjin 2.6 liter V6 itu berupaya menghasilkan kuasa maksimum 205hp @ 6,400rpm dan tork mencecah 252Nm @ 4,800rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik yang dikawal secara elektronik (Super ECT) bersama mode Sport.
Lexus IS 300h pula merupakan sebuah jentera hibrid sepenuhnya yang juga menggunakan sistem pemanduan roda belakang. Rangkaian kuasanya terdiri daripada gabungan motor elektrik berkuasa dan enjin bersesaran 2.5 liter yang baru dibangunkan.
Enjin petrol empat silinder dengan sistem kitaran Atkinson tersebut mengetengahkan sistem suntikan bahan api D-4S baharu, Dual VVT-i dan sistem Exhaust Gas Recirculation (EGR) berkecekapan tinggi. Sistem itu menyasarkan pengeluaran emisi CO2 bawah 100 g/km. Selain purata penggunaan bahan api 20.4km/liter yang menerajui segmennya.
Harga? Lexus IS boleh anda miliki pada harga bermula RM269,900 hingga RM333,000 (F-SPORT) dan RM383,000 untuk varian IS 300h.

RUANG kabin Lexus IS yang mewah, selesa dan sporty.


Demi meningkatkan keupayaan dan penerimaan produknya, Lexus Malaysia akan terus menawarkan harga yang terbaik. Dengan pelbagai ciri-ciri reka bentuk dan teknologi maju, syarikat itu percaya bahawa terdapat Lexus untuk setiap pelanggan.
Sebenarnya tempahan bagi Lexus IS baharu sudah pun bermula pada 19 Jun lalu. Lexus Malaysia mengunjurkan untuk menjual lebih daripada 60 unit Lexus IS baharu menjelang akhir tahun ini.
Majlis pelancaran Lexus IS diakhiri dengan pengumuman pembukaan tiga lagi pusat Lexus di Ipoh, Kuching, dan Melaka pada suku keempat tahun ini.
Pembukaan tersebut menjadikan jumlah pusat Lexus di seluruh negara kepada lapan buah.
Ia diyakini dapat memenuhi permintaan yang kian meningkat. Selain menyediakan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan Lexus dan memberikan hospitaliti terbaik Lexus.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin; Timbalan Pengerusi, UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Datuk Syed Hisham Syed Wazir serta Naib Presiden Divisyen Asia Pasifik Lexus, Toyota Motor Asia Pasifik, Paul Carroll.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: