Wednesday, June 26, 2013

Ayu Damit Serik Ditipu Penganjur Ribuan Ringgit

Ayu Damit
KUALA LUMPUR: Penyanyi Ayu Damit mengakui agak sukar untuk dia menguruskan kerjaya nyanyiannya sendiri memandangkan tidak mempunyai pengalaman selain pernah ditipu pihak penganjur.
Ayu, 24, berkata, peristiwa mengalami kerugian ribuan ringgit apabila dia tidak mendapat bayaran ketika membuat persembahan di Johor benar-benar membuatkan dia serik. "Baru-baru ini saya telah ditipu oleh seorang penganjur di Johor Bahru dan inilah kali pertama saya melalui dugaan seperti ini sejak menguruskan kerjaya sendiri lebih kurang setahun.
"Memang susah sebenarnya kalau nak uruskan diri sendiri. Berbeza dengan keadaan dahulu ketika saya mempunyai syarikat pengurusan (Monkey Bone), mereka boleh mengaturkan jadual nyanyian saya.
"Ketika di bawah mereka, saya cuma perlu membuat persembahan terus tanpa memikirkan bagaimana nak berurusan dengan pihak penganjur. Terutamanya apabila membincangkan berkaitan dengan bayaran," katanya.
Tambah ibu kepada dua orang anak ini lagi, membuat perbincangan harga bayaran dengan pihak penganjur sendiri juga membuatkan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang rendah.
Sementara itu, Ayu berasa rindu dengan populariti yang pernah diraih dahulu apabila sering menghadiri pelbagai aktiviti nyanyian di televisyen serta acara-acara korporat.
"Memang saya rindu dengan zaman saya yang sering membuat persembahan televisyen serta acara-acara hiburan yang besar. Bukan kerana populariti tetapi suasana kerjanya sangat berbeza.
"Jika dahulu satu atau dua kali seminggu saya hanya memenuhi undangan persembahan pentas dengan pendapatan yang agak tinggi,” ujarnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain Ayu dalam proses menyiapkan single terbaharunya berjudul Hati Ini di bawah syarikat pengurusan baru iaitu Onez Entertainment.
Ayu baru mengikat kontrak selama setahun dengan syarikat tersebut dalam menguruskan kerja-kerja seninya.
Dalam pada masa sama dia juga turut bekerja sebagai penyanyi di Restoran Cerana, Cheras, dekat sini pada setiap malam dari hari Isnin sehingga Rabu.
Selain itu Ayu juga akan mengadakan persembahan sepanjang bulan Ramadan di Hotel Royal, Bukit Bintang, di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: