Saturday, June 29, 2013

Air perigi boleh terus diminum




SEKITAR pukul 10 pagi, Hasnah Martin, 43, sudah bersiap-siap untuk ke bandar Semporna, Sabah bagi mendapatkan bekalan air bersih. Hasnah menyiapkan dua tong berkapasiti 10 liter air yang kemudiannya dimuatkan di dalam bot.
Rutin dua kali seminggu itu dilakukan bersama beberapa penduduk Pulau Dewanan. Kepada ibu tunggal dua anak itu, keperluan air bersih sangat kritikal untuk diminum dan kegunaan memasak.
Apa yang dilakukan oleh Hasnah itu bukanlah sesuatu yang baharu. Hakikatnya, wanita berbadan agak gempal itu mewarisinya sejak berdekad-dekad daripada ibu bapa dan nenek moyangnya.
Bagi mendapatkan air bersih itu, Hasnah perlu meredah perjalanan selama satu jam meredah Laut Celebes dari Pulau Denawan.
"Di Pulau Denawan, penduduk hanya bergantung kepada bekalan air perigi. Kebanyakan perigi digali oleh penduduk kampung berhampiran kediaman mereka untuk mandi dan membasuh pakaian," kata Hasnah ketika ditemui.
Setiap kali ke Semporna untuk mendapatkan air paip, perkara utama yang bermain di fikiran Hasnah ialah kos pengangkutan. Untuk ke Semporna, bot perlu diisi minyak petrol. Jika tidak, harapan untuk mendapatkan air bersih sekadar impian.
Hasnah sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu restoran di Tawau lapan tahun lalu kembali ke kampung halaman selepas kematian suami.
Situasi sukar untuk mendapatkan air bersih di Pulau Denawan itu tidak hanya dialami oleh Hasnah seorang. Sebaliknya, kira-kira 1,400 penduduk berketurunan Bajau Palauh dan Bajau Suluk yang rata-ratanya terdiri daripada nelayan.
Perigi teknologi solar
Tambah Hasnah, air perigi di pulau itu tidak cukup bersih untuk memasak. Selain air perigi, penduduk pulau juga bergantung kepada tadahan air hujan sebagai alternatif mendapatkan bekalan air.
Kini, penduduk Pulau Denawan tidak perlu bimbang mendapatkan bekalan air bersih. Rutin berulang-alik ke Semporna yang memerlukan kos sebanyak RM20 semata-mata untuk mendapatkan air bersih juga sudah bernoktah sejak sebulan lalu.

RUTIN harian Hasnah (kanan) lebih mudah selepas pembinaan perigi Air Untuk Manusia di pulau kelahirannya itu.


Melalui projek Air Untuk Kemanusiaan, sebuah perigi yang menggunakan sistem teknologi solar telah dibina.
Perigi yang menempatkan dua buah tangki simpanan air yang setiap satunya mampu menampung isipadu 1,500 liter pada satu-satu masa itu merupakan harapan baharu kepada penduduk Pulau Denawan. Paling menggembirakan penduduk, air daripada perigi itu boleh terus diminum melalui paip yang disediakan.
Projek anjuran syarikat minuman Coca-Cola Malaysia itu diusahakan bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid).
Pengarah Komunikasi dan Pengurusan Awam Coca-Cola Malaysia, Mohamed Kadri Mohamed Taib memberitahu, projek di Pulau Denawan itu merupakan salah satu usaha Coca-Cola untuk memelihara sumber air di seluruh dunia.
Menurutnya, usaha itu juga merupakan salah satu cara untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan sumber air bersih.
"Air merupakan antara sumber utama yang digunakan dalam setiap penghasilan produk Coca-Cola. Tanpa air, maka tiada produk Coca-Cola. Jadi salah satu tanggungjawab sosial syarikat (CSR) kami ialah untuk berbakti kepada masyarakat yang memerlukan air.
"Pihak kami menyimpan rekod penggunaan sumber air yang diambil dari alam semesta untuk tujuan perniagaan. Usaha di Pulau Denawan ini juga merupakan komitmen Coca-Cola di seluruh dunia iaitu memberi semula air yang telah digunakan kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.
Mohamed Kadri menjelaskan, rekod penggunaan air Coca-Cola dikira berdasarkan pemprosesan 1,000 tin air dalam masa seminit. Pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memberi kembali sumber air yang telah digunakan menjelang tahun 2020.
"Kerjasama Coca-Cola dengan Muslim Aid merupakan salah satu usaha kami untuk mencapai sasaran itu. NGO itu juga mempunyai visi yang sama iaitu untuk membantu sesiapa sahaja tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Pulau Denawan baru-baru ini.
Muslim Aid merupakan sebuah NGO yang membantu membasmi kemiskinan dan mendidik anak-anak yang kurang bernasib baik di seluruh dunia. Air Untuk Manusia di Pulau Denawan merupakan projek kedua usaha sama antara Coca-Cola dan Muslim Aid selepas kejayaan projek yang sama di Pulau Mabul tahun lalu.
Air penyebab kematian
Majlis pelancaran Air Untuk Manusia yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pulau Denawas, Semporna hujung Mei lalu ternyata memberi peluang kepada penduduk pulau itu untuk mengetahui cara-cara menggunakan air perigi.
Selain itu, pihak yang bertanggungjawab dalam kajian dan pemasangan perigi solar di Pulau Denawan ialah Institut Kajian Tenaga Solar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diwakili oleh Timbalan Pengarahnya, Dr. Mohd. Hafidz Ruslan dan Pengarah Eksekutif Solartif Sdn. Bhd., Shamsul Ezan Zairi. Mereka memberi penerangan mengenai penyelenggaraan perigi kepada penduduk pulau.

MASYARAKAT Bajau Suluk dan Palauh turut mendiami perairan di sekitar Pulau Denawan.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK), Pulau Denawan, Abdul Ghani Mahajud, 56, melahirkan rasa syukur apabila ada pihak yang prihatin mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk di pulau itu.
Menurutnya, pulau itu mempunyai sejarah hitam yang disebabkan oleh kekotoran yang berpunca dari sumber air di situ kira-kira sepuluh tahun lalu.
"Pada tahun 2003, 36 penduduk kampung meninggal dunia dalam tempoh sebulan akibat penyakit taun. Ketika itu, penduduk hairan mengenai penyakit yang melanda kampung sehingga ada yang berhijrah ke Semporna.
"Hasil siasatan Jabatan Kesihatan Semporna mendapati penyakit itu disebabkan oleh bakteria yang terkandung dalam sumber air iaitu perigi di pulau ini," ujarnya yang turut merasai kesedihan peristiwa itu apabila beliau kehilangan seorang anak manakala seorang lagi mengalami cacat penglihatan kekal.
Ceritanya lagi, selama dua minggu pihak Jabatan Kesihatan Semporna memberi ubat pencegahan penyakit taun kepada penduduk kampung dan selepas itu tiada lagi kematian disebabkan sumber air direkodkan di pulau itu.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Muslim Aid, Habsah Marjuni memberitahu, NGO itu menyampaikan hasrat dan hajat syarikat Coca-Cola Malaysia untuk membantu masyarakat yang memerlukan air bersih di Malaysia.
"Mengikut perancangan awal, usaha ini sepatutnya dilaksanakan pada bulan Februari lalu. Namun, disebabkan pencerobohan pengganas Sulu, kami terpaksa menangguhkan projek ini pada bulan Mac. Projek ini mengambil masa tiga bulan untuk siap sepenuhnya.
"Projek ini juga merupakan salah satu cabaran kepada kedua-dua belah pihak kerana pelbagai aspek yang perlu dititik beratkan terutamanya keselamatan dan pengangkutan ke sini," ujarnya.
Habsah juga selama ini tiada pihak berwajib yang tampil membantu penduduk dalam menangani masalah air di pulau itu.
"Rakyat Malaysia perlu berkunjung ke pulau ini untuk melihat kehidupan penduduk di sini. Kita dapat lihat kesukaran penduduk untuk mendapatkan air bersih. Seharusnya nasib mereka ini dibela sejak dahulu lagi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: