Tuesday, June 25, 2013

Sepatu mewah buat wanita



SEPATU dengan kemasan hitam diberi sentuhan emas pada tumitnya.



KEGILAAN wanita terhadap sepatu membuatkan mereka sanggup melaburkan wang ringgit bagi mendapatkan rekaan yang menawan hati.
Tidak hairanlah, jika almari kasut wanita melimpah-limpah dengan deretan koleksi pelbagai warna, jenama dan reka bentuk.
Kasut bukan sahaja dijadikan pelindung untuk kaki tetapi menjadi perlambangan kepada gaya keseluruhan kaum Hawa. Ia merupakan pelengkap kepada busana yang dipakai dan mempunyai pelbagai fungsi bagi menampakkan lagi keanggunan mereka.
Bak kata-kata ikon legenda, Marilyn Monroe, 'Berikan si gadis sepatu yang betul dan dia akan menawan dunia', ternyata kasut ibarat perhiasan utama dan wajib bagi seseorang wanita.
Jenama kasut mewah buatan Malaysia, Xalf hadir dengan koleksi baharu yang dinamakan Metamorphosis sebagai manifestasi kepada kejituan dan kematangan seorang wanita.
Terkenal dengan konsep Bespoke, Xalf memberi penghargaan kepada kaum wanita yang bersungguh-sungguh menjalani kehidupan seharian.
Terdapat 11 koleksi pelbagai reka bentuk boleh menjadi pilihan kaum wanita yang diserikan dengan warna-warna memukau mata. Ia tidak terhad kepada kasut bertumit tinggi, Xalf turut menawarkan kasut balet leper untuk keselesaan si pemakai.
Sepatu Acmon pula diperbuat daripada kulit paten dan dipadankan bersama alur emas. Ia nampak manis dipakai ketika dalam penerbangan jarak jauh atau sekadar bersantai pada hujung minggu.
Tampil bergaya ke majlis makan malam dengan menyarungkan kasut Anise yang berkualiti kulit lembu kemasan hitam beralur. Tambah menarik apabila tumit kasut diberi sentuhan warna kontra.
Inginkan rekaan berlainan, kasut Monarch bertepatan dengan cita rasa tinggi anda. Ia diliputi kain renda berkualiti bersama padanan warna merah bagi menampakkan gaya mewah dan anggun seorang wanita.
Mengambil inspirasi ketangkasan harimau bintang, kasut Zilpa menyerlahkan sisi berani seorang wanita yang mahukan gaya ala sub-Sahara Afrika. Padankan ia bersama gaun pendek singkat bagi menonjolkan aura kejelitaan anda.
Beranikan diri kala menyarungkan kasut tumit tinggi Indra yang mempunyai ukuran lima inci. Jika mahukan gaya elegan pilih sepatu Pima yang mempunyai kemasan renda jarang disokong dengan tumit emas.
Sepatu Xalf berharga antara RM590 hingga RM1,150 sepasang. Kesemua koleksi baharu jenama ini boleh dilihat menerusi laman web www.xalfdesign.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: