Sunday, June 23, 2013

Kedai penggemar barangan terpakai


MOHD. ISRAQ (dua dari kanan) memperoleh idea untuk membuka perniagaannya selepas menonton program American Pickers.


SELEPAS menonton program televisyen, American Pickers di saluran National Geographic, Mohd. Israq Yacob mendapat idea untuk membuka kedai menjual perabot terpakai.
Program televisyen itu mengisahkan perjalanan dua orang pembeli barang terpakai di Amerika Syarikat.
Kedai SEC2NDHAND SHOP yang terletak di Jalan Gombak, Kuala Lumpur itu bukan sahaja menjual perabot tetapi juga barang elektronik, sukan dan pelbagai kelengkapan pejabat.
Pelbagai barang koleksi turut dijual di kedai tersebut.
Menurut Mohd. Israq, dalam program televisyen itu, dua orang pembeli tersebut membeli barang-barang antik dan koleksi yang mahu dibuang.
“Mereka membeli apa sahaja yang boleh membawa keuntungan.
“Dari situlah, bermula idea membuka kedai itu. Saya juga merupakan penggemar barangan terpakai.
“Sebelum membuka kedai barangan terpakai itu, saya sememangnya gemar membeli barangan di laman web mudah.my dan boleh dikatakan pada setiap hari, saya akan membuka laman web tersebut untuk melihat iklan-iklan terbaharu yang dimuat naik oleh para pengiklan.
“Idea perniagaan itu juga timbul selepas saya mengunjungi kedai barangan terpakai dan selepas mendapati golongan Bumiputera jarang menceburi perniagaan tersebut.
“Jadi, tidak ada salahnya saya mencuba sesuatu yang baharu dan setakat ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan walaupun kami baru sahaja beroperasi dua bulan,” ujarnya yang mengusahakan kedai barangan terpakai itu bersama isterinya, Ellie Syahhidah Abd. Rahman, 33.
Harga murah
Menurut bapa kepada empat orang anak itu, pada mulanya, dia hanya menjual barangan terpakai menerusi internet selama sebulan sebelum membuat keputusan untuk membuka kedai.
“Sebelum membuka kedai itu, saya terlebih dahulu mengumpul dan membeli barangan terpakai yang diperoleh daripada pelanggan-pelanggan di sekitar Lembah Klang dengan mengiklannya di laman web mudah.my.
“Saya juga memuat naik di Facebook gambar barangan terpakai yang dibeli dari semasa ke semasa bagi memberi pilihan kepada para pelanggan.
“Melihat sambutan yang menggalakkan daripada peminat barangan terpakai itulah, menyebabkan saya membuka kedai bagi memudahkan para pelanggan melihat sendiri barangan yang terdapat di kedai kami itu.
“Kami turut membeli barangan terpakai yang masih elok dan berkualiti pada harga yang berpatutan. Para pelanggan masih boleh membuat rundingan berhubung dengan harga,” jelasnya yang turut memberitahu golongan sasarannya ialah para pelanggan daripada kelas pertengahan.
Lelaki berusia 32 tahun itu memperoleh barangan terpakai seperti perabot daripada warganegara asing yang mahu berpindah ke negara asal mereka, pemilik rumah yang mahu berpindah dengan segera dan pemilik yang mahu membeli barangan baharu.
“Apa sahaja barangan terpakai yang diperoleh melalui pelanggan akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dijual semula.
“Ada juga pelanggan yang agak terkejut kerana tidak menyangka barangan terpakai yang dibeli masih kelihatan baharu.
“Pada kebiasaannya, kami akan meletakkan harga sebanyak 50 peratus lebih murah berbanding harga asal barangan tersebut,” tambahnya.
Mohd. Israq berkata, semasa membeli daripada pelanggan, beliau akan menetapkan harga berdasarkan keadaan barangan tersebut yang dibawa kepadanya.

PELBAGAI barangan terpakai seperti perabot, barangan koleksi, barangan elektronik dan alat kelengkapan pejabat boleh diperoleh pada harga murah di SEC2NDHAND SHOP ini.


Promosi
“Barangan yang paling laris setakat ini sudah tentulah perabot.
“Kami turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan dengan kadar bayaran sebanyak RM60 di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Mohd. Israq berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada para pelanggan yang mahu menjual barangan mereka tanpa dikenakan sebarang caj.
Bagaimanapun katanya, para pelanggan perlu menghantar sendiri kepadanya barang bersaiz besar seperti perabot dan kecil ke kedainya itu.
“Pelanggan yang mahu menjual barangan terpakai perlu berhubung dengan kami terlebih dahulu bagi memudahkan kami melihat keadaan barangan yang mahu dijual untuk tujuan penetapan harga.
“Setakat ini, kami hanya berurusan dengan pelanggan di sekitar Lembah Klang sahaja.
“Kami merancang untuk mengembangkan perniagaan ini ke luar Lembah Klang.
“Pihak kami juga mahu membuka cawangan lain.
“Selain itu, kami turut menjalankan promosi dari semasa ke semasa.
“Antara promosi itu ialah pemberian dua tiket dewasa ke Taman Tema Legoland, Johor Bahru bagi pembelian barangan sebanyak RM500 ke atas dan baucar sebanyak RM100 untuk pembelian barangan melebihi RM1,000,” berkata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: