Monday, June 24, 2013

Yuna nafi Lelaki ditujukan buat Qi

YUNA mengakui dia dan Julian kini masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing.


KETIKA ini lagu berjudul Lelaki nyanyian dan hasil ciptaan oleh penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna semakin kerap berkumandang di stesen-stesen radio tempatan serta menjadi siulan ramai.
Di sebalik populariti yang diraih lagu berkenaan, sebenarnya timbul sedikit persoalan.
Ini kerana apabila menghayati setiap lirik yang dihasilkan olehnya seolah- olah seperti dituju kepada seseorang.
Bagaimanapun, Yuna menerusi sidang video Skype bersempena konsert sulungnya di Istana Budaya menjelaskan bahawa Lelaki lebih bersifat umum dan langsung tidak ditujukan kepada bekas kekasihnya, Qi Razali.
“Kalau ada yang menyangka lagu Lelaki saya tujukan kepada Qi, ternyata ia tidak benar sama sekali. Ini kerana ia sudah dihasilkan sejak lebih setahun yang lalu.
“Ketika saya mencipta lagu berkenaan, kami masih lagi menjalinkan hubungan percintaan, malah Qi turut serta menemani saya ketika ia dirakamkan di studio,” ujarnya yang kini melebarkan kariernya dengan berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Biarpun lagu itu dilihat seolah-olah seperti memarahi lelaki, Yuna menyatakan bahawa ia disampaikan dalam bentuk yang lebih humor dan dia gembira apabila ia semakin diminati ramai.
Pada masa yang sama, Yuna turut diminta mengulas mengenai hubungannya dengan jejaka Inggeris bernama Julian Schratter memandangkan gambar mesra mereka berdua sering dimuat naik di laman Instagram. Dia bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenainya.
Menurutnya, ketika ini dia mahu memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyiannya di Amerika Syarikat terlebih dahulu dan kurang selesa apabila kisah peribadinya menjadi terlalu sensasi.
“Kalau diminta komen saya mengenai hubungan dengan Julian, rasanya jawapan yang diberikan ini pastinya agak klise. Namun begitu, saya akui kami masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
“Jadi, saya minta maaf kerana tidak dapat bercerita lanjut kerana ia cukup peribadi untuk dikongsi. Lagipun saya mengambil pengajaran terhadap kegagalan dalam percintaan yang dialami sebelum ini,” ujarnya.

SUASANA pada sidang video menerusi Skype antara Yuna di Amerika Syarikat bersama media Malaysia yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Berkenaan dengan kerjayanya di Amerika Syarikat pula, Yuna memberitahu, ketika ini dia sedang dalam proses menghasilkan album keduanya di negara tersebut yang dijangka berada di pasaran pada bulan Oktober depan.
“Proses penerbitan album baharu ini masih lagi berjalan dan sebanyak 20 buah lagu telah saya pilih. Namun, hanya 10 lagu yang disenarai pendek untuk dimuatkan dalam album berkenaan,” jelasnya.
Ujar Yuna, biarpun jadual nyanyiannya sekarang terlalu padat memandangkan dia akan mengadakan konsert di Istana Budaya pada bulan September depan, dia yakin albumnya itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Konsert sulung
Ketika sedang berusaha mengembangkan karier nyanyiannya di negara yang digelar Uncle Sam itu, Yuna bakal mengadakan konsert sulungnya di Istana Budaya pada 6 hingga 8 September depan.
Jelas Yuna, dia menganggap konsert berkenaan sebagai suatu penghormatan buat dirinya apabila dapat menjayakan persembahan di sebuah tempat yang cukup berprestij serta diiringi oleh Orkestra Seni Kebangsaan (OSK).
“Sudah tujuh tahun saya terbabit dalam bidang nyanyian, pastinya mengadakan persembahan di Istana Budaya merupakan suatu impian yang sudah lama terpendam.
“Saya berterima kasih kepada pihak Istana Budaya dengan peluang yang telah diberikan ini. Saya berharap agar akan ada lebih ramai lagi penyanyi muda seperti saya dapat beraksi di pentas ini pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, hasrat untuk membawa Yuna sudah lama dirancang dan kini ia baru dapat dilaksanakan.
Ujarnya, beliau telah bertemu sendiri dengan bapa penyanyi itu semasa Yuna menerima anugerah Ikon Seni Budaya Negara sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55 di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.
“Hasil perbincangan yang dilakukan akhirnya ayah Yuna telah memberikan persetujuan dan sudah tentu pihak Istana Budaya begitu teruja kerana dapat membawa seorang penyanyi yang hebat,” jelasnya.
Menurut Juhari, pemilihan Yuna dibuat berdasarkan pencapaian yang telah diraihnya sepanjang bergelar penyanyi serta popularitinya yang semakin melonjak, terutamanya dalam kalangan penuntut universiti di Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: