Saturday, June 22, 2013

Pulau Mutiara syurga makanan



PENGIKTIRAFAN George Town, Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 26 Julai 2008 memang keputusan yang tepat.
Pelbagai tarikan dapat disaksikan di pulau tersebut seperti bangunan, budaya, makanan dan lokasi untuk beriadah seisi keluarga.
Salah satu tarikan yang mungkin sudah sebati dengan kehidupan masyarakat di negeri tersebut ialah makanan yang disajikan di lorong-lorong jalan.
Nasi kandar antara makanan yang cukup sinonim dengan Pulau Pinang. Jadi, kunjungan ke Pulau Mutiara seakan-akan tidak lengkap sekiranya tidak menikmati hidangan tersebut.
Nasi kandar merupakan nasi putih yang dihidangkan bersama kari dan bermacam-macam pilihan lauk seperti ikan, ayam, sotong, udang dan daging. Kepada mereka yang menggemari makanan yang berempah dan pedas, nasi kandar merupakan pilihan yang tepat.
Antara gerai yang menjadi tumpuan ramai ialah Nasi Kandar Imigresen. Gerai itu dibuka setiap hari dari pukul 11.30 pagi hingga 10 malam kecuali hari Jumaat.
Setelah tiga kali berusaha mencari lokasi tersebut, akhirnya kami menemui gerai tersebut. Ia terletak di Lorong Pasar, Jalan Masjid Kapitan Keling iaitu di depan Kafe Asia.
Di gerai ini disediakan beberapa buah kerusi dan meja untuk pelanggan menjamu selera. Ada juga pelanggan Kafe Asia yang menempah hidangan istimewa itu.
Kafe Asia merupakan kedai kopi Cina lama dan banyak poster-poster lama di dinding kedai itu.
Meskipun jam menunjukkan pukul 11.45 pagi, namun pelanggan sudah mengerumuni gerai tersebut. Ada yang membeli untuk makan di gerai, tidak kurang yang membungkus untuk dibawa pulang. Ia menjadi tumpuan pelanggan berbilang kaum.
Nasi kandar
Beroperasi sejak 15 tahun lalu, Nasi Kandar Imigresen antara gerai yang mendapat perhatian di negeri ini. Pada asalnya, kedai tersebut didirikan di belakang bangunan Imigresen Pulau Pinang sebelum berpindah ke lokasi sekarang.
Menikmati sepinggan nasi dengan campuran lauk daging, sotong dan sayur serta campuran kuah kari membuatkan sepinggan nasi licin dalam masa yang singkat.
MI goreng hasil tangan Mahboob terkenal dalam kalangan pelanggannya.


Masakan yang dihidangkan terasa enak dan tidak hairanlah jika gerai itu menjadi tumpuan pelanggan.
"Saya memasak lauk-pauk di rumah sebelum dibawa ke gerai ini. Nasi kandar lebih sedap dinikmati jika nasinya dilimpahi kuah kari," kata pemilik gerai, Sikkandar Dulkarunai Mohd. Noordeen, 59. Selain mengambil empat orang pekerja, anak lelakinya, Faizal Ali, 23, turut membantunya di gerai.
Selepas kenyang makan nasi kandar bersama air sirap, saya dan jurugambar, Zaini Husin meneruskan misi mencari beberapa buah gerai lain.
Sebelum itu, Pengurus Palanquinn Heritage Suites (Palanquinn), Cheah Leong Keah mencadangkan kami mencuba mi goreng di Lorong Bangkok. Palanquinn merupakan sebuah hotel butik yang juga terletak di Lorong Bangkok.
"Saya sangat sukakan mi goreng di gerai ini kerana rasanya agak masam dan sedap dimakan. Saya juga boleh meminta mi goreng banjir iaitu diletakkan lebih banyak kuah sambal," katanya yang merupakan pelanggan tetap mi goreng gerai di lorong tersebut.
Leong Keah juga menyatakan, keenakan makanan di Pulau Pinang termasuk mi goreng tersebut membuatkan dia tidak mahu menetap di luar negara.
Sebelum terbabit menguruskan hotel itu beberapa tahun lalu, dia pernah belajar dan bekerja di luar negara tetapi telah mengambil keputusan nekad kembali ke Pulau Mutiara.
"Saya rindu hendak menikmati mi goreng yang telah sebati dengan saya sejak zaman kanak-kanak. Selain itu, saya juga mempunyai pelbagai makanan kegemaran di George Town yang sukar hendak diperoleh di luar negara," katanya yang sebelum ini belajar di London, Britain.
Mi goreng
Apabila sampai di lokasi tersebut, saya dapati, gerai mi goreng itu terletak di dalam Kedai Kopi Sing Lee. Dari jauh kelihatan seorang lelaki, Mahboob Mohd. Zakaria, 57, lincah memasak mi. Aksi dan gayanya menarik perhatian kami. Bunyi sudip terkena kuali dan pekerja yang sibuk melayan tempahan pelanggan membuktikan betapa mi goreng ini mempunyai keunikan tersendiri.
"Cili, tomato dan sos saya buat sendiri, kemudian campur ubi kentang, cucur udang, sotong, telur dan tauge. Mi goreng ini memang asli, masakan stail lama," katanya. Menurut Mahbood, keluarganya telah berniaga di Pulau Pinang sejak lapan dekad lalu dengan menolak kereta empat roda dari satu tempat ke tempat lain.
Jelasnya, sejarah pembabitan keluarganya dalam perniagaan mi goreng tersebut sebenarnya lebih panjang iaitu sebelum berhijrah ke Malaysia lagi. Ketika itu, datuknya memulakan perniagaan di India dan setelah berhijrah ke Pulau Pinang dia meneruskan kerjaya tersebut dengan pelanggan utama merupakan pekerja-pekerja buruh.

George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia kerana mempunyai bangunan-bangunan lama yang unik dan bersejarah.


Ketika pemerintahan British di Pulau Pinang, para peniaga jalanan tidak dibenarkan beroperasi dan jika ditangkap akan dirotan. Bagaimanapun, datuknya tetap berniaga tetapi secara sembunyi-sembunyi.
Dalam pada itu, sepinggan mi goreng campur sotong berharga RM5 manakala mi goreng bersama telur berharga RM4. Gerai tersebut dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 6 petang kecuali hari Isnin.
Roti bakar benggali
Walaupun perut masih kenyang, namun untuk menolak sepinggan mi goreng bercampur sotong amat sukar. Kami dapati mi goreng itu agak kering namun sedap dinikmati ketika masih panas. Rasa masam memang kuat tetapi rasanya sangat sedap. Tidak hairanlah mengapa kedai kopi itu sentiasa penuh terutama pada waktu tengah hari.
Di hadapan gerai mi goreng tersebut terdapat peniaga yang menjual roti bakar dan telur separuh masak.
Walaupun makanan ini kelihatan biasa sahaja, ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Menggunakan roti benggali, roti tersebut dibakar menggunakan arang sekali gus menjadikannya beraroma harum. Roti itu kemudiannya disapu marjerin dan kaya.
Telur separuh masak di gerai milik Abdul Manaf Jahir, 59, terasa enak dan garing.
"Saya menggunakan roti benggali kerana rasanya lebih sedap jika dibakar dengan arang manakala telur rebus dimasak menggunakan air yang betul-betul panas supaya telur menjadi separuh masak," katanya. Lelaki itu telah berniaga sejak tujuh tahun lalu dan mempunyai ramai pelanggan tetap termasuk di luar Pulau Pinang.
Hidangan tersebut menjadi lengkap apabila dinikmati secara set iaitu dua keping roti bakar bersama dua biji telur rebus yang berharga RM2.40. Harganya jauh lebih murah berbanding di Kuala Lumpur.
Menurut Abdul Manaf, perniagaan itu diwarisi daripada bapanya yang memulakannya sejak 63 tahun lalu. Gerai tersebut diuruskannya sejak tujuh tahun lalu setelah bapanya yang berusia lebih 80 tahun tidak larat untuk menguruskannya. Gerai itu dibuka setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 5 petang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: