Sunday, June 23, 2013

Cara pelajar tahfiz meraikan Syaaban




LAZIMNYA pada malam Nisfu Syaaban pada tahun-tahun sebelum ini, Muhammad Amir Zakwan Mahayudin hanya mengikut bapanya menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan rumahnya.
Begitupun, akui remaja yang berusia 14 tahun itu, dia mula menyedari makna sebenar hari istimewa berkenaan selepas memasuki Akademi Darul Huffaz yang terletak di Taman Putra Kajang, Kajang, Selangor.
"Dulu, saya hanya menunaikan solat sunat tetapi selepas menyertai akademi ini, malam Nisfu Syaaban yang menandakan kedatangan bulan Ramadan semakin hampir, diraikan dengan pelbagai amalan," katanya ketika ditemui di akademi tahfiz berkenaan.
Muhammad Amir yang memakai jubah dan kopiah putih berkongsi pengalamannya menghidupkan malam Nisfu Syaaban pada tahun lalu.
Menurutnya, ia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan kerana kesemua pelajar Akademi Darul Huffaz melakukan qiamullail, berpuasa, menghafal al-Quran dan banyak lagi.
Malam
Bagaimanapun, pada mulanya, dia mengakui agak sukar untuk melakukan aktiviti-aktiviti tersebut secara serentak apatah lagi terpaksa memendekkan waktu tidur untuk qiamullail.
"Ketika itu, agak sukar untuk membuka mata tetapi disebabkan penglibatan guru-guru dan rakan-rakan yang ramai, ia menyemarakkan lagi suasana pada malam itu," jelasnya.
Nisfu Syaaban merupakan hari ke-15 bulan Syaaban. Pada tahun ini, Nisfu Syaaban jatuh pada hari Isnin ini. Ia dianggap sebagai bulan pemisah kerana ia memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.
Jika Rejab dianggap sebagai bulan ujian dan Ramadan sebagai bulan latihan, maka Syaaban adalah bulan persediaan serta persiapan melakukan kebaikan sebanyak mungkin termasuk memerangi nafsu.
Justeru, umat Islam disarankan meningkatkan amal ibadah kerana kemuliaan Syaaban bukan sekadar memberi rahmat dan pengampunan malah ganjaran pahala berganda kepada mereka yang benar-benar menghidupkan bulan itu.
Menurut ulama, antara amalan yang digalakkan dalam bulan Syaaban ialah puasa sunat, bertaubat dan istighfar, zikir, berselawat, banyakkan berdoa dan bersedekah.

AKADEMI Darul Huffaz di Kajang menekankan pembelajaran agama tanpa mengabaikan subjek akademik.


Dalam pada itu, bermacam-macam aktiviti disusun di Akademi Darul Huffaz sepanjang 15 Syaaban. Bagi Muhammad Amir, dia tidak melepaskan peluang meningkatkan hafalannya.
Pada kebiasaan, dia akan menghafal tiga baris ayat al-Quran sehari, namun hafalannya semakin meningkat menjelang 15 Syabaan.
"Walaupun agak penat, ia aktiviti yang menyeronokkan kerana boleh diraikan secara ramai-ramai.
"Lagipun, kami di Akademi Darul Huffaz tidak mensia-siakan ketibaan 15 Syaaban kerana ia hadir sekali dalam setahun," tuturnya.
Selain Muhammad Amir, Muhammad Umar Aziz Norazha, 14, turut merasai kemeriahan 15 Syabaan di akademi yang sama.
Anak jati Selangor itu sebelum ini menuntut di sekolah menengah biasa. Sekitar setahun yang lalu, ibu bapanya menghantar Muhammad Amir ke akademi tersebut.
Walaupun sekolah tersebut menekankan aspek keagamaan tetapi modul pembelajaran di Akademi Darul Huffaz tetap sama dengan sekolah menengah yang lain.
Di sini, pelajar didedahkan dengan pembelajaran akademik seperti mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains.
Apa yang membezakan sekolah itu daripada sekolah biasa ialah subjek hafalan al-Quran dan tempoh pembelajaran subjek-subjek lain disingkatkan daripada satu jam kepada setengah jam sahaja.
Menyedari kelainan sekolah itu, ibu bapanya membuat keputusan untuk menghantar Muhammad Amir ke sekolah swasta berkenaan.
Biarpun terpaksa menyesuaikan diri ke alam persekolahan yang baharu, anak ketiga daripada lima adik-beradik itu tidak mempunyai sebarang masalah.
Bahkan, remaja yang telah berjaya menghafal tiga juzuk al-Quran itu mengakui banyak kelebihan belajar di sekolah agama kerana selain dapat menguasai al-Quran, dia berpeluang memantapkan tulisan jawi.
Ilmu agama
Berbicara mengenai kelebihan menuntut di sekolah agama, Muhammad Umar berkata, dia dapat menimba banyak ilmu agama.
SELAIN berpuasa, pelajar akan mengikuti pembelajaran seperti biasa.


"Memang sekolah biasa ada belajar subjek Agama cuma ia tidak mendalam," pintasnya.
Menyentuh mengenai bulan Syaaban, sebelum ini dia mengetahui amalan-amalan yang perlu dilakukan terutama pada 15 Syaaban cuma ia tidak dipraktikkan di sekolah mahupun rumah.
"Apabila menyertai akademi ini, barulah saya memahami erti 15 Syaaban," katanya.
Sementara itu, pengasas akademi itu, Sheikh Lokman Shazly Al-Hafiz Al-Maulawi Zaharin Chulan Biodata, 42, berkata, pihaknya menyusun pelbagai program sebelum 15 Syaaban.
Beliau berkata, kesemua pelajar akan bermalam di akademi itu sempena sambutan Nisfu Syaaban.
"Malam Nisfu Syaaban sangat penting apatah lagi ia hari penutupan 'akaun' (buku catatan amalan) sepanjang tahun lalu, jadi seelok-eloknya kita melakukan aktiviti yang diredai Allah," katanya.
Menyentuh aktiviti yang dijalankan, beliau menjelaskan, kesemua pelajar di situ akan melakukan qiamullail, menghafal al-Quran secara beramai-ramai, tahlil, berpuasa dan membaca surah Yasin.
Menurutnya, kehadiran pelajar yang ramai menyemarakkan lagi suasana 15 Syaaban. Pada kebiasaan, selain berpuasa sunat, pelajar akan mengikuti pembelajaran seperti biasa.
Selepas berbuka puasa, mereka akan bersolat dan menghafal al-Quran beramai-ramai.
Akademi Darul Huffaz ditubuhkan pada November 2007 dan mempunyai lebih 500 pelajar.
Penubuhan akademi itu bertujuan melahirkan hafiz-hafiz al-Quran dalam kalangan profesional.
Bagi seorang kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Syed, dia tidak pernah ketinggalan meraikan 15 Syaaban di masjid.
Bagaimanapun, Syed mengakui tidak ramai yang datang untuk menunaikan solat sunat Syaaban kecuali ahli masjid yang sudah biasa menunaikan solat jemaah di masjid.
"Mungkin ramai yang tidak mengetahui keistimewaan 15 Syaaban berikutan tiada publisiti meluas mengenai hari berkenaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: