Saturday, June 22, 2013

Perkampungan tebing curam Itali



RUMAH Bangsawan yang dinamakan Le Sirenuse ini merupakan sebuah tempat penginapan berkonsep seni bina Eropah abad ke-17.


POSITANO merupakan sebuah perkampungan lereng bukit yang terletak di pesisir pantai Amalfi di Compania, Itali. Kunjungan ke Positano membuka ruang untuk pelancong mengenali dengan lebih dekat tentang struktur binaan yang menegak ke atas bukit dan diselangi dengan laluan sempit di celah-celah kediaman.
Pengunjung boleh berhenti berehat di mana-mana sahaja untuk menjamu selera kerana terdapat banyak restoran yang menawarkan hidangan tradisional Itali di sana.
Mereka boleh mencuba laluan perjalanan dari Chiesa Nuova hingga ke S. Maria del Castello, Positano untuk menikmati pemandangan indah sungai dan alam semula jadinya.
Pada Zaman Pertengahan, Positano merupakan sebuah pelabuhan di Republik Amalfi yang berkembang maju pada abad keenam dan ketujuh. Namun, pada abad kesembilan pelabuhan tersebut mengalami zaman kejatuhan sehingga menyebabkan separuh daripada populasinya berhijrah ke Australia.
Positano menjadi kawasan tumpuan bagi golongan nelayan pada abad ke-20 dan telah menarik ramai pengunjung untuk melawati perkampungan unik tersebut sekitar tahun 1950-an. Pelancong asing berminat mengunjungi kampung nelayan tersebut selepas membaca artikel yang ditulis oleh John Steinbeck pada tahun 1953 yang bertajuk Positano bites deep.

INILAH perkampungan lereng bukit Positano di Itali yang terkenal dalam kalangan pelancong.


Perkampungan nelayan
Positano merupakan sebuah lokasi impian yang sangat unik dan selepas meninggalkannya ia sering terbayang-bayang dalam kenangan anda.
Positano pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa filem terkenal Hollywood seperti Only You (1994) dan Under The Tuscan Sun (2003). Ia juga menjadi lokasi tahunan penganjuran Festival Kartun Teluk yang mempertandingkan pelbagai anugerah kecemerlangan dalam bidang filem animasi.
Bagi yang ingin menikmati keindahan Positano, anda boleh ke sana dengan menaiki pesawat menuju ke lapangan terbang terdekat iaitu Napoli-Capodichino dan Salerno-Pontecagnano yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Positano.
Jika anda gemarkan percutian santai dan keindahan alam semula jadi, terdapat beberapa rumah ladang dan kampung yang menawarkan tempat penginapan yang selesa.
Salah satu daripadanya ialah Rifugio degli Dei iaitu sebuah rumah ladang yang dibina pada pertengahan abad ke-18. Ia diubah suai pada tahun 2007 untuk dijadikan tempat penginapan pelancong dari seluruh dunia.
Di rumah ladang tersebut, pengunjung berpeluang menikmati pemandangan keseluruhan kampung Positano yang menakjubkan dan keindahan Pulau Li Galli dengan suasana yang damai lagi menenangkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: