Wednesday, June 26, 2013

Teknologi HTD merawat kayu



FRIM bekerjasama dengan Advance Low Pressure System untuk mengkomersialkan teknologi HTD.



INSTITUT Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya mempatenkan teknologi baharu merawat kayu tanpa menggunakan bahan kimia melalui sistem pengeringan suhu tinggi (HTD).
Teknologi itu mampu menyelesaikan masalah industri kayu terutamanya pengeluar perabot berasaskan kayu getah. Ini kerana pihak tersebut sering berdepan syarat perdagangan ketat termasuk produk mesra alam.
Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, sistem itu bukan sahaja dapat menghapuskan penggunaan bahan pengawet, malah menjimatkan masa kitaran pemprosesan sehingga lebih 75 peratus.
Tambahnya, kualiti kayu getah yang dirawat melalui sistem itu mempunyai kestabilan dimensi lebih tinggi berbanding kayu yang dirawat secara konvensional.
Jelasnya ketika ini, lebih 90 peratus kilang-kilang pengeringan di rantau Asia Tenggara menggunakan sistem konvensional pemanas stim pada suhu di bawah 80 darjah Celcius.
Pada kebiasaannya, kayu perlu dirawat dengan bahan pengawet seperti borates untuk mencegah kulat dan serangan perosak kayu yang dirawat dengan kaedah konvensional.
"Saya percaya teknologi ini mempunyai potensi untuk meletakkan Malaysia antara negara pertama di dunia yang menawarkan kayu terawat selamat dan mesra alam," katanya sambil memberitahu, sistem HTD boleh digunakan untuk merawat spesies kayu lain.
Mengulas lanjut mengenai sistem itu, beliau berkata, FRIM memperoleh paten untuk teknologi HTD daripada Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (USPTO) pada Mac lalu.
Seterusnya, FRIM memfailkan paten di Malaysia dan enam negara lain iaitu Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India.
Sehubungan itu, pihak FRIM bekerjasama dengan Advanced Low Pressure System Sdn. Bhd. (ALPS) untuk mengkomersialkan teknologi HTD yang telah menubuhkan dua unit sistem HTD di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Justeru, FRIM akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia serta Majlis Kayu Kayan Malaysia untuk menganjurkan sebuah forum yang menyasarkan pembabitan pengeluar perabot dan mereka yang terlibat dalam industri perkayuan untuk mempromosikan sistem HTD.
Menurut beliau lagi, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan terutamanya daripada pengeluar kayu getah seperti China, Thailand dan India.
Melihat kepada senario itu, FRIM akan menjalankan penyelidikan lanjut untuk menguji penggunaan sistem HTD terhadap spesies kayu lain seperti akasia dan kelapa sawit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: