Tuesday, June 25, 2013

Jari palsu untuk bekas ahli yakuza



MEMOTONG jari adalah simbol kesetiaan dalam kalangan ahli yakuza, namun ia membuatkan mereka sukar kembali kepada masyarakat yang mudah mengenali identiti ahli yakuza melalui kecacatan jari itu.



LELAKI itu berdepan banyak halangan setelah bertahun-tahun menjadi ahli sebuah organisasi mafia paling ditakuti di Jepun iaitu yakuza.
Malah ketika itu, dia bertindak memotong tiga jarinya semata-mata untuk memuaskan hati bosnya.
Bagaimanapun, dia mengambil pendekatan yang bijak apabila menggunakan jari prostetik bernilai ribuan dolar yang direka menyerupai jari asal.
"Kamu boleh lihat jari-jari ini kelihatan begitu hidup. Hanya sekali ada orang menyangka ia jari palsu. Orang itu merupakan seorang wanita tua berusia 70-an. Saya memberitahunya, kecederaan ini berlaku di sebuah kilang," kata Toru, 53.
Seperti mafia Itali atau kongsi gelap Cina, kumpulan yakuza turut terlibat dalam perjudian, dadah, pelacuran, pinjaman haram, wang perlindungan dan jenayah kolar putih.
Seramai 63,200 orang menjadi ahli yakuza dan para pemerhati berkata, peraturan tegas yakuza diwarisi daripada samurai iaitu sekitar abad ke-17 dan ke-18.
Toru (bukan nama sebenar) pernah menawarkan perlindungan terhadap premis-premis bar dan kelab di Kabukicho, Tokyo iaitu daerah lampu merah yang merupakan sebuah kawasan pelacuran.
Dia sangat berjaya dalam memastikan geng pesaing tidak memasuki kawasannya selain menyalurkan wang kepada seniornya.
Namun suatu hari, salah seorang ahli kumpulannya ditangkap di wilayah larangan kerana mencuri dan penggunaan dadah.
Bagi meredakan kemarahan bosnya dan membuktikan kumpulannya benar-benar telah bertaubat, Toru memotong bahagian atas jari kelengkeng kiri.
Kemudian, dalam dua kes yang berlainan, dia memotong pula jari kelengkeng tersebut hingga ke pangkal jari selain hujung jari kelengkeng sebelah kanan.
"Saya bertemu dengan isteri saya sekarang dan ingin berkahwin dengannya tetapi mustahil baginya untuk berkahwin dengan lelaki yakuza. Jadi, saya berhenti," kenangnya.
Sudah pasti, seseorang itu tidak boleh berhenti begitu sahaja daripada yakuza. Kamu perlu menawarkan korban. Sebagai contoh, satu jari manis.
Dahulu, jari yang hilang itu merupakan simbol penghormatan sebagai bukti kepada ahli-ahli gengster lain bahawa Toru seorang yang setia, bekerja keras dan sanggup berkorban. Kini, kecacatan itu menjadi halangan kepada orang yang mahu insaf kerana sukar diterima masyarakat.

JARI palsu silikon sangat mahal di Jepun, namun ia berjaya mengembalikan kehidupan asal bekas ahli kumpulan yakuza untuk bersama masyarakat.


Sangat mencabar
Hidup sebagai katagi, gelaran bagi individu gengster yang telah insaf agak sukar. Malah, syarikat-syarikat besar tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan yakuza.
Salah satu cara Toru adalah dengan mendapatkan jari-jarinya semula. Toru telah mendapatkan perkhidmatan pakar prostetik, Shintaro Hayashi yang mereka tiga jari silikon lengkap dengan kedut dan garis-garis halus.
Hasil kerjanya begitu halus, Hayashi mengimplan setiap bulu menggunakan rerambut daripada tangan dan bahu Toru bagi memberikan kesan jari yang seakan-akan hidup,
"Saya bayangkan saya sebagai Gappetto," kata Hayashi yang merujuk kepada watak tukang kayu yang mencipta Pinocchio.
Kebanyakan pelanggan Hayashi merupakan mereka yang hilang tangan, kaki atau telinga dalam kemalangan atau kecacatan sejak lahir dan lebih kurang lima peratus merupakan bekas ahli yakuza.
Sebuah acuan silikon sangat mahal, lebih kurang AS$3,000 (RM9,465) untuk satu jari, tetapi ia memudahkan prostetik dan secara relatif murah untuk penggantian semula apabila jari palsu sudah lusuh atau koyak.
"Saya perlu membuat jari yang baharu setiap tiga bulan," kata Toru.
Ia merupakan kerja yang sangat berbaloi sehingga dia dapat membuat pengubahsuaian bangunan syarikat bagi menjadikan pekerjaan itu sah.
"Saya mempunyai sebuah kedai yang menjana kira-kira RM1 bilion setahun," katanya.
Ketika ditanya mengapa dia bersetuju untuk menjalankan sesi temu bual itu, Toru berkata, kehidupan ahli yakuza bergelumang dengan jenayah tetapi mereka masih berpeluang menjalani kehidupan lain.
"Mereka boleh menjadi lebih baik jika bekerja keras walaupun telah kehilangan beberapa jari. Kehidupan ini lebih mudah," ungkapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: