Yana Samsudin
Yana Samsudin
BERGELAR selebriti terkenal barangkali menjadi momen yang diidamkan.Apatah lagi sering mendapat perhatian apabila pergi ke mana sahaja dan juga peminat yang sentiasa setia di sisi.

Biarpun nampak manis luarannya, namun hakikatnya apabila bergelar seorang artis atau selebriti, mahu atau tidak, tiada lagi istilah kehidupan peribadi kerana semuanya akan menjadi perhatian.

Inilah yang harus dilalui aktres dan juga pengarah, Yana Samsudin yang terpaksa mengorbankan waktu peribadinya.

Tidak sekadar itu, ke mana sahaja dia pergi dan apa sahaja yang dibuatnya pasti menjadi perhatian, termasuklah kehadiran Yana ke sebuah majlis anjuran sebuah syarikat korporat di Shah Alam.

Semuanya gara-gara sekeping gambar Yana di sisi lelaki berkulit putih yang juga anak seorang tokoh korporat. Lebih menarik perhatian, apabila mereka berdua dikatakan sudah bertunang dan bakal menamatkan zaman bujang pada penghujung tahun ini.

“Pertama kali mengetahui gosip ini bertebaran, saya hanya ketawa dan bersangka baik dan mengatakan ini semua perhatian mereka yang mengambil berat mengenai saya.

“Mungkin juga mereka mahu mengetahui cerita terbaru mengenai saya dan tidak hanya cerita karier semata-mata dan ada juga sesetengah orang di sini sememangnya lebih gemar membaca cerita mengenai gossip,” ujarnya tenang kepada Zass.

Bukan pertama kali dikaitkan dengan jejaka dalam hidupnya, Yana mengakui dia sudah lali apatah lagi pengalaman selama 10 tahun berada dalam industri seni banyak mematangkannya.

“Saya tidak mahu cepat melenting. Tapi dari sudut kurang baiknya pula, perkara sebegini boleh menimbulkan salah faham. Ia juga melibatkan maruah saya dan keluarga.

“Saya tak mahu ada yang berkecil hati dengan saya dan menganggap saya tidak mengundang pihak-pihak tertentu ke majlis pertunangan saya, walhal saya tidak pernah dirisik, jauh sekali bertunang,” jelasnya.

Ditebak mengenai status dirinya, Yana berkata, “Seperti biasa, saya masih lagi single. Apabila tiba masanya, jika benar saya dirisik dan akan bertunang, saya pasti akan berkongsi khabar gembira ini kepada semua.

“Namun, buat masa ini saya harap peminat dan pihak lain bersabar dan janganlah buat spekulasi bukan-bukan mengenai diri saya,” katanya.

Yana Super Cookish

Dalam pada itu, ditebak mengenai aktivitinya menjelang Ramadan ini, Yana berkata, dia kini mula sibuk dengan perniagaan biskut raya di bawah jenama Yana Super Cookish.

Katanya, biarpun ada yang merasakan dia jarang muncul di kaca televisyen, dia masih aktif dalam bidang lain.

“Resipi ini sememangnya dari saya dan apabila saya sibuk, pekerja saya yang akan buat biskut ini. Antara biskut yang saya jual adalah Choco Kak Yong, Super Star Berry, Hazel Ball dan lima lagi seleksi pilihan,” katanya.

Yana berkata, buat masa ini dia sudah merancang untuk membuka sebuah booth di USJ 1, Subang Jaya ketika Ramadan ini, namun segalanya masih dalam perancangan.

“Kalau ikut perancangan memang di situlah, tapi saya takut ada perubahan. Selain booth, saya juga turut melantik ejen di seluruh Malaysia untuk menjual biskut saya dan sesiapa yang berminat boleh mendapatkan melalui agen saya termasuk di Singapura dan Brunei.

“Saya juga bersyukur kerana belum pun puasa, sudah ada tempahan yang dibuat dan ia adalah perniagaan yang saya sudah mulakan sejak tahun lalu,” katanya.

Tahun bonus

Dalam pada itu, Yana sempat berkongsi kegembiraannya apabila mengukir kemenangan berganda di Anugerah Blockbuster selepas memenangi trofi Heroin terhebat dan trofi Pelakon Wanita Filem Popular di Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.

“Alhamdulillah, bagi saya ini adalah tahun bonus buat saya kerana ALLAH SWT mengurniakan rezeki dengan trofi kemenangan itu kepada saya.

“Sejak mula berkecimpung dalam bidang seni, saya memang tidak pernah target untuk menang sebarang anugerah. Tapi kerana ia sudah tertulis dan saya bersyukur.

“Saya anggap segala kemenangan saya sebelum ini adalah pendorong buat saya bekerja dengan lebih keras dan kuat kerana bukan selamanya kita sentiasa berada di atas,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Abang Long vs Kak Long dan Malaikat Di Pintu yang ditayang di TV3, Ramadan dan Syawal ini.