Wednesday, June 5, 2013
Mamat Khalid penyelamat Bro, Nampak Motor Gua?
BRO, NAMPAK MOTOR GUA? menambah sebuah lagi filem yang mengetengahkan elemen permotoran dalam arkib industri perfileman Malaysia pada tahun ini.
Sama dengan beberapa filem keluaran terdahulu Metrowealth antaranya Adnan Sempit, Wawa Semput dan Aji Noh Motor, filem terbaharu Bro, Nampak Motor Gua? memberikan kelainan dengan menampilkan beberapa babak daripada filem-filem terdahulu terbitan syarikat itu.
Bagaimanapun, harus diakui bahawa pengarah popular Mamat Khalid yang turut membintangi filem itu telah menyelamatkan Bro, Nampak Motor Gua? daripada terus tenggelam dan mendatar.
Lawak bersahaja Mamat mengembalikan tawa penonton yang hampir layu dibuai lawak-lawak hambar beberapa pelakon lain.
Biarpun Mamat bukan merupakan penggerak utama filem itu, keberkesanan karakter dan dialog yang nampak tidak dibuat-buat memberikan jaminan dan keyakinan kepada penonton untuk tidak berganjak dari tempat duduk.
Mamat menjayakan watak Tan Sri Bakhtiar Karthubi iaitu seorang jutawan yang mempunyai misi untuk menyelamatkan dunia.
Filem Bro, Nampak Motor Gua? mengisahkan Epol yang mencari motornya yang hilang dilarikan oleh dua orang penyamun. Sepanjang pencarian Epol bersama rakannya Helmi, pelbagai dugaan mereka tempuhi.
Satu insiden telah menemukan Epol dengan Azura iaitu peguam kepada Tan Sri Bakhtiar Karthubi yang ketika itu ditugaskan untuk menghantar dokumen penting kepada bank, namun telah diragut oleh mat rempit.
Tiru Hollywood
Menurut pengarah filem Bro, Nampak Motor Gua?, Razif Rasyid, cabaran utama selain mengarahkan pelakon yang juga pengarah berbakat besar seperti Mamat Khalid, aspek keselamatan sepanjang penggambaran sentiasa diambil berat.
“Hampir setiap hari sepanjang penggambaran membabitkan lagak ngeri dan aksi, insiden-insiden pelik tidak dapat dielakkan daripada berlaku.
“Senang untuk mengarahkan pelakon-pelakon dalam filem ini, tapi susah untuk menjaga mereka sebenarnya. Saya perlu menjaga karakter Along supaya tidak serupa dengan watak Bobby dalam Adnan Sempit dan disebabkan itu saya mengubah penampilannya sedikit,” katanya.
Razif yang ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Bro, Nampak Motor Gua? di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini juga bersedia sekiranya filem arahannya dibandingkan dengan filem Hollywood, Dude Where’s My Car.
Dude Where’s My Car mengisahkan dua sahabat baik, Jesse (Ashton Kutcher) dan Chester (Seann William Scott), yang telah terlupa lokasi akhir kereta mereka selepas pulang berparti.
Katanya, kebanyakan filem tempatan ada mengambil acuan daripada karya-karya luar negara namun diolah mengikut kesesuaian penonton tempatan.
“Saya mengkaji filem Dude Where’s My Car dan ‘diMelayukan’ mengikut budaya masyarakat kita. Semua orang meniru karya-karya sebelum ini, cuma cara mengolah itu berbeza-beza.
“Saya bersedia berdepan dengan kritikan tapi bukan kutukan. Lagi banyak orang bercakap, bermakna lagi banyak orang menonton filem ini,” ujarnya mengenai filem itu yang telah ditayangkan di pawagam bermula 30 Mei lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: