Wednesday, June 5, 2013
Akua Ekstrem 5 tawar Myvi
PELUANG memenangi sebuah kereta Myvi menjadi taruhan program yang membawa unsur pertandingan dalam air, Akua Ekstrem, yang kini dilanjutkan ke musim keenam.
Sebelum kemunculan Akua Ekstrem 6 yang bakal disiarkan nanti, Akua Ekstrem 5 kini ditayangkan sejak 18 Mei lalu pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 5.30 petang, di TV2 saluran RTM.
Pengarah Produksi Triomedia Sdn. Bhd., Au Yuk Sing berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan sepanjang ia diterbitkan.
“Pelbagai gaya dan aksi dapat disaksikan dan pastinya ia mencuit hati peminat-peminat aktiviti sukan lasak ini. Pengisian slot menarik sebelum peserta melangkah ke petak halangan pertama tentunya membuatkan penonton tidak kering gusi melihat aksi dan keletah para peserta,” ujarnya.
Tambahnya: “Di sinilah memerlukan para peserta bersikap sporting dan ceria ketika diberi tugasan. Acara memanaskan badan ini cukup menarik kerana ia dilakukan secara spontan dan bersahaja.
“Dengan format yang telah disediakan, mungkin halangan-halangan dalam permainan ini agak mudah dilakukan setakat ini.”
Sehubungan itu, bagi memberikan lebih impak dan cabaran dalam menguji minda para peserta, format Akua Ekstrem 6 telah diubah suai.
“Pertandingan tidak lagi dilakukan dalam pasukan tetapi secara individu. Bagi peserta lelaki, mereka hanya diberi masa selama 180 saat manakala peserta perempuan pula 200 saat untuk menyudahkan kesemua tujuh halangan dengan diberikan peluang tiga kali percubaan,” jelas Yuk Sing.
Ujarnya: “Apa yang lebih menarik, seramai 15 orang peserta akan berentap bagi setiap episod pertandingan secara individu.
“Bagaimanapun, hanya 12 orang peserta yang akan dipilih berdasarkan kepantasan masa untuk melayakkan diri mara ke peringkat akhir iaitu episod ke 26.”
Menurutnya, tawaran hadiah kereta Myvi pasti membuatkan para peserta teruja untuk memenangi hadiah tersebut.
Peserta yang ingin menyertai pertandingan itu perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 seorang untuk setiap sesi.
Antara kriteria diperlukan ialah peserta mestilah berumur 17 tahun ke atas wanita atau lelaki, mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik, tidak fobia air, seorang yang ceria dan sporting.
Bagi menyertai Akua Ekstem 6, sila layari laman sesawang www.facebook.com/akuaekstrem.tv/marketing@triomedia.com atau hubungi 03-2871 8948.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: