|
PEMERGIAN pelawak veteran Allahyarham S. Shamsudin semalam benar-benar mengejutkan ramai pihak. Mana tidaknya, malam sebelum Allahyarham meninggal dunia, ramai rakyat Malaysia yang tertawa sakan kerana filem lakonannya Bujang Lapok disiarkan di televisyen.
Biarlah seribu kali diulang tayang filem yang sama, lawaknya tetap menggeletek hati. Lakonannya dalam filem tersebut bersama dua lagi sahabat seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Aziz Sattar benar-benar hidup.
Begitu juga dengan filem-filem lakonannya yang lain antaranya Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang dan Nasib Si Labu Labi, semuanya kekal malar segar sehingga ke hari ini.
Kini, semuanya tinggal kenangan. Pemergiannya meninggalkan kesan di hati setiap peminat yang tidak jemu menonton filem lakonannya.
Menurut rakan baiknya, Aziz Sattar atau Pak Aziz, Allahyarham yang mesra disapa dengan nama panggilan Sudin seorang yang cukup merendah diri dan disenangi ramai.
“Kami bertiga agak rapat ketika sama-sama berlakon di studio Jalan Ampas, Singapura. Ini kerana pada waktu itu pelakon semuanya diberikan rumah yang berdekatan antara satu sama lain.
“Jadi, habis kerja kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Saya masih rindu untuk kembali ke zaman P. Ramlee mengarah dan berlakon filem bersama saya dan Sudin.
“Waktu itu sungguh seronok. Tidak sangka gandingan kami bertiga menjadi dan cukup serasi. Sudin suka membuat lawak secara spontan yang tidak ada dalam skrip. Itu adalah kelebihannya,” kata Aziz Satar mengenang kembali zaman kegemilangan lakon Allahyarham.
Apabila disoal tentang pemergian rakan baiknya itu, suara Pak Aziz di hujung corong kedengaran sebak.
“Saya sungguh terkejut mendapat berita pemergiannya pada pagi ini (semalam). Agak ralat kerana tidak dapat bertemu dengannya sebelum Sudin meninggal dunia.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada awal tahun ini. Itu pun Sudin sudah uzur kerana penyakit paru-paru yang dihidapinya.
“Sekarang ini tinggal saya seorang sahaja, selepas dua sahabat baik saya, Sudin dan P. Ramlee meninggal dunia. Kenangan bekerja bersama ketika muda tidak akan saya lupakan buat selamanya. Mereka merupakan bintang yang sebenar,” tuturnya yang segera ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor untuk ke Singapura sebaik mendapat berita menyedihkan itu.
S. Shamsudin atau nama sebenarnya Sahamsudin Dali dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura. Sebelum bergelar seorang pelawak terkenal, Allahyarham bekerja sebagai buruh untuk membantu keluarga.
Namun, tuah menyebelahinya ketika Allahyarham melawat studio Jalan Ampas untuk melihat sendiri pembikinan sebuah filem.
Allahyarham telah diberi peluang untuk menjadi pelakon tambahan dalam filem Chempaka yang diarahkan oleh B. S. Rajhans.
Seterusnya Allahyarham mendapat kerja sebagai tukang kayu di set studio filem dan pada masa yang sama bekerja sebagai pelakon tambahan. Berlakon dan melakukan kerja produksi merupakan sesuatu yang normal waktu itu untuk menambah pendapatan.
Filem pertama yang memerlukannya melontarkan banyak dialog adalah filem Aloha. Disebabkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, kemudian Allahyarham telah diambil sebagai pelakon tetap bagi filem Melayu bersama Aziz Sattar.
Bintangnya semakin bersinar apabila Allahyarham bergandingan bersama P. Ramlee dan Aziz Sattar. Mereka bertiga merupakan bintang terkenal era 50-an dan awal 60-an.
Allahyarham bertemu jodoh dengan Puteh Esmoon pada tahun 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak. Salah seorang anaknya Ariff Shamsudin juga merupakan seorang pelawak di Singapura.
Selepas melalui zaman kegemilangan dan hidup dalam keadaan harmoni bersama keluarganya, pada usia 84 tahun Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di National University Hospital, Singapura pada 10.43 pagi akibat sakit tua dan paru-paru berair.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lim Chu Kang, Singapura pada pukul 10 pagi hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: