Penolong Ketua Kompeni Bantuan, Kapten Shahril Surifin, 34, berkata, antara yang tidak dapat dilupakannya ialah pada hari pertama tiba di sana.
“Masih segar dalam ingatan saya pada waktu itu jam menunjukkan kira-kira 3.42 petang dan pada waktu itu kami baru sahaja sampai di tempat kejadian.
“Belum sempat turunkan apa-apa peralatan mahupun senjata, pihak musuh sudah cuba menyerang kami,” katanya.
Menurutnya, satu tembakan secara rambang dilepaskan oleh musuh namun tidak melibatkan sebarang kecederaan di kalangan anggota yang ada.
Shahril berkata, selepas melalui saat-saat getir tersebut perkara yang bermain di fikirannya pada hanya antara hidup dan mati.
“Inilah kali pertama saya dan rakan-rakan bertempur dengan musuh dan berada dalam medan perang. Kerana sebelum ini kami hanya terlibat dengan pengawasan sempadan dan perkara-perkara biasa sahaja,” katanya.
Beliau yang berkhidmat selama 13 tahun berkata, walau bagaimanapun kejadian tersebut sedikit pun tidak melemahkan semangat untuk terus berbakti kepada negara.
Sementara itu, Mejar Zaki Kadir berkata, pengalaman bertugas di Tendua, Sabah merupakan satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.
“Dalam keadaan yang tegang tersebut perasaan kami sentiasa bercampur antara mati dan hidup.
“Kami serahkan pada Allah SWT untuk tentukan semuanya dan berkhidmat kepada negara seperti biasa walaupun di kepala hanya memikirkan tentang kematian yang sedang menanti,” katanya.
Menurutnya, pengalaman bertempur dengan musuh beberapa kali dan melihat ada di antara mereka yang tercedera dan maut membuatkan beliau sedikit pun tidak gentar malahan lebih bersemangat untuk menjaga keamanan negara.
Zaki berkata, walaupun semua itu semakin berakhir namun mereka akan sentiasa bersiap sedia dan berdoa ianya tidak akan berulang lagi di masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: