Monday, December 28, 2009

Zarina An Julie badi gambar lucah


Cukup-cukuplah orang nak bercerita mengenai kisah lama. Semua orang melakukan kesilapan dan saya juga berbuat demikian. Tapi mengapa masih lagi tiada ruang kemaafan?
- Zarina


KONTROVERSI demi kontroversi terpalit kepada dirinya sejak awal kemunculan Zarina An Julie di persada seni tempatan. Mungkin inilah takdir dirinya apabila namanya tiba-tiba menjadi sebutan ramai akibat kontroversi itu.

Sudah dua tahun peristiwa hitam penyebaran gambar lucahnya berlalu. Dalam tempoh itu juga nama Zarina seakan-akan terkena badi apabila pelbagai lagi cerita buruk dirinya diperkatakan hingga menyebabkan dirinya dipinggirkan.

Ada yang memboikot tidak kurang juga yang mula mengeluarkan kata-kata nista apabila mengetahui tentang kontroversi tersebut. Jauh di sudut hatinya tidak ada sesiapa yang meminta untuk diperlakukan sebegitu.

Siapa yang mahu dihina dan terus menjadi buah mulut peminat? Enggan menoleh ke belakang lagi, Zarina bertekad untuk meneruskan kehidupan sebagai anak seni walaupun tuan empunya badan sedar yang masih ada lagi orang dalam industri yang memandang rendah keupayaannya.

Sebagai manusia Zarina tetap akur dengan kesalahan yang dilakukan. Tetapi apa yang digusarkan apabila masih ada lagi yang tidak dapat menerimanya.

Setiap orang melakukan kesilapan dan seharusnya diberi peluang kedua untuk menebus apa yang telah berlaku. Pintanya kini agar peminat dan orang dalam industri agar tidak memperlakukan dirinya dengan menolak mentah-mentah.

"Cukup-cukuplah orang nak bercerita mengenai kisah lama. Semua orang melakukan kesilapan dan saya juga berbuat demikian. Tapi mengapa masih lagi tiada ruang kemaafan?

"Sudah dua tahun kisah hitam itu berlaku tetapi mengapa mesti diungkit kembali cerita tersebut? Kalau boleh saya mahu melupakan apa yang telah terjadi tapi kalau orang asyik nak bercakap perkara yang sama sampai bila pun tak akan habis.

"Kalau nak cakap pasal kesal memang saya kesal dengan apa yang telah terjadi. Tapi apa yang saya kesalkan kenapa tiada ruang kemaafan? Kalau macam itu sampai bila-bilapun saya tak akan ke mana-mana," jelas gadis yang berusia 23 tahun ini.

l Tidak menyepikan diri

Ramai yang menyangka sepanjang 'menyepikan' diri dia diboikot oleh sesetengah pihak sehinggakan namanya jarang sekali diberikan publisiti. Ada juga yang membuat andaian yang Zarina tidak mahu ditemu bual memandangkan kes tersebut masih lagi panas.

Zarina menafikan dia menyepikan diri sebaliknya dia ligat menerima tawaran berlakon daripada pengarah-pengarah drama tempatan.

Malah dalam tempoh dua tahun itu pelbagai drama sudah dibintangi termasuklah filem Legenda Anak Setan yang masih belum ditayangkan kepada umum.

Jelasnya, dia tidak ada masalah untuk terus memerah keringat mencari rezeki dalam bidang ini. Tetapi perkara yang paling sukar diterima apabila orang masih mengingati kisah itu sehinggakan apabila menghadiri sesi uji bakat pun masih ada yang bercerita perihal tersebut.

Kisah yang tidak pernah bernoktah itu benar-benar memberikan pengajaran kepadanya. Melalui kisah itu juga Zarina mula sedar siapa kawan dan siapa lawan.

"Keperitan melaluinya membuatkan saya mengerti perasaan mereka yang pernah mengalami nasib yang sama. Ramai juga artis-artis yang senasib dengan saya memberikan kata-kata semangat untuk saya terus berjuang dalam industri ini.

"Tapi alhamdulillah masih banyak lagi pengarah yang mahu mengambil saya berlakon. Terima kasih saya ucapkan kerana masih lagi memberi peluang kepada Zarina An Julie peluang dalam mengembangkan bakat saya," katanya yang kini bernaung di bawah pengurusan Flower Talent Agency milik Sabrina Hashim.

Melalui agensi milik adik kepada penyanyi Jeslina Hashim itu sudah banyak tawaran yang diperoleh Zarina kesinambungan apa yang telah dikecapi selama ini.

Kata pelakon yang popular melalui siri Anak Pontianak ini, fokusnya kini untuk memajukan diri dan memberikan kesan yang terbaik dalam karier seninya tanpa perlu mendengar apa juga kata negatif.

"Alhamdulillah peminat masih lagi dapat menerima saya seadanya. Jika saya keluar ke mana-mana masih ada lagi yang menegur dan memberikan semangat untuk saya terus memajukan diri.

"Tapi saya sangat berhati-hati dalam setiap langkah. Saya sudah menjadi orang yang dikenali dan setiap perbuatan saya diperhatikan. Kadangkala saya lupa perkara tersebut dan inilah yang membuatkan saya tersasar dari landasan yang sebenar.

"Mahu tidak mahu saya kena menjaga etika saya. Kalau boleh saya mahu peminat mengambil apa-apa yang positif dan dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan," kata Zarina yang lebih mesra disapa dengan panggilan Anju ini.

l Cuba nasib menyanyi

Fenomena pelakon menjadi penyanyi mahupun sebaliknya bukanlah satu fenomena baru dalam industri muzik tempatan. Malah sudah ramai yang melebarkan sayap untuk meneruskan kesinambungan sebagai anak seni.

Zarina juga nampaknya mahu mencuba nasib menjadi penyanyi dan kini dia sedang sibuk merakamkan lagu yang akan ke udara pada awal tahun hadapan.

Katanya dia memang meminati bidang nyanyian tetapi selama ini dia tidak ada keyakinan diri untuk meneruskannya.

"Selama ini saya memang bercita-cita untuk merakamkan lagu. Minat itu memang ada sejak dahulu lagi cuma belum mempunyai keyakinan diri sahaja. Inilah yang membuatkan saya selalu memendam perasaan.

"Saya tak peduli apa orang nak cakap apabila saya mahu mencuba bidang nyanyian. Cukup jika dapat memenuhi impian saya dan ia dapat menggembirakan hati saya.

"Selama lima tahun mengikut rakan saya, Caprice, memang saya banyak belajar mengenai bidang nyanyian daripadanya. Dan dia memang menggalakkan saya untuk mencuba.

"Insyaallah single terbaru saya akan siap sedikit masa lagi dan akan menemui peminat selepas itu. Harap semuanya akan berjalan lancar," katanya yang meminati jaluran muzik hip hop elektro ini.

Ketika ditanya adakah dia mahu meneruskan minat dan menjadi penyanyi profesional apabila single terbarunya itu digemari ramai nanti, kata Zarina mungkin tidak.

Menyanyi adalah impiannya tetapi bukan untuk menjadi penyanyi sepenuh masa seperti orang lain. Kecintaannya kepada dunia lakonan masih belum pudar meski dia sudah mempunyai platform yang cukup baik pada masa kini.

Siapa yang dapat menghalang minatnya yang meminati penyanyi Mariah Carey ini. Dia berhak merencanakan apa yang dimahu memandangkan dia bukan lagi anak kecil yang perlu diberi tunjuk ajar.

l Mencari cinta

Adat menjadi orang popular pastinya ramai yang menghimpit. Jika dahulu tidak ada siapa yang menyedari kehadirannya tetapi kini dia sering kali menjadi perhatian umum.

Tanpa berselindung gadis berhidung mancung ini memberi tahu yang dia masih lagi mencari jejaka idaman yang bisa membahagiakan. Walaupun sudah bertemu dengan ramai lelaki pintu hatinya masih belum terbuka untuk membenarkan sang arjuna mengisi kekosongan itu.

Tegasnya walaupun dia lahir daripada keluarga kacukan, minatnya kepada lelaki Melayu masih belum pudar.

"Buat masa ini pintu hati saya masih belum terbuka untuk sesiapa sahaja. Saya masih lagi mencari lelaki yang benar-benar ikhlas dalam perhubungan dan bukannya kerana saya Zarina An Julie.

"Bukan merendah-rendahkan sesetengah daripada mereka tetapi inilah hakikatnya yang berlaku. Ada yang mahu rapat hanya kerana saya seorang artis," tuturnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: