TARIAN dan nyanyian antara nadi persembahan High School Musical. |
Pementasan High School Musical semarakkan musim cuti sekolah
BARANGKALI Istana Budaya (IB) mempunyai sebab dan alasan kukuh untuk tidak mengizinkan pementasan muzikal terkenal antarabangsa, High School Musical (HSM) berlangsung di ruang premisnya. Mungkin juga pihak IB melihat produksi yang mementaskan teater itu belum cukup bagus untuk mengisi kalendar persembahan di situ.
Lalu, tidak hairanlah apabila pementasan itu yang sedang dipentaskan sejak 1 hingga 6 Disember ini akhirnya memilih Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai ganti. Ironinya, sebelum ini, selepas muzikal Mamma Mia menghiasi IB akhir tahun lalu, pernah timbul cerita bahawa HSM juga akan dipentaskan di situ.
Syarikat promoter, ZI Production Sdn Bhd yang bertanggungjawab memastikan pementasan itu dibawa ke Malaysia atas alasan mahu terus menyemarakkan dunia pementasan teater di negara kita. Bagi peminat setia drama mahupun versi filem HSM ini, peluang pementasan ini perlu dimanfaatkan apatah lagi musim cuti sekolah sudah tiba.
Dipentaskan selama sejam setengah, persembahan yang dipanggil Summer Celebration itu bermula dengan lagu popular label HSM berjudul What Time Is It. Pastinya tonggak utama pementasan ini yakni Troy dan Gabriella menjadi perhatian.
Jika dalam versi drama mahupun filem watak Troy dan Gabriella dilakonkan Zac Efron dan Vanessa Hudgens, namun untuk pementasan teater pula ia dilakonkan Joey Santiago dan Brooke Gibson. Begitu juga dengan watak penting lain seperti Ryan, Sharpay, Chad, Taylor dan Kelsi turut dilakonkan bukan dari kalangan pelakon asal.
"Saya teruja dan harap persembahan kami akan memberikan senyuman kepada anda semua terutama kepada golongan kanak-kanak. Menjadi sebahagian daripada sejarah penting persembahan ini, saya teruja dan bangga untuk menimba pengalaman di Malaysia.
"Saya bukanlah Zac Efron tapi bangga untuk memegang watak Troy ini. Kalau tak ada Zac, saya pun harapnya memadai untuk membuatkan anda gembira. Orang kata, muka saya ada iras sepertinya. Tapi anda semua nilailah sendiri," kata Joey Santiago.
Daripada setiap babak ke babak pementasan ini disusun, Kelsi akan bertindak seperti tukang cerita yang akan memaklumkan susur galur persembahan termasuk memperkenalkan barisan pelakon. Sesekali, Kelsi bersama temannya yang lain akan berkomunikasi dengan penonton.
Malah, ada juga penonton bertuah terutama di kalangan si cilik diundang naik ke pentas untuk menari bersama termasuk dengan jejaka idaman ramai, Troy. Penonton juga diuji ingatan mengenai pelbagai perkara berkaitan HSM.
Dengan memiliki segala kehebatan, kelincahan, drama dan aksi inti pati HSM sedikit sebanyak pementasan teater ini mampu mengubat kerinduan kepada peminat fanatiknya. Cuma sayang, untuk babak membabitkan nyanyian, watak di atas pentas itu hanya miming dan bukannya menyanyi secara langsung.
"Saya bukanlah penyanyi yang baik tapi bolehlah kalau mahu meniru gerak bibir penyanyi asal. Jangankan menyanyi, saya juga bukanlah penari yang baik. Lagipun ini kerja menari saya yang pertama. Hakikatnya susah juga nak menari sambil mengenakan kasut tumit tinggi.
"Bagaimanapun pengalaman berada di dalam pementasan ini banyak mengajar saya pelbagai perkara termasuk nilai persahabatan sendiri seperti yang diterapkan dalam HSM. Semoga anda terhibur dan kalau ada peluang lagi membuat persembahan di Malaysia, saya tak akan lepaskan," kata Brooke Gibson pula.
INFO: High School Musical
Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: