Friday, December 18, 2009

Wanita simpanan Woods tuntut RM11 juta


GAMBAR menunjukkan Rogers didukung oleh seorang lelaki.


LONDON - Seorang wanita, Theresa Rogers berumur 40-an yang didakwa mempunyai anak hasil hubungan dengan bintang golf No. 1, Tiger Woods (gambar) menuntut £2 juta (RM11.01 juta) sebagai syarat untuk mendiamkan diri, lapor sebuah akhbar semalam.

Rogers merupakan wanita paling tua dikaitkan dengan Woods berbanding 10 wanita lain.

Dia kini mengupah seorang peguam terkenal, Gloria Allred untuk membincangkan tuntutan tersebut.




Peguam itu dipercayai telah berbincang mengenai jumlah bayaran sebanyak £3 juta (RM16.51 juta) kepada seorang lagi wanita simpanan Woods, Rachel Uchitel supaya mendiamkan diri berhubung anak luar nikah mereka.

Rogers dilaporkan memberitahu rakan-rakannya bahawa Woods ialah bapa seorang anak perempuannya yang berumur enam tahun.

Menurut laman web RadarOnline, Rogers yang berumur 48 tahun cuba untuk memperoleh anak semasa menjalin hubungan dengan Woods.

Sementara itu, Woods dilaporkan menyembunyikan diri dengan menghabiskan masa menonton kartun di rumahnya di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Beberapa rakan rapat bintang golf itu bimbang Woods tidak dapat mengharungi skandal yang dihadapinya selepas isterinya, Elin Nordegren dilaporkan mahu bercerai dengannya.

Woods telah menukar nombor telefon bimbitnya selepas dia terlibat dengan kemalangan jalan raya pada bulan lalu.

Seorang rakannya, Charles Barkley yang merupakan bintang bola keranjang di AS berkata: "Saya telah berusaha untuk menghubunginya tetapi gagal."

Dia cuma mahu memberitahu Woods: "Hai, kami semua menyanyangi anda. Jika anda mahu apa sahaja keperluan, tolonglah angkat telefon."

Sementara itu, aktres Jessica Simpson menafikan dia turut terlibat dalam skandal Woods.

Dia menganggap laporan berita yang mengaitkan dirinya dengan Woods sebagai satu jenaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: