Friday, December 18, 2009

AS bantu salur maklumat

BANGKOK - Pihak berkuasa Thailand bertindak berdasarkan maklumat oleh Amerika Syarikat (AS) sebelum merampas bertan-tan senjata haram dari sebuah pesawat dari Korea Utara, kata seorang pegawai kanan semalam.

Bercakap pada satu sidang akhbar di sini, Ketua Majlis Keselamatan Nasional Thailand, Thawil Pliensri mengesahkan laporan media bahawa rampasan senjata itu hasil maklumat AS tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, kerajaan Thailand masih menanti nasihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memusnahkan semua senjata yang dirampas itu.

Senjata itu ditemui dalam satu pemeriksaan ke atas pesawat pengangkut Ilyushin Il-76 dari Korea Utara pada Sabtu lepas selepas ia mendarat di sini untuk mengisi minyak.

Susulan pemeriksaan tersebut, pihak berkuasa Thai menemui pelbagai senjata seberat 35 tan termasuk bahan letupan, pelancar bom tangan dan komponen peluru berpandu permukaan ke udara.

Semua senjata itu dieksport dari Korea Utara sekali gus ia melanggar sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikenakan ke atas negara komunis itu.

Setakat ini, pihak berkuasa tidak dapat memastikan destinasi senjata berkenaan tetapi dokumen perjalanan pesawat itu mengisytiharkan kargo yang dibawa adalah mesin untuk dihantar ke Sri Lanka.

Kelima-lima krew pesawat itu, empat dari Kazakhstan dan seorang warga Belarus kini dipenjarakan atas dakwaan memiliki senjata haram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: