![]() |
| Fouziah Gous |
WAJAHNYA nampak lesu tatkala menanti untuk disolekkan oleh jurusolek selebriti terkenal, Zulfazli Suhadi. Kata si hidung mancung bernama Fouziah Gous ini, dia hanya sempat tidur selama empat jam sebelum datang ke studio untuk melakukan sesi fotografi ini.
Malam sebelum itu dia sibuk dengan penggambaran filem Ratu dan balik kerumah pukul 3 pagi.
Pukul 4 pagi barulah dia masuk tidur dan bangun semula empat jam kemudian.
Berbekalkan “sebeban” ubat kerana badannya kurang sihat, kata Fouziah, sejak sebulan lalu jadual tidurnya tidak menentu.
Bukan itu saja, nak makan pun kadang-kala hilang selera gara-gara terlalu sibuk dilokasi penggambaran.
Dan ketika wajahnya sedang disolek itu, Fouziah tidak habis-habis menerima panggilan telefon dan terpaksa menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Lepas fotografi ni saya hendak berjumpa dengan orang lain pula. Nak bincang projek pengiklanan yang ditawarkan untuk saya,” katanya.
Memang sibuk benar wanita bernama Fouziah Gous menguruskan hidup.
Dalam keadaan yang kurang sihat dan mata lebam itu, Fouziah mampu memberi senyuman menarik apabila wajahnya yang lesu itu disegarkan dengan bantuan alat-alat solek.
Sampuk Fouziah, dia terpaksa bekerja keras kerana hendak menyara hidup. Nak senang bukannya mudah walaupun dia boleh mendapat kesenangan tanpa perlu bekerja keras. Apa maksud ungkapan itu?
“Biarlah mereka mengata”
Dikurniakan wajah yang cantik sebenarnya bukannya mudah apatah lagi si cantik itu bergelar seorang artis.
Inilah yang sedang dihadapi oleh Fouziah apabila dia dikatakan mengecapi kemewahan hidup di atas wang ringgit golongan VIP, Datuk-Datuk, dan orang kaya.
Manakan tidak, selama ini artis cantik sering dilabelkan sedemikian.
Ada sesetengah mereka, berlakon pun jarang-jarang tetapi mampu memiliki kereta mewah dan menggunakan barangan berjenama.
Dan akhirnya artis-artis lain yang tidak pernah menumpang kesenangan seperti itu turut terpalit tuduhan yang sama.
Itulah yang dialami oleh wanita berusia 27 tahun ini apabila ada mulut-mulut puaka diluar sana yang menyebarkan berita buruk terhadapnya.
Mengucap panjang mendengar kata-kata itu, ujar Fouziah, dia sudah muak dengan tuduhan sedemikian. Bialah orang nak kata apa pun.
Ujarnya tidak semua orang tahu betapa sukarnya dia bekerja mencari duit untuk menyara kehidupannya dan keluarga.
Malah dia terpaksa bersengkang mata dan mengorbankan masa tidurnya untuk mendapatkan wang.
Tapi sayang, penat lelah itu tidak pernah dipandang mulia sebaliknya digantikan dengan hinaan dan tuduhan yang bukan-bukan.
Agak kecewa dengan tuduhan sedemikian tetapi hakikatnya menjadi artis bukannya mudah apatah lagi hendak menutup mulut manusia yang tak habis-habis suka mengata.
Ujar si cantik ini, kalau dia hendak hidup mewah dengan ditaja oleh golongan berada, sudah lama dia boleh berbuat demikian.
“Bukan saya nak berlagak. Memang ramai VIP menghimpit saya. Sebelum saya jadi pelakon pun begitu tapi buat apa? Nanti yang merana kita juga,” ujarnya.
Kata wanita ini, dia tidak pernah hadapkan itu. Tak pernah mengharapkan duit orang kaya untuk menampung perbelanjaan hidup.
Sebaliknya hari ini Fouziah menjual bakat dan kebolehannya yang digilap selepas menjadi artis.
Dia percaya, jika orang-orang kaya itu mampu membeli cinta dengan duit, tentu sahaja cinta itu tidak akan kekal lama.
Lambat laun mereka akan ditinggalkan juga selepas golongan berkenaan memperoleh apa yang mereka hajatkan.
Akhirnya artis itu sendiri terpaksa bekerja keras untuk mencari wang bagi menyara hidup sendiri.
“Saya tidak nafikan ada individu yang hidup seperti itu tetapi jangan samakan saya dengan mereka. Saya tak mahu lelaki yang berkawan tinggalkan saya selepas itu.
“Saya mahukan lelaki yang jujur dan saling cinta mencintai. Itu prinsip saya,” katanya.
Tidak mahu berbohong, sebagai seorang selebriti dia memang mahukan lelaki yang mempunyai kedudukan lebih sedikit daripadanya.
Bukan apa, jika wanita itu lebih cemerlang daripada seorang suami, bimbang nanti si suami akan rendah diri dan akhirnya isteri akan mengusai suaminya.
Sebab itulah jika dibincangkan soal teman hidup, Fouziah lebih mengimpikan lelaki yang berjawatan tetapi biarlah bukan suami orang.
Tak rapat dengan rakan artis
Beberapa tahun terlibat dalam dunia lakonan, percaya atau tidak teman-teman rapat wanita ini bukan di kalangan artis melainkan Iqram Dinzly sahaja.
Ujar Fouziah, dia lebih senang berkawan dengan orang biasa kerana mereka lebih jujur berbanding sesama artis yang tak habis-habis gemar menyebarkan berita-berita tidak betul.
Takut perkara itu terjadi kerana dia banyak belajar daripada pengalaman sebelum ini apabila ada rakan artis itu dikhianati oleh rakan artis sendiri.
“Saya senang berkawan dengan orang biasa. Lagi bagus. Dalam dunia artis ni saya hanya ada seorang kawan baik iaitu Iqram sahaja,” katanya yang pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon lelaki itu.
Banyak menghabiskan masa bersama keluarga, tabiat Fouziah dia senang untuk berada di rumah jika ada masa terluang.
Ketika bekerja sebagai pramugari sebelum ini dia tidak banyak masa untuk bersama keluarga dan apabila mendapat ruang, masanya lebih selesa dihabiskan bersama orang tuanya.
“Sebab itulah orang jarang nampak saya ke disko atau bersosial di mana-mana. Kalau ada pun cuma di majlis-majlis anugerah tertentu kerana hobi saya menghabiskan masa dengan keluarga,” katanya.
Persediaan hari tua
Semasa berborak, Fouziah turut merenung masa depannya.
Kata wanita ini dia amat bersyukur kerana penutup 2009 memberi rezeki melimpah ruah.
Dan tentu juga pembukaan 2010 turut menghadiahkan perkara yang sama.
Terbaru Fouziah ditawarkan mengikat kontrak dengan syarikat produk kecantikan selama dua tahun yang menjanjikan bayaran lumayan. Bak kata orang tak kerja setahun pun tak apa.
Begitu juga dengan tawaran berlakon drama dan filem yang datang melimpah ruah.
Bersyukur dengan nikmat itu, dia percaya kesenangan tersebut tidak boleh diabaikan. Sebaliknya dia perlu menoleh untuk melihat bagaimana sesetengah aris yang hidup menderita hari ini kerana tidak beringat.
Dan itulah yang ditakutinya. Dia tak mahu hari tuanya nanti berlalu dengan kesedihan.
Tatkala limpahan kemewahan yang diterimanya hari ini, Fouziah sudah bersedia untuk menempuh kesukaran di hari tua nanti.
“Nak berlakon, sampai bila? Muka-muka baru setiap hari akan muncul dan orang macam saya ini akan dilupakan suatu hari nanti.
“Sebab itulah saya sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan waktu itu,” katanya.
Sudah memiliki rumah sendiri, Fouziah juga turut mencarum kepada syarikat insuran wang hasil lakonannya.
Mempersiapkan diri agar tidak hidup melarat, dia memegang prinsip apa guna hidup dalam glamor jika tidak ada kesenangan di masa depan.
Sebab itulah Fouziah senang menaiki kereta Toyota Vios walaupun dia sudah mampu menukar kepada BMW kalau hendak ikutkan.
“Saya tidak mementingkan penonjolan mewah seperti itu walaupun ramai yang suruh saya menukar kereta. Bagi saya asal kereta kita boleh bergerak cukuplah. Lebih baik duit itu disimpan untuk tujuan lain,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: