Sunday, December 20, 2009

Prism sedia disiasat SPRM


Ong Peng Chu


DUNIA hiburan menjadi panas apabila berlaku kemelut membabitkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Performers & Artistes Rights (M) Sdn. Bhd. (Prism).

Karyawan menuduh Prism, agensi yang bertanggungjawab mengutip royalti persembahan artis ditempat awam itu tidak telus.

Kononnya orang kuat di dalam agensi itu menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi termasuklah menggunakan kutipan royalti bagi tujuan melancong.

Dalam masa yang sama Karyawan mendakwa terkejut apabila Mawi dan Dayang Nurfaizah hanya mendapat royalti sebanyak RM320 setahun dan mempersoalkan fungsi agensi berkenaan melakukan pengagihan royalti.

Akhirnya dalam mesyuarat agung luar biasa yang dianjurkan Karyawan, presidennya Datuk Freddie Fernandez berhasrat melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Freddie mahu SPRM menjalankan siasatan terhadap agensi yang bernaung di bawah Majlis Muzik Malaysia (MMM) itu demi kepentingan ahli.

“Kami jemput SPRM untuk menjalankan siasatan. Kami juga mengundang ahli-ahli Prism untuk menyemak penyata pengagihan royalti jika mereka menuduh kami menyeleweng,” ujar Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu.

Saya bertanya apakah sebenarnya yang berlaku di antara Prism dan Karyawan kerana seperti ada yang tak kena di antara mereka?

Ujar Ong, terdapat isu peribadi membabitkan agensi itu dengan Freddie sebelum ini sehingga membuatkan presiden persatuan artis itu mencari jalan bagi memburuk-burukkan Prism. Ikuti penjelasan Ong.

Karyawan mendakwa Prism tidak telus. Bayaran royalti kepada artis popular hanya RM320 setahun. Boleh Ong komen?

Prism kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Karyawan. Kenyataan mereka itu tidak berasas kerana Prism mempunyai bukti kukuh yang boleh diperoleh melalui rekod dan sistem mengenai bayaran yang diterima. Dayang telah menerima royalti dari tahun 2005 sehingga 2009. Begitu juga Mawi yang menerima royalti daripada Prism sejak tahun 2007. Bayaran kepada Mawi dibuat melalui wakil syarikat rakaman beliau ketika itu. Jumlah RM320 yang didakwa diterima mereka itu adalah tidak benar.

Bagaimana pengagihan royalti Prism ini dibuat?

Pengagihan Prism berasaskan kutipan bersih yang telah diperoleh. Ahli lembaga pengarah Prism menetapkan bayaran secara purata dibuat pada tiga tahun pertama kepada semua ahli berdaftar. Pada tahun berikutnya pengagihan dibuat mengikut jumlah lagu yang didaftarkan oleh ahli. Kami juga meminta semua pemuzik dan artis mendaftarkan lagu mereka. Tapi biasalah tak semua artis itu nak daftar. Bila duit mereka nak pula.

Ada yang terkejut jumlah royalti Prism sedikit kalau nak dibandingkan dengan royalti daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP).

Cara pengagihan Prism dan MACP ini agak berbeza. Kalau MACP lebih kepada penulis lirik dan pencipta lagu, Prism perlu mengagihkan royalti kepada ramai pihak. Sebagai contoh pengagihan sesebuah lagu rakaman perlu dibahagikan kepada penyanyi utama, pemuzik undangan yang mana jumlahnya dalam sesebuah album itu kadang-kadang melebihi sepuluh orang. Walau bagaimanapun pengagihan itu boleh diberikan jika mereka yang terlibat boleh mengemukakan bukti mereka sememangnya individu yang diberi tanggungjawab menjayakan sesebuah album itu.

Kalau begitu bagaimana artis seperti Mawi, Dayang Nurfaizah dan Aznan Alias (Kumpulan Saturnine) boleh mempertikaikan soal pengagihan tersebut?

Mereka bercakap tanpa ada pengetahuan. Tapi selepas kes berkenaan, Nan sudah datang bertemu kami dan kami sudah jelaskan. Akhirnya barulah dia faham soal pengagihan itu. Begitu juga Dayang yang hantar SMS kepada saya minta maaf. Berlaku salah faham kerana dia tak bermaksud menuduh sedemikian. Mawi pun sama juga mengaku dia tidak jelas mengenai perkara itu. Selepas kami memberi penerangan, barulah mereka faham dan tidak lagi berbangkit isu tersebut.

Adakah Prism bersedia disiasat oleh SPRM?

jika ada pihak yang menganggap berlaku penyelewengan, kami menjemput sesiapa saja untuk menyiasat. Kami mempunyai data dan juga semua rekod pembayaran dan kutipan royalti. Kami juga menjemput ahli-ahli yang tidak faham soal pengagihan ini datang berjumpa kami.

Ada yang mempertikaikan pelantikan Datuk Aziz Bakar sebagai pengerusi Prism sedangkan dia bukan artis?

Datuk Aziz Bakar mempunyai pengaruh di kalangan artis dan banyak memberi sumbangan kepada industri selama ini. Pelantikan beliau adalah wajar. Malah mereka yang dilantik menerajui Prism juga tidak dibayar gaji tetapi elaun sebanyak RM150 setiap kali hadir mesyuarat termasuklah Aziz Bakar sendiri.

Adakah tuduhan Karyawan ini mendatangkan kesan buruk kepada Prism?

Ia tidak meninggalkan kesan buruk kepada Prism sahaja tetapi kepada semua industri. Jika timbul isu ini tidak mustahil kami akan menghadapi masalah untuk membuat kutipan royalti kerana ia akan menimbulkan syak pihak lain untuk tidak mahu bayar. Yang akan mendapat masalah nanti artis itu sendiri. Tapi tak semua orang fikir positif.

Saya difahamkan ada masalah peribadi membabitkan Prism dan Freddie sebelum ini. Benar begitu?

Saya tak nafikan. Sebelum ini ada keluar kenyataan kononnya Datuk Aziz sebagai Pengerusi Prism mahu berkongsi royalti Prism dengan PPM (Pelaku Persembahan Muzik Awam). Sebenarnya Datuk Aziz tak buat kenyataan itu. Perkara itu menjadi buah mulut Karyawan untuk memburuk-burukkan Prism. Jadi, kami terpaksa memohon satu perintahmahkamah melarang Freddie mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu berkenaan. Mungkin sebab itulah dia terasa.

Ong dikatakan menggunakan wang royalti untuk ke luar negara. Adakah ia tuduhan?

Saya diundang ke luar negara oleh badan-badan tertentu dan dibayar oleh mereka. Segala penginapan dan tambang ditanggung penganjur. Saya ada bukti termasuk menyimpan segala resit dan surat undangan. Tidak ada masalah untuk menyiasat. Secara logiknya saya selaku pengurus besar, bukannya saya boleh senang-senang untuk tandatangan cek. Mesti diluluskan oleh pengarah-pengarah yang lain jika benar saya mahu menggunakan wang royalti.

Freddie mendakwa Prism tidak menjawab surat yang dihantar untuk menjemput wakil Prism menghadiri mesyuarat agung luar biasa Karyawan. Kenapa?

Karyawan bukan ahli dalam Majlis Muzik Malaysia. Buat apa kami perlu hadir? Peliknya dia orang buat mesyuarat nak bincang hal dalam Prism. Kenapa macam tu? Freddie sepatutnya buat mesyuarat memperjuangkan tuntutan royalti pelakon-pelakon yang filem atau drama mereka ditayangkan di televisyen seperti yang Prism lakukan untuk pemuzik. Bukannya sibuk mencari keburukan persatuan lain.

Adakah pihak Prism bercadang mengambil tindakan terhadap dia?

Jika perkara ini berlarutan dan Freddie masih memberi kenyataan yang tidak benar, kami akan mempertimbangkan untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: