|
|
UMUM mengenali Black Eyed Peas (BEP) menerusi lagu Where Is The Love? pada tahun 2003 yang sememangnya telah melonjakkan nama kumpulan ini sehingga dikenali ramai.
Apatah lagi, lagu tersebut menyaksikan mereka berkolaborasi dengan penyanyi dan komposer terkenal, Justin Timberlake yang sedikit sebanyak telah membantu menganjakkan populariti BEP.
Dan, sehingga kini nama mereka terus mekar dan setiap kali muncul dengan album terbaru, lagu-lagu mereka akan menjadi siulan ramai.
Tetapi, di sebalik kemewahan dan kemasyhuran yang mereka kecapi hari ini, tidak ramai yang tahu bahawa mereka perlu meniti laluan penuh berliku untuk sampai ke tahap hari ini.
Pernah muzik mereka ditolak mentah-mentah oleh beberapa syarikat rakaman terkenal hanya kerana kurang yakin dengan kemampuan serta muzik yang mahu mereka perjuangkan.
Seperti kata ketua kumpulan ini dan pengasas BEP, William James Adams, Jr. atau lebih dikenali dengan nama pentas, will.i.am, dari tahun 1993 hingga tahun 1997 semuanya adalah tentang perjuangan mereka.
"Beberapa kali kami merakamkan demo dan persembahkan kepada syarikat rakaman tetapi nasib tidak memihak kepada kami.
"Namun, istilah putus asa tidak pernah wujud dalam kamus hidup kami kerana kami mahu meneruskan minat yang telah sebati dalam diri kami sejak kecil lagi.
"Mahu atau tidak, semuanya perlu diteruskan sehinggalah kami diterima oleh Interscope Records untuk menjadi artis rakaman mereka pada tahun 1998," katanya saat menceritakan perit jerih BEP dalam membina nama mereka seperti mana hari ini.
Selain will.i.am, BEP turut dianggotai oleh Stacy Ann Ferguson atau lebih dikenali dengan nama Fergie, Allan Pineda Lindo (apl.de.ap) dan Jaime Gomez (Taboo).
Tambah will.i.am, pastinya antara momen yang tidak akan dilupakan oleh mereka sampai bila-bila adalah ketika perang bida yang berlaku antara syarikat rakaman selama tiga minggu.
"Memang ketika itu kami berasa sungguh terkejut kerana secara tiba-tiba kami menjadi rebutan sedangkan sebelum ini tiada siapa yang mengendahkan kami.
"Tawaran yang diberikan bukan calang-calang kerana semuanya melibatkan angka yang cukup lumayan.
"Namun, kami mementingkan apa yang kami mampu perolehi serta memberi kepuasan," ujarnya lagi yang tertarik dengan tawaran Interscope yang banyak memberi kebebasan kepada mereka untuk berkarya.
Sekadar menyingkap sejarah, sebelum tertubuhnya BEP, will.i.am dan apl.de.ap terlebih dahulu menganggotai kumpulan The Atban Klann.
Kemudian, mereka bertemu dengan Taboo dan menubuhkan pula kumpulan bernama Alley Cats.
Setelah mengikat kontrak dengan Interscope, barulah mereka menukar nama kumpulan mereka kepada BEP dan ketika itu, mereka merasakan perlu menambah seorang lagi anggota yang mampu menarik perhatian peminat serta pecinta muzik.
Maka dengan itu, nama Kim Hill dipilih sebagai anggota terbaru BEP tetapi entah di mana silapnya, Kim mengundurkan diri dan ketika itulah, Fergie muncul lantas meletupkan nama BEP di persada muzik dunia.
Sebelum Fergie dipilih pada 2003, di awal perbincangan, penyanyi jelita, Nicole Sherzinger merupakan pilihan pertama untuk menganggotai BEP.
Tetapi pada masa itu, Nicole masih lagi bersama kumpulannya, Eden of Crush dan mengikat kontrak bersama syarikat rakamannya.
Memang sudah ditakdirkan rezeki menjadi milik Fergie dan tidak keterlaluan dikatakan, Fergie telah berjaya menempa nama yang cukup gemilang bersama kumpulan itu.
Mengubah Imej
Majalah hiburan terkenal, Rolling Stone menyifatkan kemunculan Fergie telah berjaya mengubah imej 'kekampungan' BEP kepada imej yang lebih bergaya dan hebat serta stailo sehingga memiliki imej yang tersendiri.
Sehingga kini, BEP sudah pun merakamkan lima buah album bermula dengan album Behind The Front pada tahun 1998, Bridging The Gap (2000), Elephunk (2003), Monkey Business (2005) dan terbaru, The E.N.D. (2008).
Tanpa disedari sudah lebih sedekad BEP melayari dunia seni dan memperjuangkan muzik hip hop, rap dan R&B yang sudah sebati dalam diri mereka.
Lebih membanggakan apabila hasil kerja mereka mendapat pengiktirafan di anugerah Grammy yang menjadi penanda aras setiap karyawan muzik di Hollywood.
Bermula dengan album Elephunk, BEP telah menerima 10 pencalonan Grammy dan memenangi tiga daripadanya iaitu Persembahan Rap Duo/Berkumpulan Terbaik menerusi lagu Let's Get It Started pada tahun 2005.
Setahun selepas itu, mereka mengulangi kejayaan dalam kategori yang sama untuk lagu Don't Phunk With My Heart dan tahun 2007 pula untuk kategori Persembahan Pop Duo/ Berkumpulan Terbaik bagi lagu My Humps.
Namun, album The E.N.D ternyata membawa tuah dan memberi rezeki yang melimpah ruah buat BEP apabila menerima enam pencalonan Grammy yang akan berlangsung pada 31 Januari depan.
Ia termasuklah Album Terbaik, Rakaman Terbaik, Album Vokal Pop Terbaik, Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik, Rakaman Dance Terbaik dan Video Muzik Pendek Terbaik.
Hasilnya, kelahiran album The E.N.D telah menyaksikan BEP bekerja keras untuk terus tampil dengan muzik yang segar dan baru.
"Album terbaru kami penuh energetik ini memang berbeza dengan apa yang telah dipersembahkan sebelum ini.
"Bukan mahu mendabik dada tapi The E.N.D merupakan album terbaik kami setakat ini," kata apl.de.ap tentang album yang menampilkan lagu Boom Boom Pow sebagai single pertama itu.
BEP juga antara artis yang akan membuat persembahan pada malam gilang-gemilang itu di samping Beyonce, Taylor Swift, Maxwell dan penyanyi trio country, Lady Antebellum.
Dalam masa yang sama, masih segar dalam ingatan setiap anggota BEP apabila teringatkan kenangan sewaktu berkolaborasi dengan Godfather of Soul, mendiang James Brown menerusi lagu They Don't Want Music.
Lagu yang dimuatkan dalam album Monkey Business itu akan menjadi kenangan terindah dalam diari hidup anggota BEP.
"Beliau memang seorang legenda dan kami bertuah kerana berpeluang merakamkan lagu dengan seorang yang cukup kami hormati dan sanjungi.
"Biarpun dia sudah pergi meninggalkan kita, namun legasi seni yang ditinggalkannya cukup besar dan pasti akan dikenang sampai bila-bila," jelas Taboo pula yang teringat persembahan bersama ikon muzik itu di Madison Square Garden, New York, beberapa tahun lalu.
Selama lebih sedekad BEP memperkasakan nama dan karier seni mereka, tiada lain yang diharapkan oleh kumpulan yang ditubuhkan di Los Angeles ini untuk terus bertahan.
Biarpun setiap anggota BEP menebarkan sayap mereka dengan menceburi cabang seni yang lain, tetapi semangat dan ukhuwah sesama mereka tetap kental.
Dan, resipi mereka terus bertahan sehingga ke hari ini adalah semangat setiakawan mereka yang tidak mampu dinilai dengan wang ringgit.
"Kami menghormati antara satu sama lain dan mempercayai pada bakat masing-masing. Jadi, BEP ini adalah penyatuan kami yang sama-sama meminati seni dan muzik yang sudah sebati dalam diri kami," ujar will.i.am mewakili teman-temannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: