|
|
SELEPAS teater Natrah di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) yang dipentaskan bermula 30 November lalu mendapat sambutan luar biasa daripada khalayak penonton, pengarahnya, Erma Fatima sudah pun berkira-kira untuk membawa naskhah kisah penuh tragedi itu ke layar kaca pula.
Merancang untuk menceritakan perihal perjalanan hidup Natrah sejak di zaman kanak-kanak, drama bersiri 26 episod itu mampu menjadi naskhah lengkap bagi menyingkap sejarah Natrah atau nama sebenarnya, Maria Huberdina Hertogh.
Ini kerana, bagi Erma, teater yang sekadar berlangsung selama dua jam dilihatnya tidak cukup untuk memperlihatkan siapa dan apa yang berlaku terhadap insan bernama Natrah dan orang di sekelilingnya.
"Banyak lagi yang hendak diceritakan tentang Natrah.
"Teater hanya dua jam sahaja tetapi dengan adanya drama episod, ia akan lengkap menceritakan tentang sejarahnya.
"Kita tidak tahu bagaimana dirinya merasa terseksa sepanjang dibawa pulang ke Belanda,'' katanya ketika ditemui pada majlis meraikan drama Tersasar Di Jalanmu arahannya yang diumumkan sebagai drama terbaik Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.
Dalam ASK2009 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 4 Disember lalu, drama Tersasar Di Jalanmu meraih enam anugerah.
Anugerah berkenaan adalah Drama Terbaik, Pengarah Terbaik Drama (Erma Fatima), Lakon TV Terbaik (Erma Fatima), Pelakon Wanita Terbaik Drama (Rosnah Mat Aris) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Norish Ismail).
Drama tersebut juga menerima anugerah Videografi Terbaik yang mendapat sentuhan Pengarah Fotografi, Asrar Lukman Al-Hakim.
Tersasar Di Jalanmu yang mula disiarkan pada 29 November tahun lalu mengisahkan tentang dunia manusia yang tinggal di sebuah lorong gelap yang dipenuhi pelbagai masalah sosial masa kini.
Selain Rosnah dan Norish, Tersasar Di Jalanmu turut dibintangi Adlin Aman Ramli, Rosdeen Suboh, Azri Iskandar dan Sarah Samira.
Penggambaran di Indonesia, Belanda
Menyambung bicara mengenai perancangan menerbitkan drama bersiri Natrah, Erma berkata, pihaknya bercadang untuk menjalankan penggambaran Natrah di Indonesia dan Belanda.
Katanya, dua lokasi itu adalah tempat di mana Natrah dibesarkan dan menjalani sisa-sisa hidup sebelum meninggal dunia.
Menyedari kos penggambaran yang akan mencecah belanja yang besar, Erma tetap dengan pendiriannya untuk menerbitkan drama tersebut.
"Memang tidak ada penaja tetapi saya akan tetap buat (terbitkan drama bersiri Natrah).
"Saya sendiri akan menghasilkan skrip sepenuhnya dan projek ini bakal dijalankan tahun depan,'' tegasnya.
Ditanya mengenai barisan pelakon yang menjadi pilihannya untuk berlakon dalam drama Natrah, Erma berkata, buat masa ini, dia belum memikirkan hal tersebut.
"Kalau boleh, saya mahu kekalkan pelakon sedia ada yang terlibat dalam pementasan teater Natrah.
"Tetapi, saya perlu hormat kepada pendirian sesetengah pelakon yang tidak mahu berlakon dalam drama itu,'' jelasnya.
Buka peluang stesen televisyen
Sementara itu, Erma memberitahu, bahawa buat masa ini pihaknya juga masih belum mengetahui stesen televisyen mana yang berminat untuk 'membeli' naskhah dramanya itu.
"Saya akan jual kepada mana-mana stesen televisyen yang mahu.
"Natrah punyai cerita yang panjang. Ada banyak yang boleh diketengahkan dan boleh dijadikan iktibar.
"Ia juga bersesuaian dengan situasi negara sekarang yang memerlukan penyatuan tanpa mengira kaum dan agama,'' tambahnya.
Pementasan teater Natrah mendapat sokongan daripada Kumpulan Utusan selaku media rasmi di samping stesen radio Sinar FM sebagai radio rasmi.
Ia dibintangi Maya Karin selaku Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun, Remy Ishak (Mansor Adabi), Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline).
Natrah dilahirkan pada 24 Mac 1937 di Tjimahi, Jawa, Indonesia. Lima tahun kemudian, beliau diserahkan kepada seorang wanita bernama Che Aminah Ahmad untuk dijadikan sebagai anak angkat.
Natrah yang juga dikenali sebagai Bertha Hertogh diserahkan kepada Che Aminah oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya tanpa pengetahuan bapa Natrah, Sarjan Hertogh yang telah ditawan oleh tentera Jepun.
Bermula detik itu, Natrah dididik, dibelai dan dicurahkan dengan penuh kasih sayang oleh Che Aminah dalam suasana yang cukup harmoni sehingga Natrah dilihat sebagai orang Melayu.
Kegembiraan Natrah tidak berpanjangan apabila dihimpit kemelut yang akhirnya membuatkan dia dikembalikan kepada keluarga asalnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: