Saturday, December 26, 2009

Perkahwinan Paling Sensasi 2009

PERKAHWINAN selebriti senantiasa menjadi topik menarik. Ada selebriti memilih untuk mengadakan perkahwinan secara besar-besaran, ada yang pilih cara sederhana.

Tak kurang juga yang dirahsiakan perkahwinan kerana sebab-sebab yang tidak pasti.

Antara ramai selebriti yang melangsungkan perkahwinan mereka, pilihan mStar Online adalah:

Waheeda-Akhil

Sah bergelar isteri setelah hebat dilanda kontroversi

Antara perkahwinan yang direkodkan paling hangat pilihan mStar Online adalah pasangan Waheeda dan Akhil yang akhirnya menjawab spekulasi tentang hubungan cinta mereka yang didakwa telah terjalin sejak tahun 2007 lagi.

Pada 16 Ogos lalu, penyanyi serta penceramah bebas, Akhil Hayy, 40, dan penyanyi popular Waheeda, 30, akhirnya telah selamat diijabkabulkan di Masjid Ar Rahimah, Kuala Kubu Baru.

Sebelum itu, timbul kontroversi mengatakan Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab menjadi isteri kedua Akhil. Ketika itu, masing-masing menafikan tentang perkara tersebut dan menegaskan mereka hanya berkawan baik.

Namun, kisah itu semakin panas sekitar Mei lalu apabila bekas isteri Akhil, Maizawati Zainal mengaku tentang pergolakan rumahtangga mereka dan Waheeda turut dikaitkan sebagai punca tersebut.

Que-Linda

Resepsi ‘bali dalam taman’ di Hari Kekasih

Tiga jam sejurus dinikahkan, pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Hiadar atau Que Haidar, 30, dan koreografer Linda Jasmine Hashim, 37, disandingkan dalam satu majlis resepsi berkonsepkan ‘bali dalam taman’ di Bora Ombak pada 14 Februari lalu.

Walaupun si suami berusia lebih muda tujuh tahun daripadanya itu, Linda berkata sikap matang Que menyenangi dirinya.

Pasangan ini cuba merahsiakan hubungan mereka akhirnya membuat pengumuman untuk berkahwin menerusi rancangan Gala TV yang disiarkan di saluran Awani (saluran 501, Astro) pada 12 Disember tahun lalu.

Selang beberapa hari selepas bergelar suami isteri, Linda disahkan bunting pelamin dan telah selamat melahirkan seorang puteri bernama Tengku Ratu Haidar pada 26 Oktober lalu di Hospital Gleaneagles, Ampang.

Adlin-Emelda

Disatukan setelah empat tahun menjalin kasih

Adlin dan Emelda menyemai cinta selama empat tahun sebelum mengikat tali pertunangan mereka pada 14 Mac lalu sempena tarikh lahir Emelda.

Majlis pernikahan mereka berlangsung pada 22 Mei lalu di Ipoh, Perak, Emelda menerima wang hantaran RM30,000, mas kahwin RM1001 serta tujuh dulang hantaran daripada Adlin.

Sebelum majlis pernikahan mereka, Adlin sempat mencetuskan jenaka tentang perkahwinannya yang bakal menjelang sambil selalu menayangkan cincin pertunangannya ketika di program realiti Akademi Fantasia musim ke-7.

Johan-Ozlyn

Harap perkahwinan dapat elak kontroversi

Sebelum bergelar suami isteri, 'kemesraan' yang sering ditunjukkan oleh pelakon Johan Raja Lawak, 25, dan pelakon Ozlyn Wati, 28, di hadapan khalayak kurang disenangi oleh banyak pihak.

Namun, baik Johan mahupun Ozlyn, walau dilihat cukup 'mesra', mereka akui masih tahu batas-batasnya. Dan kerana tidak mahu masyarakat terus mengecam, mereka merasakan ikatan perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mengakhiri kata-kata negatif itu.

Akhirnya, dengan sekali lafaz, Johan dan Ozlyn sah bergelar suami isteri pada 25 Julai lalu di Masjid Lembah Jaya, Ampang. Majlis pernikahan tertutup itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Kini, Ozlyn sedang mengandung empat bulan.

Norman-Shireen

Tak teruja nak kahwin sebab dah tua

Norman Abdul Halim atau lebih popular sebagai Norman KRU, 37, dia seorang yang berfikiran matang, tidak seperti pasangan remaja yang terlalu teruja hendak berkahwin.

Akhirnya, setelah kira-kira dua tahun menyulam cinta, Norman dinikahkan dengan Dr. Shireen Hashim, 44, pasangan ini selamat diijabkabulkan pada tanggal 7 Ogos lalu di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, dengan hanya sekali lafaz.

Menurut Norman, dia beruntung kerana sepanjang tempoh percintaanya dengan Shireen, wanita itu amat pandai 'menyimpan' kisah cinta mereka.

Noniswara- Rosman

Perkahwinan ‘eksklusif’ dalam sederhana

Aktres jelita Noniswara Baharudin, 39, selamat diijabkabulkan dengan Pengerusi U Mobile, Datuk Rosman Ridzwan, 50, pada 31 Julai di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Sebelum diijabkabulkan, Noniswara sengaja merahsiakan status suaminya dengan hanya menggelarkan Datuk R yang dikenalinya selama dua tahun setengah.

Seawalnya, kisah cinta mereka sudah mula digembar-gemburkan sejak setahun lalu namun Noniswara enggan mengulas mengenainya atas sebab tertentu.

Aein-Arif

Cek kosong sebagai wang hantaran

Selepas dua tahun menyulam kasih, impian Nora `Ain Rahmat atau Aein, 30, untuk bersatu dengan pasangannya, Datuk Arif Ambrose Leonard Ng, 41, menjadi kenyataan selepas mereka dinikahkan di Masjid Negeri Shah Alam pada 12 Disember lalu.

Kembar Ekin yang memilih duda beranak dua itu enggan menghebahkan jumlah wang hantarannya. Pun begitu, cek yang diberikan juga kosong tanpa sebarang tulisan serta angka yang tentera di atasnya.

Tam Spider-Aida

Perkahwinan terindah

Setelah 11 tahun menduda, kini vokalis kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam telah menamatkan zaman dudanya dengan mengahwini Aida Mustafa yang dikenalinya hampir lima tahun lalu.

Pasangan yang mula serius sejak setahun lalu ini selamat dinikahkan di Masjid Jamek Pekan Nanas, Pontian pada 8 November lalu.

Nikki Palikat-Audi Mok

Terharu selepas sah bergelar suami isteri

Suara penyanyi Nikki atau Nicolette Louisa Palikat jelas kedengaran teresak-esak ketika melafazkan ikrar perkahwinannya dengan komposer terkenal Audi Mok Chuang Yew di Gereja St. Francis Xavier, Petaling Jaya pada 27 Jun lalu.

Nana-Brian

Hadiah kereta mewah kejutan Hari Lahir ibu

Penyampai radio Era, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana, 26 tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur ke hadrat Illahi setelah selamat bergelar isteri Pengurus Kanan Hitz FM Mohamed Raqeem Brian Abdullah, 35, pada 6 Jun lalu.

Nana turut memberikan kejutan kepada ibunya, Rosnah Harun, 48, dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah jenama Mercedes CLK180 Kompressor sempena ulang tahun kelahirannya pada 2 Jun lalu.

Sari Yanti-Eddy

Lamaran disangka gurauan

Hubungan cinta antara pelakon Sari Yanti Mohamad Nazari dan suaminya, Mohd. Eddy Casmady Che Hussin, 29, bermula daripada kawan biasa sehinggalah membawa ke gerbang perkahwinan.

Pada mulanya, Sari Yanti menduga lamaran itu hanyalah main-main namun setelah menyedari suaminya ikhlas memperisterikannya, mereka akhirnya memilih tarikh 16 Januari untuk memeterai kasih.

Yatt-Abdul Mutalib

Karektor berbeza eratkan hubungan

Pelakon Haryati Hamzah yang mesra disapa Yatt, 29, ini menganggap Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29, adalah lelaki yang paling layak bergelar suaminya pada 29 Mac lalu ditambah pula dengan perbezaan karektor kedua-duanya di mana Yatt seorang yang ‘gila-gila’ manakala suaminya seorang yang pendiam.

Kini Yatt sedang hamil lapan bulan dan dijangka bersalin pada awal Februari depan.

Diana-Zamarul

Lapan tahun pertahan hubungan

Jika sudah jodoh tak ke mana. Begitulah yang boleh diungkapkan kepada hubungan pelakon Diana Rafar dan pelakon Zamarul Hisham yang akhirnya bergelar suami isteri pada 16 Mei lalu setelah lapan tahun bercinta.

Catriona- Shaharuddin

Bulan madu ditaja

Selepas diijabkabulkan pada 26 Jun lalu, aktres Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 29, dan pasangannya penerbit dan pengarah rancangan televisyen Astro, Shaharuddin Mokhtaruddin, 30, menjalani percutian bulan madu di Gunung Jerai Resort ditaja oleh Regency Hotel, Alor Star.

Selain itu, pasangan ini juga menghabiskan bulan madu mereka di Pangkor Laut Resort sebelum ke Itali. Sekarang, kandungan Cat hampir memasuki usia lapan bulan dan memilih warna tema putih untuk menyambut kelahiran bayi sulungnya yang bakal dilahirkan pada Mac 2010 nanti.

Zizie Ezette- Bung Mokhtar

Rahsia kahwin demi menjaga hati banyak pihak

Selain Waheeda-Akhil, pasangan pelakon jelita Zizie Ezette juga akhirnya mengaku telah berkahwin dengan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin setelah tersebar banyak spekulasi tentang kisah perkahwinan mereka.

Walaupun telah mengesahkan tentang berita itu, bagaimanapun kedua-duanya enggan mengulas lanjut termasuk tarikh dan tempat pernikahan itu berlangsung kerana mahu menjaga hati banyak pihak.

Zizie yang berjanji akan menjawab semua persoalan media mengenai perkahwinan mereka menganggap dia sudah ditakdirkan bertemu jodoh dengan Bung Mokhtar dan tidak mampu menghalang jika sudah tersurat jodohnya dengan suami orang.

Faizal AF4- Ashikin

Mengaku berkahwin setelah isteri hamil 8 bulan

Juara Akademi Fantasia 4, Faizal Ramly mengaku sudah berkahwin Nur Ashikin, 23, pada 12 Februari lalu setelah isterinya hamil lapan bulan.

Perkahwinan senyap mereka menjadi kontroversi apabila bapa penyanyi itu, Ramly Yaacob, 60, mengatakan mereka sekeluarga hanya dimaklumkan mengenai perkahwinan Faizal dua bulan selepas majlis tersebut berlangsung di rumah pengantin perempuan di Temerloh.

Bagaimanapun, Faizal sebelum itu berkata, perkahwinannya itu direstui keluarganya dan mereka sendiri telah menghadiri majlis berkenaan. Mengulas mengenai percanggahan cerita mengenai majlis perkahwinan itu, Faizal berkata, dia telah menghubungi bapanya semalam dan dimaklumkan bahawa mereka menjadi keliru.

Dia berjanji akan mendedahkan identiti isterinya setelah wanita itu melahirkan anak sulung mereka pada bulan depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: