Tuesday, December 8, 2009

Tiket Teater Natrah habis dijual


PRATONTON Teater Natrah di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR Sememangnya Teater Natrah yang sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) sejak 30 November lalu telah mencetuskan satu fenomena baru.

Sebelum ini, ramai beranggapan pementasan yang mengangkat naskhah berat seperti Natrah akan gagal menarik perhatian penonton.

Bagaimanapun, teater arahan Erma Fatima itu membuktikan sebaliknya apabila kesemua tiket berharga RM50, RM70, RM100 dan RM150 untuk empat hari tambahan yang akan berakhir 13 Disember ini habis dijual.

Hanya tiket berharga RM30 masih dijual dan kini tinggal lebih kurang 10 peratus sahaja lagi.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani berkata, kejayaan luar biasa Teater Natrah itu membuktikan kisah sejarah mampu menarik perhatian ramai jika ia digarap dengan baik.

Apa yang membanggakan apabila 60 peratus daripada jumlah penonton setakat ini merupakan golongan remaja.

"Sambutan yang diberikan terhadap Teater Natrah ini memang tidak disangka-sangka sehingga meletakkan ia sebagai produksi terbitan IB paling berjaya setakat ini.

"Ia juga membuktikan bahawa dengan kos yang kecil dan minimum, IB mampu menerbitkan sebuah teater yang akhirnya meninggalkan impak yang besar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Teater Natrah yang mula dipentaskan sejak 30 November lalu itu sepatutnya berakhir 9 Disember ini.

Namun, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyarankan pementasan itu dilanjutkan empat hari lagi bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menghayati sejarah Natrah.

Tambah Mohamed Juhari lagi, antara faktor utama kejayaan Natrah ialah subjek itu sendiri yang dilihat begitu dekat dengan rakyat negara ini.

Selain itu, bintang-bintang besar tanah air yang berlakon di dalam produksi itu juga merupakan salah satu faktor mengapa Teater Natrah mendapat sambutan hebat.

Ditanya kemungkinan Teater Natrah akan dipentaskan untuk musim kedua, Mohamed Juhari memberitahu, semua itu bergantung kepada keadaan.

"Dengan sambutan yang diberikan, saya lihat tidak ada sebab untuk Teater Natrah tidak disambung bagi musim kedua.

"Siapa tahu dengan adanya musim kedua kelak, ia akan memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menontonnya," ujarnya lagi.

Teater Natrah mendapat sokongan daripada Kumpulan Utusan selaku media rasmi di samping stesen radio Sinar FM sebagai radio rasmi.

Teater Natrah dibintangi Maya Karin selaku Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun, Remy Ishak (Mansor Adabi), Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline).

Selain barisan pelakon utama, Teater Natrah turut melibatkan hampir 100 pelakon lain termasuk pelakon kanak-kanak.

Ia menceritakan kisah benar seorang wanita Belanda yang bernama Natrah atau Maria Huberdina Hertogh yang diserahkan oleh ibunya kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya yang ditawan tentera Jepun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: