Tuesday, December 8, 2009

China belajar kuasai kriket

Walaupun baru berjinak-jinak dalam sukan kriket, namun pemain remaja China sudah menunjukkan bakat bahawa mereka mampu pergi lebih jauh dalam sukan ini.


PASUKAN kriket bawah 19 tahun China kini sedang giat menjalani latihan di Dhaka, Bangladesh.


SEPERTI kebanyakan remaja lelaki China, Xu Chun Yang mempunyai impian untuk menjadi pemain bola keranjang terkemuka seperti Yao Ming yang menyertai Liga Bola Keranjang Amerika Syarikat (NBA).

Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, dia mula mempelajari selok-belok 'permainan perlahan' dan kemudian terus jatuh cinta pada sukan itu. Ia adalah permainan kriket yang kini menambat hatinya untuk mempelajari dengan lebih mendalam.

Justeru, Chun Yang sanggup terbang jauh ke Bangladesh untuk mempelajari permainan tersebut. Di sebuah padang akademi sukan elit di Dhaka, ibu negara Bangladesh, Chun Yang gigih berlatih bersama 14 lagi pemain kriket remaja Cina dalam usaha mencapai impian bergelar bintang kriket terkenal seperti Shoaib Akhtar.

"Saya telah menonton beberapa video cakera padat (DVD) mengenai pemain kriket Pakistan dan saya amat menyukai mereka terutama Shoaib," kata remaja berusia 18 tahun itu menerusi penterjemah sambil mengesat peluh di dahi selepas menghabiskan tiga pusingan larian.

Katanya, walaupun masih dalam proses mempelajari permainan kriket, namun mereka mampu belajar dengan pantas sama seperti pemain hebat yang lain.

"Sukan kriket semakin berkembang di China dan ia kini banyak dimainkan di sekolah-sekolah dan kolej-kolej pengajian," ujar Chun Yang lagi.

Chun Yang dan rakan sepasukan dari skuad kriket bawah 19 tahun China kini berada di Bangladesh selama lima minggu untuk meningkatkan skil permainan di bawah kendalian bekas pemain kebangsaan negara tersebut.

Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) percaya, sukan itu mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan diminati oleh rakyat republik tersebut.

Justeru, mereka sering menghantar jurulatih dan pegawai ke sana untuk mempromosikan sukan kriket di China.

Bekas pemain antarabangsa Pakistan, Rashid Khan bertindak sebagai jurulatih pasukan lelaki China, sementara Mamatha Maben (bekas pemain antarabangsa India) pula melatih pasukan wanita.

Aminul Islam, pemain batsman Bangladesh, yakin dalam masa sedekad lagi China mampu bersaing dengan pasukan terkenal dunia seperti Australia dan India.

"Sewaktu kali pertama saya datang ke sana (China) tiga tahun lalu, terdapat hanya beberapa orang yang tahu permainan kriket. Mereka menganggapnya sebagai satu permainan yang amat lambat dan perlahan," kata Islam, 41, yang bertugas sebagai pegawai pembangunan untuk Majlis Kriket Asia.


AMINUL ISLAM (kiri) sedang memberi penerangan mengenai cara-cara menangkap bola kepada pasukan bawah 19 tahun China di Dhaka.


Ceritanya, sejak melawat beberapa tempat di China, beliau mendapati struktur kriket sudah mendapat tempat di negara tersebut.

"Tahun ini, sebanyak 103 buah sekolah dan enam universiti mengambil bahagian dalam kejohanan kriket kebangsaan di China. Ia membuktikan mereka sudah mula menggemari sukan ini," ujarnya.

Islam menjadi popular di kalangan pelajar Cina kerana dia bertekad mempelajari bahasa Mandarin untuk mudah berkomunikasi dengan mereka tentang kriket.

"Ia satu pelaburan yang berbaloi. Rakyat China dapat menguasai permainan dengan pantas. Saya harap mereka akan menjadi antara pasukan ternama dunia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi," ujar Islam yang merupakan pemain pertama mengutip mata test hundred untuk Bangladesh pada tahun 2000.

"Satu perkara yang mengagumkan tentang pemain China ialah nuansa pencapaian mereka yang begitu pantas berbanding dengan orang lain. Apa yang negara lain capai dalam tempoh 30 tahun, mereka boleh lakukan dalam masa 10 tahun sahaja," tambahnya.

Ketua jurulatih pasukan bawah 19 tahun China, Liu Ping Ping pula berkata, sebanyak 15 daripada 300 pemain terpilih untuk mengikuti latihan intensif di Bangladesh.

Mereka kini sedang membuat persediaan untuk menyertai kejohanan di Thailand pada bulan ini dan kemudian Sukan Asia di Guangzhou, China pada November 2010.

"Kami berlatih bersungguh-sungguh untuk Sukan Asia. Memang kami masih belum bersedia untuk setanding dengan negara hebat lain, tetapi hasil bantuan jurulatih dari Bangladesh, Pakistan, India dan Sri Lanka, kami harap dapat menunjukkan bahawa jurang perbezaan yang luas dapat dirapatkan," jelas Ping Ping.

Beliau memberitahu, kriket tidak ditayangkan secara meluas di kaca televisyen dan kini bersaing sengit dengan sukan bola keranjang dan bola sepak di China.

Namun, Ping Ping yakin, jika pasukan China mempamerkan aksi terbaik di Guangzhou kelak, sukan itu pasti akan terus mendapat perhatian masyarakat di negara berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: