Tuesday, December 8, 2009

Kisah konflik gadis melankolik


salah satu adegan dalam The Twilight Saga: New Moon.


FILEM ini dihebohkan oleh propaganda promosinya sebagai antara filem yang memberikan fenomena baru dalam industri filem Hollywood.

Sambutan luar biasa terhadap siri pertama filem ini, Twilight juga sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Twilight dan sambungannya New Moon merupakan karya yang diadaptasi daripada novel tulisan Stephenie Meyer.

Apakah sekuel ini bakal mengikut jejak kejayaan filem-filem siri Harry Potter yang diadaptasi daripada novel tulisan J.K. Rowling?

Twilight dan New Moon merupakan dua daripada empat siri novel tulisan Stephenie Meyer.

Dua lagi sambungan novelnya ialah Eclipse dan Breaking Down.

Apakah yang menarik dan luar biasanya karya Stephenie Meyer ini hingga menjadikannya novel yang cukup laris hingga terjual tidak kurang daripada 70 juta naskhah?

Twilight (diterbitkan pada 2005) merupakan novel pertama ditulis oleh Stephenie Meyer dan setiap satu novel daripada sirinya itu turut dipengaruhi oleh karya klasik daripada pengarang Jane Austin, William Shakespeare dan Emily Bronte.

Novel tulisan Stephenie ini menggabungkan elemen seram, mitos, romantis dan kehidupan remaja masa kini dengan meletakkan watak seorang gadis sebagai penggerak utama plotnya.

Kejayaan novel tersebut diikuti pula oleh sambutan luar biasa terhadap filem Twilight di pasaran dengan kutipan lebih daripada RM1.2 billion.

Walaupun novel tulisan Stephenie ini dipengaruhi oleh beberapa karya klasik besar dunia dengan elemen seram dan gelap tetapi sasaran utama pembacanya adalah gadis remaja dan wanita.

Apabila Twilight diadaptasi ke filem, pengarahnya ketika itu Catherine Hardwicke menggunakan barisan pelakon yang muda dan remaja supaya mempunyai ikatan dengan sasaran penontonnya para gadis remaja.

Bukan itu sahaja Twilight dan New Moon jika dibuang aspek seram dan mistik pada elemen serigala jadian dan puntianak (vampire), ia sekadar kisah cinta remaja yang biasa dan malah kelihatan begitu melankolik.

Filem ini juga sebenarnya sekadar memaparkan citra lemah seorang gadis yang begitu bergantung kepada seorang lelaki.

Dalam Twilight, Bella (Kristen Stewart) seorang gadis cantik diperkenalkan kepada Edward (Robert Pattinson) pemuda kacak tetapi berkelakuan aneh yang sebenarnya makhluk puntianak dan telah berusia 109 tahun.

Bagaimanapun, selepas membuat hubungan, kehidupan Bella lebih banyak bergantung kepada Edward untuk mendapatkan perlindungan.

Watak Bella yang melankolik dan terlalu mendambakan seorang lelaki telah menjadi sasaran kritikan feminis yang menganggap Bella watak lemah yang mengembalikan imej watak gadis klasik.

Dalam New Moon yang menyambung kisahnya daripada Twilight masih membariskan pelakon yang sama dan penulis lakon layar yang sama Melissa Rosenberg tetapi pengarahnya telah bertukar kepada Chris Wietz (The Golden Compass).

Namun begitu, dalam karya ini, Edward telah memutuskan hubungan dengan Bella lalu ke Itali apabila sejarah keluarga Cuileute telah terdedah di kalangan masyarakat pekan kecil Forks.

Bella yang kecewa didampingi pula oleh Jacob (Taylor Lautner) yang sebenarnya daripada sejarah keluarga serigala jadian.

Pada masa-sama tertentu khususnya ketika Bella berdepan dengan suasana merbahaya, bayangan Edward akan muncul untuk menyelamatkan Bella.

Filem yang diadaptasi daripada novel Stephenie Meyer ini memberi tumpuan pada kisah cinta remaja dengan pendekatan yang stereotaip.

Penonton hanya diberikan bayangan seram tentang puntianak dan serigala tetapi kedua-dua makhluk ini tidak diberikan ruang sebenar untuk mereka.

Malah proses transformasi mereka sudah tidak berlaku mengikut pertukaran ruang waktu seperti mana kelaziman mitosnya.

Bagaimanapun, kedudukan Bella, seorang gadis antara dua makhluk monster iaitu puntianak dan serigala yang dibayangi oleh elemen seram, bahaya dan ngeri merupakan fantasi yang menarik.

Elemen fantasi dan mainan suspen antara seram dan ngeri menjadi antara faktor mengapa naratif tulisan Stephenie Meyer ini berjaya menarik perhatian terutama gadis remaja.

Ini ialah kerana keupayaannya menggabungkan elemen dramatik kisah cinta gadis remaja yang melankolik yang berdepan dengan elemen ngeri, bahaya dan menyeramkan.

Dari sudut arahan dan garapan visual, New Moon nyata lebih kuat daripada Twilight tetapi daripada aspek dramatik New Moon gagal mengekalkan dinamisme dramatik Twilight.

Kemunculan Edward dalam gerak perlahan tidak memberikan kesan dramatik yang sewajarnya, malah melucukan.

Bukan itu sahaja Robert Pattinson sebagai Edward gagal memberikan variasi lakonan yang dinamik sebagai makhluk dalam usia yang lama serta elemen kedurjanaan yang ada padanya selain daripada wajah kacaknya yang kelihatan melankolik.

Begitu juga dengan Jacob dan saudara-saudaranya selepas berubah daripada serigala sentiasa tidak berbaju.

Walaupun ada kewajarannya, tetapi sebagai filem yang disasarkan untuk remaja maka paparan dan adegan tersebut tidak lebih untuk menonjolkan tubuh sasa pelakon tersebut.

Pendekatan visual sebegini oleh Chris Weitz melengkapkan bentuk naratifnya yang mensasarkan kepada khalayak penonton remaja, terutamanya gadis remaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: