ERRA ketika penyampaian hadiah bersama pemenang Gu Gu Ga Ga Erra. |
JIKA tiada angin masakan pokok mampu bergoyang sendiri? Jika tiada mata yang melihat masakan desas-desus rumah tangga yang dibina primadona filem Melayu yang juga penyanyi, Erra Fazira goyah disebabkan kehadiran orang ketiga?
Namun itu cumalah gosip yang tidak pernah sunyi menghantui selebriti tanah air itu. Malah wanita jelita itu agak terkejut dan sempat mengucap panjang apabila soalan itu ditanya media yang hadir pada majlis meraikan kejayaan program Gu Gu Ga Ga Erra yang pernah disiarkan menerusi Astro Ria, baru-baru ini.
“Inilah kali pertama saya mendengar berita membabitkan rumah tangga goyah selepas lebih dua tahun dibina. Memang saya tidak pernah dengar. Alhamdulillah rumah tangga saya sangat baik dan bahagia hingga hari ini.
“Bagi saya setiap pasangan tidak kira artis atau orang awam akan melalui masalah perselisihan faham, inikan pula golongan artis yang sentiasa diperhatikan masyarakat.
“Sebelum ini pun saya sering terbaca mengenai rumah tangga rakan artis yang lain dan percaya suatu hari nanti akan terkena kepada kami. Saya cukup bersedia dengan gosip seperti itu yang cuba berniat jahat untuk menghancurkan rumah tangga kami.
“Namun saya bersyukur kerana tidak mahu cepat melatah tanpa usul periksa kerana benda yang tidak jika diperbesarkan akan membinasakan rumah tangga kita,” katanya.
Bekas ratu cantik 1992 itu juga belum bersedia untuk hamil lagi kerana mahu tumpukan kepada perhatian kepada cahaya mata sulungnya, Engku Aleesya Engku Emran.
“Kami belum terfikir untuk menimang cahaya mata baru kerana terlalu baru lagi dan saya belum puas untuk memanjakan Aleesya, namun jika Tuhan hendak memberi kami rezeki kita tidak akan menolak.
“Buat masa ini kami berdua sangat sibuk walaupun ada yang mengatakan saya jarang muncul di televisyen. Sebenarnya walaupun jarang muncul di televisyen lain, namun jadual saya sentiasa sibuk dengan penggambaran drama dan program televisyen di Astro.
“Begitu juga dengan Emran sejak bertugas di tempat baru ini dia begitu sibuk dengan kerja barunya. Maklumlah tempat baru dia harus bekerja keras untuk membiasakan diri di sana. Dia juga sudah berfikir panjang dan sanggup menanggung risiko dengan kerja barunya, saya hanya memberi sokongan saja,” katanya.
Erra yang ditemui pada majlis itu hadir bagi meraikan pemenang kuiz yang dianjurkan Johnson & Johnson di dalam program Gu Gu Ga Ga Erra yang turut dihadiri Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson Malaysia, Stanford Guo dan Datuk Dr Zulkifli Ismail.
“Saya bersyukur kerana program itu menerima maklum balas yang sangat positif dan saya juga percaya maklum balas negatif tidak terkecuali diterima.
“Sebenarnya saya juga menerima tawaran daripada pihak Johnson & Johnson untuk menyambung bagi musim kedua namun saya menolak dengan baik.
“Sebenarnya sudah tidak ada apa yang hendak saya tunjukkan lagi dalam program itu, lebih lagi saya tahu ada yang menyukainya terutama golongan makcik dan ada juga golongan yang tidak menyukainya.
“Sebelum menerima tawaran dulu lagi saya sudah memikirkan masak-masak dan tahu risikonya, namun saya sentiasa memikirkan perkara yang positif saja.
“Kini semuanya sudah terbukti apabila sambutan program itu cukup memberangsangkan sehingga berjaya mencapai rating yang tinggi di Astro,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri popular, Menantu VS Mentua dan dijangka menerbitkan album solo pada tahun hadapan menerusi syarikat rakaman Suria Records (SRC) selain penampilan di layar perak di bawah produksi Box Lite Entertainment.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: