FOKUS, inilah gambaran sesi penggambaran iklan cetak yang dijalankannya di sana. |
Natasha Hudson terharu dilayan bagaikan anak raja ketika mengunjungi kota yang mengeluarkan filem terbanyak di dunia
LAHIR dalam keluarga berdarah campuran atau pan Asia, maka tidak hairanlah, pelakon dan juga model, Natasha Hudson, 27, menjadi pilihan bagi mempromosikan label tertentu. Sejak usia 7 tahun lagi, wajah campuran Australia dan Melayu ini bergelar pelakon iklan produk Nesquick.
Selepas sekian lama tidak terbabit dengan sebarang iklan komersial, bulan lalu, sejak 17 hingga 22 Oktober, pelakon teater muzikal Ibu Zain 2 dan Gamat ini ke Mumbai, India untuk melunaskan penggambaran iklan cetak untuk produk pemutihan kulit, Fair & Lovely selama dua hari.
Katanya yang mesra dipanggil Tasha, dia mula mengenali pereka terbabit ketika berlakon filem Tipu Kanan Tipu Kiri.
“Malah selepas beberapa hari saya kembali ke Kuala Lumpur, agensi modeling yang sama mengesyorkan saya untuk produk Fair & Lovely turut menawarkan saya tugasan seterusnya bagi iklan cetak produk gel mandian May. Insya-Allah kalau jadi, Disember ini saya akan terbabit untuk iklan TV pula.
INILAH sebahagian peminat barunya di India. |
“Saya harus berterima kasih kepada agensi, Mugshots kerana membeli peluang berganda untuk saya melepaskan rindu terhadap bidang iklan komersial. Saya difahamkan iklan cetak yang menjalani penggambaran di India itu untuk pasaran di Malaysia dan negara terbabit juga.
“Macam orang mengantuk disorongkan bantal, pemergian saya ke sana tidak sia-sia kerana dapat melaram dengan busana tradisi India, pakaian sari untuk kempen koleksi terbaru Kawaljeet Singh. Ketika penggambaran kempen fesyen itu dijalankan, saya turut bergandingan dengan dua model lelaki dari sana,” katanya teruja ketika bertemu dengan Hip baru-baru ini.
Ketika berada di sana, Tasha yang cukup tebal dengan entiti Melayu menjelaskan dia dilayan bagaikan anak raja. Selain dapat bekerjasama dengan jurugambar selebriti popular bernama Jayesh Seth, Tasha turut ditemubual Zoom TV India untuk bertanyakan perkembangannya sebagai anak seni.
Menurut Tasha, Jayesh cukup sinonim kerana pernah menghasilkan karya fotografi hebat di samping insan ternama seperti Richard Gere, Datuk Shah Rukh Khan, Aishwarya Rai dan ramai lagi. Seloroh Tasha, dia tidak menyangka peluang itu terbentang luas ketika menjayakan kempen fesyen rakan perekanya itu.
NATASHA Hudson ketika ditemubual Zoom TV India. |
“Tak saya nafikan, orang di sana pun baik belaka macam orang kita. Paling membuatkan saya terus teruja apabila dapat peluang menikmati makanan di sana. Capati dan kari masala antara menu wajib saya untuk mengisi perut. Bila sudah sampai Malaysia, rindu pula makanan di sana. Saya turut mengambil kesempatan berjalan-jalan di sana.
“Menariknya, kami tidak menaiki kereta, sebaliknya hanya menaiki kenderaan beroda tiga yang dipanggil Tut Tut. Di Thailand pun menggunakan kenderaan yang lebih kurang sama. Selain membeli-belah, saya sempat di bawa melihat rumah bintang ternama di sana seperti Amitabh Bachchan,” kata ibu kepada Nessa Helena itu.
Teruja jumpa Tabu, Shabana Azmi
PADA masa yang sama, Tasha turut dibawa ke acara makan malam di rumah seorang produser Bollywood. Kebetulan pula, tanpa disangka Tasha, kelibat dua orang pelakon berbakat besar, Tabu dan Shabana Azmi turut kelihatan.
Kata Tasha, sapaan yang dilakukannya kepada dua orang pelakon itu turut mengubah persepsinya terhadap pelakon dari sana yang sering dilabelkan ‘kekwat’.
“Peluang itu juga saya manfaatkan untuk mengambil gambar kenangan bersama biarpun pada mulanya saya naik segan. Saya boleh katakan, kedua-dua pelakon ini sangat merendah diri biarpun mereka pernah sampai ke tahap superstar. Tidak wujud langsung jurang perbezaan ketika bersembang dengan mereka.
“Kami sempat berkongsi pendapat dan idea mengenai dunia seni. Malah mereka sempat berpesan kepada saya sambil menitipkan kata berharga iaitu jadilah diri sendiri dan merendah diri selalu dan tidak guna berlagak sombong. Pendek kata, saya boleh masuk dengan mereka.
“Terharu bercampur nak ketawa juga kerana pada masa yang sama, saya turut ditawarkan peluang berlakon dan menyanyi di sana. Setakat ini, saya belum terfikir untuk melebarkan saya ke sana. Tapi siapa tahu keajaiban mungkin berlaku kelak. Saya berdoa saja yang baik kerana peluang itu ada di mana-mana saja,” katanya sambil tersenyum.
Masih aktif berlakon
SEMENTARA itu, ditanya mengenai perkembangan kerjaya lakonannya, Tasha memberitahu dia masih memenuhi tawaran berlakon jika diundang. Terbaru, Tasha terbabit dengan drama lapan episod untuk Astro Citra berjudul Lembing & Layang. Drama itu arahan Wan Hasliza yang pernah mengarahkan drama Rosli Dhoby.
Kata Tasha, dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana apa yang dicitakan selama ini datang tanpa diduga. Sebagai contoh, hasratnya untuk berlakon teater juga termakbul. Kesabarannya untuk memulakan kembali kerjaya selepas kontroversi yang pernah melanda dan menumpukan perhatian kepada perkahwinan keduanya membuahkan hasil.
Khabarnya juga Tasha akan berlakon dalam filem Jebat yang mana turut menampilkan adiknya, Tania. Bagaimanapun semua itu belum dapat disahkan lagi apatah lagi pengumuman rasmi produksi filem terbabit belum membuka mulut.
Kata Tasha, kalau peluang berlakon filem itu kembali, kenapa dia perlu melepaskannya begitu saja.
“Insya-Allah, selepas drama Lembing & Layang, saya juga akan kembali terbabit untuk saluran yang sama untuk sebuah drama yang berkisarkan permainan badminton. Untuk watak dalam drama Lembing & Layang, saya memegang watak Nioh seorang gadis Melayu bercampur suku kaum Semai.
“100 peratus skrip dalam drama itu menuntut saya berbahasa Semai. Malah, wajah saya turut berubah kerana perlu digelapkan. Drama itu turut dilakonkan Azhan Rani, Betto Khusairi, Namron, Riz Ainuddin dan Zahiril Adzim. Drama itu mula disiarkan sejak 4 November lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: