Kereta solar ciptaan UNITEN, Solar Ranger 1 yang menggunakan logo 1Malaysia bergerak lancar merentas jarak sejauh 3,021km antara Darwin di wilayah utara dan Adelaide di Australia selatan.

USAHA para pelajar Kolej Kejuruteraan (COE) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang pertama kali menyertai cabaran kereta solar dalam pertandingan berprestij Cabaran Solar Sedunia (WSC 2009) telah menampakkan hasil dalam penggunaan sumber tenaga alternatif yang murah dan bersih.
Pertandingan yang berlangsung di Australia pada 25 hingga 30 Oktober lalu merupakan titik-tolak bagi IPTS tersebut untuk meluaskan lagi kreativiti para pelajarnya bagi meneruskan penyelidikan berhubung penggunaan solar pada kenderaan.
Disertai seramai 16 orang anggota termasuk lapan pelajar Kolej Kejuruteraan UNITEN, pasukan itu telah mengambil masa selama dua tahun sejak 2007 untuk projek kereta solar tersebut.
"Projek ini membabitkan pembangunan reka bentuk sel solar dan bateri. Selain merupakan projek akhir pelajar COE," jelas Pengurus Projek Kereta Solar UNITEN, Profesor Halil Hussain, ketika ditemui di kampus UNITEN Bangi, baru-baru ini.
Menceritakan langkah pertama untuk menggerakkan kereta itu, tenaga solar daripada panel akan dialirkan ke bateri. Kemudian, tenaga yang terkumpul pada bateri akan dibawa ke alat kawalan untuk mengawal kelajuan motor. Ini bererti pemandu perlu menekan pedal untuk mendapat kelajuan yang diingini.
"Dari segi kelajuan pemanduannya pula, tenaga solar yang boleh digunakan ialah 88 ampere yang bersamaan 60 kilometer (km) sejam. Tetapi apabila kelajuan yang ingin dicapai ialah 30 ampere bersamaan 90 km sejam, kereta solar ini perlu menggabungkan tenaga bateri dan solar untuk menggerakkannya," jelasnya.

Menyentuh mengenai keselamatan, rekaan kereta solar perlu mempunyai roll cage. Ia berfungsi melindungi pemandu daripada kecederaan sekiranya mereka tercampak apabila kereta terbalik atau mengalami kemalangan.
Faktor berat pemandu juga memainkan peranan penting. Berat minimum pemandu mestilah lebih 80 kilogram. Jika tidak, sand ballast iaitu sejenis guni pasir perlu digunakan.
"Kami perlu meletakkan sand ballast untuk mencapai berat yang diperlukan. Tidak lupa juga topi keledar dan tali pinggang keselamatan," tambahnya lagi.
Bagaimana pula jika kereta solar itu perlu bergerak pada waktu malam?
Halil menyatakan tiada masalah untuk menggerakkan kereta solar pada waktu malam. Cuma pastikan bateri dicaj sepenuhnya terlebih dahulu.

Dari segi potensi penggunaan kereta solar untuk masa kini, ia dilihat masih lagi di tahap rendah berikutan kos panel solar yang amat mahal.
"Buat masa sekarang, kereta solar memang untuk pertandingan sahaja. Untuk menggunakannya dengan lebih meluas memang sukar kerana kosnya terlalu tinggi," katanya.
Cekal tamatkan saingan
Meskipun tidak berjaya menandingi peserta dari negara-negara lain, UNITEN tidak pernah mengaku kalah sebaliknya terus berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan.
Kereta Solar Ranger 1 UNITEN ada mengalami masalah teknikal pada motor dan sistem jajarannya. Selain baterinya pecah ketika perjalanan dari Sydney ke Darwin.

Masih banyak perubahan yang perlu dilaksanakan. Terutama bajet dalam aspek penggunaan komponen pada kereta solar tersebut.
Bagaimanapun, dengan catatan masa empat minit 22 saat, kejayaan melepasi ujian dinamik yang merangkumi ujian kelajuan, kestabilan dan berhenti mengejut cukup bermakna kepada pasukan UNITEN.
Bagi salah seorang peserta, Edmund Ti Wee Kiat, 22, pengalaman mengikuti kejohanan nyata begitu berharga. Pendedahan yang diterima apabila turut layak berada di sana membolehkannya mengetahui kekurangan Solar Ranger 1 berbanding kereta solar lain. Ia sekali gus membantu Edmund memperbaiki dan mempelajari kekurangan yang ada.
"Kami pergi sana untuk mengetengahkan jenama UNITEN dan Malaysia di persada antarabangsa. Walaupun persaingan sengit, ia tidak memberikan sebarang tekanan dan menjatuhkan semangat kami.
"Kerosakan yang dialami menguji kebolehan peserta bagaimana untuk menyelesaikannya. Memandangkan kejadian tanpa diduga itu tidak pernah berlaku ketika sesi uji pandu di UNITEN," ujarnya.

Menurut Edmund lagi, Solar Ranger 1 mampu bertahan pada kelajuan maksimum 60 km sejam berbanding tahap sebenarnya iaitu sehingga 110km sejam.
Jarak perjalanan pertandingan yang jauh memerlukan setiap peserta bermalam di dalam khemah. Ia sememangnya cukup menguji daya ketahanan fizikal dan mental mereka.
Sokongan ahli
Selain bantuan tenaga pengajar, peranan setiap ahli kumpulan amat diperlukan agar peserta tidak mudah patah semangat atau berlaku perselisihan faham sepanjang enam hari berada di sana.

"Kerjasama antara ahli kumpulan amat dititik beratkan. Apatah lagi apa sahaja masalah yang timbul atau gerak kerja memerlukan kerjasama daripada semua.
"Oleh kerana semua faham dengan tanggungjawab masing-masing, maka kami pulang dengan perasaan gembira," ulasnya.
Menurut rakan sepasukannya, Mohammad Syafiq Khasmani, sebaik sahaja pertandingan itu berlangsung dia agak terkejut dengan kehadiran penduduk tempatan yang datang memberi sokongan.
Bukan itu sahaja, pasukan yang datang bertanding juga sempat berkongsi pengetahuan dan menjadikannya satu persaingan yang sihat.
"Memandangkan ini kali pertama UNITEN memasuki pertandingan sebegini, jadi saya rasa ia sesuatu yang cukup membanggakan. Pasukan kami juga rapat dengan beberapa pasukan lain.
"Kalau ada masa terluang, mereka akan datang membantu. Ini membolehkan pasukan UNITEN melihat dan mempelajari kemajuan teknologi yang diaplikasikan oleh pasukan lain," katanya.

Syafiq memberitahu perbezaan ketara antara Solar Ranger 1 dengan kereta solar pasukan lain ialah dari segi rekaan dalamannya.
Pemandu Solar Ranger 1 bukan hanya perlu memberi tumpuan terhadap pemanduan, malah mereka harus sentiasa mengemas kini setiap maklumat yang ada pada kenderaan tersebut.
"Misalnya pasukan kereta solar Tokai Challenger dari Tokai University Jepun, pemandu mereka hanya perlu fokus kepada pemanduan sahaja. Ahli pasukan lain yang mengawal atau memberi isyarat kepada mereka sama ada ia boleh bergerak lagi atau sebaliknya.
"Lain dengan kereta solar kami yang memerlukan pemandu memberikan maklumat tersebut kepada ahli pasukan. Jadi, inilah antara perkara yang perlu diubah oleh Solar Ranger 1 supaya setanding dengan pasukan lain," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: