Casio sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila memperkenalkan kamera digital tahan lasak ala jam tangan G-Shock, Exilim EX-G1.
CASIO yang terkenal sebagai pengeluar produk elektronik meraih populariti setelah berjaya menghasilkan pelbagai produk seperti jam dan kalkulator. Salah satu produk popular mereka ialah jam tangan G-Shock yang turut pernah dipertontonkan dalam beberapa filem, antaranya Speed, lakonan Keanu Reeves. Ia menunjukkan betapa lasak dan tahannya jam yang dipakai pelakon kacak tersebut walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan.
Selain itu, ketahanan G-Shock turut terbukti apabila ia dipakai oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam peperangan sebenar.
Hari ini, Casio sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila memperkenalkan kamera digital tahan lasak ala G-Shock, Exilim EX-G1 yang membawa ciri-ciri ketahanan Casio dengan ciri pintar yang lazimnya terdapat pada sebuah kamera digital kompak selain tubuh yang tahan gegaran.
Di sebalik reka bentuk serta badan yang tahan lasak, kamera Exilim EX-G1 yang hanya berketebalan 0.78 inci tidak ketinggalan dari segi teknikal berbanding kamera lain.
Dengan sensor 12.1 megapiksel, skrin LCD bersaiz 2.5-inci dan tiga kali zoom optikal, ia menjadi tarikan tambahan selain fungsi termaju dalam mengabadikan sesebuah foto.
"Sama ada ia untuk gaya hidup yang dipilih atau cabang kerjaya memerlukan anda membawa kamera yang cukup tahan lasak untuk mengharungi pelbagai rintangan dalam melaksanakan tugas, Exilim EX-G1 menawarkan tahap ketahanan yang lebih daripada mencukupi untuk melakukan tugasan seharian," jelas Toshi Iguchi, Pengurus Besar Kanan, Bahagian Pengimejan Digital, Casio.
Menurutnya lagi, kamera terlasak keluaran Casio tersebut merupakan bukti dedikasi syarikat itu yang berterusan dalam menghasilkan kamera yang boleh memenuhi kehendak 'kaki kamera' dari pelbagai peringkat.
Ia tidak sekadar menawarkan ketenangan minda dengan teknologi perlindungan gegarannya (pada ketinggian sehingga dua meter sekiranya terjatuh). Bahkan, penyelam skuba yang gemar menerokai dasar laut dan tinggalan kapal karam pastinya teruja apabila mengetahui kamera ini turut mampu bertahan pada persekitaran berhabuk serta kalis air sehingga kedalaman 10 meter selain mampu bertahan sehingga 1 jam pada kedalaman itu.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan merah, Exilim EX-G1 dipasarkan pada harga sekitar RM1,015.
Ia dijangka mewarnai dunia penggemar gajet digital dan juga mereka yang gemarkan sukan ekstrem. Ini kerana mereka dapat merakamkan aktiviti lasak tanpa perlu khuatir akan survival kamera mereka sekiranya terjatuh di atas kawasan perkhemahan atau terjatuh sewaktu mengambil gambar teman-teman di gigi air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: