Tuesday, December 1, 2009

Ramai pengarah lamar Tiz Zaqyah


JUMAAT lalu bersamaan 27 November, drama bersiri yang mencetus fenomena dengan jumlah penonton lebih 3 juta bagi setiap episod, Nur Kasih, melabuhkan tirainya. Ternyata usaha Kabir Bhatia menyuntik kelainan penceritaan dengan menerapkan elemen keagamaan dalam karyanya kali ini berjaya menambat hati penonton.

Justeru, tidak menghairankan apabila kedengaran ramai produser menyatakan minat mereka untuk menghasilkan drama seperti Nur Kasih.

Dari satu sudut, ia dilihat perkembangan sihat kerana mempelbagaikan lagi drama terbitan produksi tempatan untuk disajikan kepada penonton.

Namun, sudah pasti penonton meletakkan harapan tinggi kepada karya berikutnya berdasar fenomena yang dicetuskan Nur Kasih dalam industri hiburan tempatan.

Ini terbukti apabila Nur Kasih masih terus hangat dibincangkan sama ada di kedai kopi mahupun menerusi laman sesawang biarpun ia sudah menemui penghujungnya Jumaat lalu.

Itulah penangan Nur Kasih yang tidak sedikit pun terjejas biarpun ada pihak membocorkan setiap episod di sebuah laman web. Ternyata peminat drama ini masih ingin mengetahui sendiri pengakhiran cerita menerusi kaca televisyen.

Keberanian Kabir memperkenalkan muka baru dalam karyanya adalah tindakan terbaik mencari pelapis berbakat dalam mewarnai lagi pentas lakonan.

Apatah lagi, dia sememangnya dikenali sebagai pengarah hebat yang berupaya mencungkil bakat pelakon tidak kiralah baru ataupun yang sudah lama menapak dalam industri. Kerana kekuatan jalan cerita Nur Kasih, siapa sangka ia berjaya menjulang nama pelakon baru Tiz Zaqyah Abdul Razak di bibir peminat industri hiburan tempatan.

Ketika Nur Kasih meraih perhatian, nama Tiz Zaqyah yang menjadi sebutan kerana menjayakan watak Nur Amina sedikit tercalar apabila ada pihak cuba merosakkan reputasinya sebagai pelakon dengan menyebarkan gambar aktiviti sosialnya bersama rakan di Internet.

Berbeza dengan karakter Nur Amina yang dibawanya, seorang gadis lemah-lembut dan berperwatakan ayu bertudung, gambar sosial itu dikatakan mampu mempengaruhi jumlah penonton Nur Kasih.

Realitinya, tiada apa yang berlaku, malah Nur Kasih masih terus meraih jumlah penonton tertinggi setiap kali bersiaran hinggalah ia menutup tirai Jumaat lalu.

Ketika menghubungi Tiz Zaqyah, 21, Ahad lalu, dia bersyukur kerana kontroversi yang menimpanya sewaktu populariti Nur Kasih berada di kemuncak langsung tidak menggugat perhatian peminat setianya.


"Syukur, akhirnya Nur Kasih berakhir dengan kejayaan memberangsangkan. Walaupun, ada terpalit sedikit kontroversi ketika hangat Nur Kasih bersiaran, namun Alhamdulillah ia tidak mempengaruhi jumlah penonton. "Awalnya, saya agak khuatir ia akan mengurangkan jumlah penonton, tetapi tidak.

"Yalah, saya tidak mahu gara-gara saya, jumlah penonton Nur Kasih jatuh mendadak. Lagipun, bukan saya seorang terbabit dalam Nur Kasih, kerana ramai lagi seperti Ummi Nazeera, Fizz Fairuz dan Ayu Raudah. Ketika itu, bengang juga dengan penyebaran gambar yang dikaitkan dengan saya kerana yakin ada pihak cuba menjatuhkan karier saya sebagai pelakon.

"Ini membuatkan saya mula mengenali kehidupan sebagai artis dan mengambilnya dari sudut positif. Apa yang pasti, keluarga banyak memberi motivasi pada saya. Boleh dikatakan individu di sekeliling saya sentiasa memberikan semangat. Yang berlaku itu, biarlah berlalu dan saya akan terus memberi terbaik dalam industri ini.

"Agak sedih juga kerana drama Nur Kasih sudah habis bersiaran. Tiada lagi, menghiasi slot hari Jumaat di TV3, setiap jam 9 malam. Kalau dulu, ternanti-nanti drama ini, kini sudah tiada lagi. Cuma, saya gembira kerana peluang yang diberikan Kabir menerusi drama ini berjaya menaikkan nama saya hingga dikenali ramai.

"Banyak saya belajar ketika menjayakan watak Nur Amina. Saya kini lebih banyak bersabar dan memikir sesuatu perkara sedalamnya sebelum membuat keputusan. Bukannya dulu tidak penyabar, tetapi selepas menjayakan Nur Amina, sifat kesabaran saya semakin dapat dipertingkatkan," katanya.

Menyentuh sama ada selepas ini dia akan menerima tawaran berlakon seperti watak Nur Amina, kata Tiz Zaqyah, semuanya dalam perbincangan. Bagaimanapun, dia mengharapkan kelainan kerana tidak mahu menampilkan lakonan serupa dalam setiap drama dan telefilem yang dijayakannya.

"Selepas Nur Kasih, saya menerima banyak tawaran dari penerbit dan pengarah. Tetapi, saya ingin berehat dulu dan Januari depan baru sibuk kembali berlakon. Bukan apa, watak Nur Amina sudah cukup kuat dan jika tersilap buat pilihan, takut pula usaha selama ini sia-sia saja.

"Biarpun ditawarkan watak pembantu selepas ini, saya tidak kisah kerana yang penting jalan cerita. Sebagai contoh, kerana kekuatan jalan cerita Nur Kasih, akhirnya dapat menaikkan nama saya dalam industri hiburan tempatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: