Sunday, December 6, 2009

Tak layan gosip panas - Zally




Nama Razali Hussain atau Zally Hussain tidaklah sepopular penyanyi atau pelakon lain. Namun apabila disebut namanya tidak ada pula orang tertanya-tanya siapakah penyanyi dan pelakon lelaki yang dimaksudkan itu.

Kehadirannya pada tahun 2005 menerusi program realiti Audition musim kedua berjaya mencungkil seorang lagi selebriti. Namun apakan daya usahanya untuk mencipta nama masih belum menampakkan sinar.

Album mini yang diterbitkan dua tahun lalu dipandang sepi. Sekarang Zally giat berlakon dan memenuhi undangan mengadakan persembahan menyanyikan lagu-lagu lama khususnya lagu popular Broery Marantika.

Dalam melayari kehidupan sebagai anak seni, ada juga terpalit cerita panas berbau peribadi apabila Zally dikaitkan mempunyai skandal dengan beberapa produser wanita senior.

Selepas cerita itu Zally berhadapan pula dengan tuduhan mempunyai hubungan songsang dengan pengacara Roslan Shah ekoran mereka kerap bersama dalam beberapa siri persembahan.

Siapa yang memulakan angkara menyebarkan fitnah itu? Sedikit pun tidak menunjukkan rasa takut untuk berhadapan dengan tuduhan itu.

Adakah nama Zally hanya sinonim dengan gosip cinta luar biasa?

Zally, yang bakal mencecah usia 34 tahun pada 16 Januari depan sedia menjelaskan segala-galanya kepada Editor Mangga Online, ROSLI MANAH. Ikuti penjelasan Zally Hussain.

Tiba-tiba saja muncul gosip panas, apa cerita?

Saya pun tak tahu macam mana orang boleh salah anggap hubungan baik saya dengan Roslan Shah sehingga mengatakan kami ada hubungan. Mengarut betul! Saya ni tak kisah berkawan dengan sesiapa sahaja.

Kalau nak tahu... Roslan ibarat pengurus saya sebab dia akan mencadangkan nama saya juga apabila ada pihak yang mengundangnya menjayakan show. Selalunya dia sebagai pengacara dan penyanyi dan saya pula khas untuk golongan yang meminati lagu-lagu evergreen. Aliff AF6 pula untuk menarik peminat muda. Sebab itulah kami bertiga sering bersama menjayakan persembahan.

Dulu semasa saya rapat dengan Mak Nani (Datin Rosnani Jamil), orang mengata saya bercinta dengan dia. Orang tak tahu kami rapat sebab berhempas pulas menerbitkan drama. Bila saya rapat dengan Kak Wan Noraini pun orang mengesyaki benda sama juga.

Bagaimana melalui saat-saat gosip panas timbul?

Buat tak tahu sajalah... kita tak boleh nak layan benda-benda macam ini. Biarlah apa yang orang nak kata... yang penting kita tahu kita tidak buat kesalahan. Lama-lama senyaplah orang.

Agaknya ada orang cemburu dengan Zally?

Kalau macam itu tak tahulah saya... saya rasa saya tak ada musuh. Saya mahu berbaik dengan semua orang. Siapa pula yang cemburukan saya, sebab saya belum ada teman wanita lagi.

Bila mahu cari teman wanita?

Tolonglah carikan saya seorang... tak ada yang nakkan saya ni. Saya tak mencari, kalau ada adalah saya tak kisah walaupun tergolong dalam kategori lelaki lambat kahwin. Saya sekarang dah berumur sweet 33, saya tak kisah kalau kena tunggu lima tahun atau lebih untuk dapat calon isteri.

Sebenarnya nak cari teman wanita mudah tapi nak cari calon isteri yang payah sikit sekarang ini.

Zally tak tertarik kepada orang muda kut?

Eh! Tidak juga... dulu saya pernah ada teman wanita yang muda daripada saya. Tak ada masalah pun. Saya tak rasa macam itu... mungkin juga sebab mereka nampak imej saya yang matang dan tak sesuai dengan mereka.

Sedia terima jodoh wanita berusia?

Kalau wanita berusia yang jadi jodoh saya, saya terima saja. Tapi tengoklah tua yang macam mana? Biarlah wanita tua yang masih ada selera saya melihatnya.

Selesa didamping wanita berusia?

Seperti saya cakap tadi, saya berdamping dengan wanita berusia untuk urusan kerja. Dengan Mak Nani dulu sebab nak menguruskan produksi dan dengan Kak Wan Noraini pula untuk bisnes yang saya jalankan. Saya ada syarikat, Raz-1 Resources Sdn. Bhd. Syarikat ini menjalankan urusan trading dan juga akan menjalani produksi tahun depan.

Sudah rasa berjaya ke?

Saya dah lima tahun dalam bidang seni ni. Nak kata berjaya besar tu tak adalah tapi nak kata orang tak kenal saya langsung itu tidak juga. Kira pertengahanlah, saya tidak sepopular mana dan bukanlah tidak popular langsung. Kira tahap biasa biasa saja.

Kecewa dengan album?

Memang dulu saya pernah kecewa apabila album Kau Yang Kutunggu dipandang sepi. Saya mengeluarkan bajet sendiri menerbitkan album itu. Tapi apabila siap tak ada syarikat yang mahu memasarkannya. Sehingga sekarang album itu tidak dipasarkan.

Saya tak akan putus asa. Saya masih berhasrat nak merakam single baru.

Saya jadikan Alyah sebagai sumber inspirasi untuk berjaya. Saya perhatikan Alyah juga banyak kali kecewa sehinggalah dia sekarang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang.

Apa perkembangan baru?

Saya baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Lembing Awang Pulang Ke Dayang. Tunggulah tayangannya tidak lama lagi. Saya juga banyak undangan show. Kalau nak tahu, sehingga hujung tahun ini saya sudah banyak jadual show pada hujung minggu.

2 comments:

  1. good luck zally..sy sebagai peminat sentiasa menyokong kerjaya seni anda..ambil contoh aznil..dia berjaya menjelang umur 40 an setelah berhempas pulas dalam bidang ini sekian lama.mungkin anda juga seperti itu nanti...INSYAALLAH.....

    ReplyDelete
  2. sapa zally nie? serius tak kenal.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: