Sunday, December 6, 2009

Irama warisan masuk DFP


PENDUKUNG Irama Warisan Kita (dari kiri) Awal Ashaari dan Deborah Henry yang bakal bertindak sebagai hos, Johari Teh (konduktor) dan Aishah serta Lah Ahmad (penyanyi) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Karina Ridzuan.


SESUAI dengan imej elitnya, selama ini keterujaan untuk ke Dewan Filharmonik Petronas (DFP) biasanya adalah untuk mendengar dan menonton persembahan karya-karya klasikal agung antarabangsa.

Namun akhirnya selepas sedekad, sesuatu yang ditunggu-tunggu masyarakat tempatan diapresiasikan oleh DFP dengan kerjasama Sekretariat Anugerah Merdeka.

Masakan tidak, Wanda pasti kita sudah lama ternanti-nanti sebuah persembahan klasikal Melayu di sebuah dewan elit seperti DFP.

Akhirnya selepas sedekad, DFP dan Sekretariat Anugerah Merdeka merealisasikan persembahan, Konsert Irama Warisan Kita bermula 11 Disember hingga 13 Disember ini.

Ya, akhirnya irama warisan kita menjejakkan kaki ke dewan elit DFP bagi mempersembahkan khazanah muzik berharga kita.

Lebih mengujakan kerana buat julung kalinya Orkestra Filharmonik Petronas (MPO) akan bergandingan dengan Orkestra Remaja Filharmonik Petronas (MYPO) dan bakal dipimpin oleh konduktor Datuk Johari Salleh, juga buat julung kalinya beraksi di situ.

Sebanyak 12 lagu akan dipersembahkan melangkaui generasi dan era termasuk lagu klasik Tan Sri P. Ramlee, lagu tradisional serta lagu patriotik.

Getaran Jiwa dan Tunggu Sekejap; Seri Mersing, Tudung Periuk dan Joget Kenangan Manis; Pahlawanku, Warisan dan Bahtera Merdeka. Itu lagu-lagu yang bakal membuai perasaan kita.

Tidak ketinggalan lagu-lagu malar segar popular 90-an seperti Hijau dan Cindai serta Gema Nadi Budaya iaitu medley lagu-lagu Mega Mendung / Pandang-Pandang Jeling- Jeling / Joget Hitam Manis serta overture lagu-lagu yang akan disusun oleh Johari.

Wanda memang teruja untuk menonton persembahan tersebut yang akan turut diserikan oleh penyanyi Aishah dan Lah Ahmad serta dihoskan oleh Deborah Henry dan Awal Ashaari itu nanti.

Sekali gus ingin melihat reaksi dan sambutan serta sokongan masyarakat tempatan dan luar negara terhadap irama warisan kita di pentas berprestij itu.

Sudah tentu, persembahan itu nanti bakal menjadi penanda aras kepada sebuah kesinambungan yang diharap mampu membawa muzik Melayu klasik kita di persada yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: