|
|
MASIH ingat lagi dengan kumpulan Modread? Sebuah kumpulan yang dicungkil bakatnya melalui pertandingan Twisties Bingit pada awal tahun ini.
Kehebatan empat orang anak muda yang beradu nasib dalam pertandingan mencari kumpulan muzik baru itu seakan-akan sudah pudar apabila mana mereka langsung tidak sehangat seperti yang disangkakan.
Malah ada yang mengatakan mereka hanyalah gah dan popular sementara sahaja tetapi langsung tidak ada produk yang boleh dibanggakan.
Walhal, mereka merupakan gabungan empat kepala yang benar-benar mempunyai bakat besar sehingga berjaya menarik perhatian juri semasa pertandingan tersebut.
Inilah yang dikatakan rezeki dan untung nasib. Menjuarai sesebuah pertandingan itu bukanlah tiket untuk mereka terus berjaya tetapi ia sebenarnya adalah langkah pertama bagi sesiapa juga.
Bukan mereka tidak sedar tentang perkara tersebut memandangkan pertandingan yang sama sudahpun memasuki musim yang kedua dan kumpulan-kumpulan baru sedang bersaing pada ketika ini.
Ketika ditemui baru-baru ini, mereka tidak berkecil hati dengan apa yang berlaku tetapi mula menyedari mereka perlu melakukan sesuatu jika mahu terus kekal dalam industri muzik tanah air.
"Inilah cabaran yang paling besar bagi kami. Mahu mengekalkan nama Modread seperti mana kami muncul dan mahu peminat terus menyokong kami seperti dahulu lagi.
"Cuma yang menjadi masalah apabila single kami langsung tidak diputarkan oleh sesetengah stesen radio. Inilah yang membuatkan kami kecewa sebenarnya.
"Kenapa lagu kami tidak dimainkan? Rasanya lagu tersebut masih sama jaluran muzik dengan lagu-lagu penyanyi lain tetapi kenapa perlu berbuat demikian?
"Siapa yang tak sedih apabila mengalami situasi sebegini. Kami orang baru dah sudah pasti kami mahu mencari tapak yang lebih kukuh agar nama Modread dapat bersaing dengan nama-nama besar yang lain," kata Fami yang juga vokalis kumpulan ini.
Realiti yang sedang dihadapi oleh Modread ketika ini bukanlah satu perkara yang baru terjadi. Malah sebelum ini sudah banyak penyanyi-penyanyi lain mengalami masalah yang sama sebenarnya.
Namun itu bukanlah satu alasan untuk kita terus menuding jari kepada pihak stesen radio kerana mungkin mereka juga ada alasan mengapa lagu sesetengah penyanyi tidak diputarkan.
Bagi Fami, walaupun sedikit kecewa dengan apa yang telah berlaku kepada mereka namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus menghasilkan lagu-lagu yang baik untuk peminat mereka.
Walaupun setahun Modread menyepikan diri tanpa sebarang publisiti meluas pihak media, mereka sebenarnya sedang sibuk menantikan album baru yang sudah siap sepenuhnya.
"Kita sudah merakamkan enam buah lagu untuk album mini kami yang akan menjengah pasaran pada bila-bila masa sahaja. Walaupun hanya mengandungi enam buah lagu tetapi kami sangat berpuas hati dengannya.
"Modread kini bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone dan sudah pasti pihak syarikat yang memantau setiap perjalanan kami demi memastikan Modread menghasilkan produk yang berkualiti dan bukannya tangkap muat," jelas Fami yang mencipta semua lagu dalam album tersebut.
Selain Fami atau nama sebenarnya Muhammad Fahmi Ikhwan, 25 tahun, Modread turut dianggotai oleh Shafiq Shaharudin, 23 selaku pemain gitar, Shukri Wahab (23, bass) dan Adzeem Ali (20, drum).
Walaupun mereka kurang popular berbanding dengan kumpulan yang lain, Fami mengakui mereka masih lagi banyak menerima undangan pentas di seluruh negara setakat ini.
"Orang sering bertanyakan bila masa kami membuat persembahan? Mungkin tidak banyak publisiti yang diberikan oleh pihak media yang membuatkan peminat tidak tahu perkembangan kami.
"Modread tidak memilih persembahan. Kami juga sering kali diundang bermain di gig-gig di seluruh negara dan ia sangat menggembirakan.
"Komuniti peminat gig ini agak berbeza dengan aliran arus perdana di mana kebanyakan peminat kami adalah terdiri daripada mereka yang setia menyokong kami sejak mula-mula mencari tapak dalam bidang muzik ini," kata Fami.
Peminat boleh melayari www.myspace.com/modreadbingit atau www.facebook.com/modread untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai kumpulan ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: