![]() Scha |
Scha terus fokus kerjaya lakonan yang semakin sebati dengan jiwanya
DUA minggu lagi, kalendar 2009 bakal diucapkan selamat tinggal. Bersempena dengan sambutan Awal Muharam yang jatuh pada hari ini, Hip kembalikan ingatan semua kepada pelakon muda, Scha yang kini bakatnya semakin menyerlah.
Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir adalah antara bintang yang semakin mendapat perhatian dalam bidang diceburinya iaitu lakonan dan kini berkembang sebagai pengacara untuk program TV.
Sudah banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan termasuk meninggalkan kerjaya sebagai pramugari. Sesekali, dia pernah berasa seperti mahu saja mengundur diri kerana menyifatkan langkahnya ke bidang ini cukup mengerikan. Lumrah bergelar figura awam, hampir setiap gerak-geri langkahnya menjadi tontonan ramai.
Tahun ini juga, namanya tercalar sikit apabila kontroversi kisah peribadinya yang dikaitkan dengan Fahrin Ahmad terbongkar satu persatu. Biarpun melalui saat perit yang hampir menjatuhkan semangatnya, calon Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) ini tidak terus statik. Dia segera bingkas membetulkan kesilapannya.
![]() |
Scha terus meniti pengalaman bermakna sekali gus mematangkan dirinya.
Kata Scha, semuanya menjadi pengajaran berguna dan paling penting dia lebih berhati-hati untuk melakukan sesuatu perkara.
“Scha dapat rumuskan tahun ini menjadi tahun pengenalan buat Scha untuk terus kuat menjadi anak seni. Suatu ketika, semangat Scha hampir hilang, namun Scha bersyukur di saat menghadapi pelbagai masalah, ada insan baik yang datang memberi sokongan.
“Misalnya, untuk mengacarakan Sehati Berdansa, biarpun Scha tiada pengalaman dalam bidang pengacaraan, Scha bersyukur ada pasukan kerja serta krew program ini yang sangat menyokong. Daripada mereka dan sokongan peminat juga Scha mendapat keberanian untuk melaluinya tanpa mempedulikan kisah peribadi.
“Mengacara program secara langsung ini sepertinya Scha menempah batu nesan sendiri. Tapi alhamdulillah, lama kelamaan Scha banyak belajar untuk memastikan kelancaran program ini. Harapnya momentum program ini akan terus baik hingga ke penghujung,” katanya yang bakal menjalani penggambaran filem Cun arahan Osman Ali pertengahan Disember ini.
Anak muda kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sudah mula menggilap namanya dalam filem menerusi Histeria arahan James Lee dan Papadom (Afdlin Shauki).
Selesa kerja dengan Azizi 'Chunk'
SEPERTI kebanyakan orang lain yang mengikuti perkembangan dunia hiburan tempatan atau antarabangsa, Scha juga tidak terlepas daripada mengagumi personaliti terkenal. Dia mungkin berangan saja tetapi apa salahnya kalau ‘menyintai’ pelakon Barat yang kini boleh dilihat dalam filem The Twilight Saga: New Moon iaitu Robert Pattison.
“Entahlah! tak dinafikan Scha memang seperti jatuh cinta pandang pertama kepadanya. Sejak kali pertama menonton filem Twilight, Scha akui sudah mula gila bayang kepadanya. Selepas ini, Scha kena mencuri peluang untuk menonton sekuelnya pula.
“Karakter yang dihidupkan oleh Robert Pattison sebagai Edward Cullen seperti bersikap pelindung dan misteri antara ciri yang mungkin boleh Scha pertimbangkan jika mahu mencari kekasih selepas ini. Gaya penuh misteri yang dibawakan Pattinson membuatkan Scha sendiri teruja mengikuti perkembangan dirinya,” katanya sewaktu dihubungi Hip minggu lalu.
Ketika artikel ini ditulis, Scha baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Awan Dania musim kedua yang dibuat di Langkawi.
Sememangnya Awan Dania musim terbaru ini terus meledakkan namanya. Bagaimanapun, timbul pula banyak perkara membabitkan buruk dan baiknya untuk dia terus kekal dalam drama itu.
Ini kerana ada penonton berasakan jalan cerita musim baru Awan Dania sudah mula melalut dan sedikit sebanyak seperti memperbodohkan diri Scha sebagai teraju utama. Paling jelas, drama ini juga sudah mula bersilih ganti pelakon lain. Peranan pelakon Fizo Omar digantikan dengan watak baru lakonan Izwan Pilus. Semakin ke penghujung, semakin ramai pula wajah baru yang diperkenalkan.
Enggan mengulas lanjut perkara itu, Scha memberitahu pihak produksi sudah mula membayangkan kemungkinan menyambung penggambaran bagi musim ketiga.
Scha mengakui betapa watak Dania sudah cukup dekat dengan dirinya dan berbangga kerana drama itu antara yang mendapat rating tertinggi di saluran Astro Ria.
“Bagi Scha, komen positif dan negatif terhadap drama ini adalah bersifat subjektif dan membina. Scha suka dengan drama ini dan bangga menjadi sebahagian daripadanya terutama kepada proses untuk menghasilkannya. Setiap sudut pandangan, memang ada pro dan kontra.
“Tapi paling seronok ialah Scha dapat bekerja dengan pengarah drama ini iaitu Azizi ‘Chunk’. Scha juga akur setiap pengarah mempunyai sentuhan yang tersendiri. Kreativiti Azizi sangat baik cuma seperti musim pertama, musim kedua turut menyaksikan Azizi hanya mengarah sebahagian daripada keseluruhan siri.
“Selebihnya ditukar dengan pengarah lain. Azizi sangat kreatif dan dia ada cara untuk membuatkan drama ini menjadi lebih menyeronokkan. Mungkin drama ini sudah ada pengikutnya yang tersendiri cuma apabila penonton melihat kelainan yang wujud apabila bertukar pengarah, maka akan timbul persepsi berbeza,” katanya yang akan terus memberi perhatian melunaskan pengacaraan Sehati Berdansa yang bakal berakhir pada 26 Disember ini.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: