Friday, December 18, 2009

Menjunjung warisan bangsa


PEMIMPIN orkestra, penyanyi dan pengacara Konsert Irama Warisan Kita diperkenalkan kepada penonton.

DFP memuliakan muzik khazanah negara di tempat berprestij pada Konsert Irama Warisan Kita

KEPUTUSAN Dewan Filharmonik Petronas (DFP) memasukkan sekali konsert Irama Warisan Kita dalam kalendar program mereka bagi musim 2009/2010 sudah tentu cukup membanggakan penggiat serta peminat lagu Melayu tradisional dan klasik tempatan.

Seandainya dewan berprestij itu sebelum ini sering kali bergema dengan mainan muzik ciptaan komposer terkemuka dari Barat, pada 11 hingga 13 Disember lalu, ilham cipta komposer terkenal tempatan pula yang dipersembahkan.

Dipimpin oleh Datuk Johari Salleh, Orkestra Filharmonik Malaysia dan anak didik mereka, Orkestra Remaja Filharmonik Malaysia memperdengarkan 12 lagu yang dipilih mewakili irama klasik, tradisional dan malar segar negara ini. Lalu, berkumandang melodi klasik Seri Mersing, Cindai, Tunggu Sekejap, Bahtera Merdeka, Joget Kenangan Manis, Pahlawanku, Tudung Periuk, Hijau, Warisan dan Getaran Jiwa pada tiga malam terbabit.

Pastinya sebagai tempat berprestij, langkah DFP ini secara tidak langsung dianggap sebagai memuliakan dan menjunjung martabat seni dan warisan negara di atas tempat sewajarnya.

Turut dipersembahkan kira-kira 80 pemuzik yang mengenakan baju batik, bukannya kot hitam seperti biasa ialah dua gubahan Johari, Sabah Overture dan Gema Nadi Budaya yang menggabungkan tiga lagu - Mega Mendung, Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Joget Hitam Manis.

AISHAH terus mempamerkan kehebatan vokalnya.

Dua penyanyi terkenal, Aishah dan Lah Ahmad pula muncul di pentas, dengan masing-masing menyanyikan dua lagu. Manakala pengacara televisyen yang juga pelakon, Awal Ashaari, serta bekas Ratu Cantik Malaysia, Deborah Priya Henry, memikul tanggungjawab sebagai pengendali majlis.

Usaha DFP mengangkat irama warisan kita ke tempat yang berprestij itu sememangnya harus diberikan pujian. Jika bukan kita sendiri yang mahu memartabatkan khazanah budaya bangsa, maka siapa lagi yang akan berbuat demikian? Justeru, penganjuran konsert klasik dengan pengisian kandungan warisan tempatan cukup dialu-alukan.

Apatah lagi usaha murni itu disasarkan bagi mendekatkan generasi muda dengan khazanah berharga. Pemilihan Lah yang dikenali menerusi lagu dengan sentuhan lebih moden, umpamanya, antara langkah diambil bagi menarik penonton lebih muda mengikuti sama persembahan.

Aishah pula sememangnya masih hebat dengan lontaran vokal lantangnya, tatkala dia mengalunkan lagu Bahtera Merdeka dan Joget Kenangan Manis. Sekiranya lagu pertama yang kaya dengan elemen patriotik itu bagai sudah sinonim dengannya, irama joget itu pula sebuah lagu rancak yang pernah dipopularkan Sudirman Haji Arshad.

AWAL dan Deborah bertindak sebagai pengacara.

Namun, lagu yang benar-benar mengesankan pada malam itu tidak syak ialah Tunggu Sekejap yang digubah semula oleh Ramlan Imam, daripada ilham cipta Tan Sri P Ramlee untuk filem Sarjan Hassan, keluaran 1955. Gubahan itu tegar mengekalkan melodi indah ciptaan seniman agung berkenaan, membolehkan penonton khusyuk menikmati mainan muzik anggota kedua-dua orkestra.

Sedangkan, kebanyakan lagu lain yang dipersembahkan, bagai sudah hilang keaslian apabila penggubah Ahmad Muriz Che Rose dan Vivian Chua seperti ingin menonjolkan kepakaran masing-masing dalam mengubah suai bentuk muziknya.

Memang tampak jelas perbezaan susunan asal lagu yang terpilih untuk diperdengarkan pada konsert itu, tetapi haruskah keasliannya juga diketepikan? Apabila terlalu banyak perubahan dilakukan kepada irama asal, penonton seperti hilang punca untuk menghayatinya.

Lagu Seri Mersing dan Tudung Periuk antara lagu yang hampir tidak lagi dapat dicam ketika dipersembahkan, hasil susunan semula muziknya.

Agak bernasib baik apabila lagu Warisan masih sedikit sebanyak mengekalkan semangat asal sebagai lagu patriotik. Namun, ia disampaikan oleh Lah dengan suntikan gaya nyanyian R&B, sebagaimana dia menyanyikan lagu sendiri. Nampak janggal apabila muzik klasikal digabung dengan nyanyian seperti ini biarpun atas nama pemodenan.

Bukan menidakkan kehebatan Lah, tetapi ada ketikanya gaya nyanyian perlu menghormati bentuk lagu atau muzik yang dipersembahkan.

Konsert Irama Warisan Kita semestinya persembahan yang dilihat mampu mengangkat martabat lagu Melayu asli, klasik dan malar segar negara kita. Semoga, pada masa akan datang, lebih banyak acara seumpamanya mampu dilaksana. Cuma, apabila keaslian sesebuah lagu yang sudah diiktiraf keelokan muziknya digubah menjadi sedemikian rupa, tercalar juga rasa di hati apabila melangkah keluar dewan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: