Friday, December 18, 2009

Sleeq Teruja Sambutan Peminat Malaysia

Kebanjiran pendatang baru dalam seni suara tanah air tidak dapat dinafikan lagi, namun dapat dikira bilangan yang benar-benar berbakat untuk menyumbang kepada pembangunan industri muzik Malaysia.

Album yang dilihamkan daripada pengalaman peribadi kedua-dua anggota Sleeq, Syarif, 20, dan Alyph, 19, mengembalikan semula nostalgia pop, R&B dan hip hop terutamanya yang pernah dipopularkan Too Phat suatu ketika dulu.

Mencipta lebih 60 buah lagu dan turut menyumbang hasil seni mereka kepada Dina, Imran Ajmain, Revalina dan sebagainya, Sleeq antara bakat muda yang bakal mencetus fenomena dalam industri muzik tanah air.

"Memang kami nervous dengan sambutan peminat di Malaysia, namun bila melihatkan ramai artis Singapura dapat penerimaan yang bagus di sini, kami juga harus mencuba.

"Kalau boleh kami ingin mengumpul seramai mungkin pendengar di sini yang boleh menerima muzik Sleeq. Jika di Singapura sendiri, kami mempunyai pengikut tersendiri yang sudah selesa dengan style muzik kami," ujar mereka yang popular dengan lagu Cun Saja.

Pendatang baru dari Kota Singa ini mula mendapat perhatian untuk melebarkan sayap ke Malaysia setelah diperkenalkan kepada Metadome Sdn. Bhd. sewaktu menjayakan persembahan bersama Kris Dayanti di Singapura.

"Kami memang nak teringin sangat untuk memasarkan album ke luar, namun kami tak banyak kenalan dalam industri dan menyebabkan kami lebih senang bergerak sekitar Singapura.

"Peluang yang datang sewaktu berjumpa orang kuat Metadome umpama mimpi. Setelah berbincang dan didorong oleh Imran Ajmain ( juga di bawah label Metadome) kami ambil keputusan untuk melangkah setapak ke hadapan untuk bertemu peminat di Malaysia," tegas Syarif sewaktu pelancaran album Sleeq berjudul Classiq di Kuala Lumpur.

Cun Saja Jadi Trend Di Singapura

"Kami banyak luangkan masa dengan orang Malaysia dan banyak perkataan baru yang kami belajar termasuklah perkataan cun. Memang banyak yang kami belajar sehingga datang idea untuk luahkannya dalam bentuk lagu.

"Cun Saja dibuat khas untuk dijadikan trend di Singapura. Kami nak mereka turut belajar perkataan tersebut. Dan bila lagu Cun Saja mula dimainkan di radio, memang perkataan itu mula diucapkan di kalangan mereka. Kami pula seolah-olah macam dapat A dalam exam bila dengar lagu Sleeq dimainkan di radio," seloroh Alyph.

Kenapa Q?


Jika dilihat Sleeq banyak bermain dengan Q dalam setiap album dan lagu ciptaan mereka. Ini ulasan Alyph.

"Kami gunakan Sleeq kerana makna yang ada padanya, iaitu licik, relax dan smooth.

"Dan Q dalam kebanyakan lagu kami kerana Q menggambarkan keunikan (Unique). Kami nak jadikannya sebagai identiti Sleeq.

Album terbaru Sleeq Classiq kini telah pun berada di pasaran dengan memuatkan 13 buah lagu di mana hampir keseluruhannya hasil ciptaan mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: