Thursday, December 24, 2009

Skim Wajib Tayang diperketatkan


MAHYIDIN bersama penerima Galakan Duti hiburan sempena Majlis Santai Mesra Seniman dan Seniwati Legenda di Galeri Perfileman Malaysia, baru-baru ini.

Pemilik panggung tidak boleh ganggu penayangan filem tempatan sewenang-wenangnya

BAGI memantapkan lagi Dasar Perfileman Negara (DFN) yang objektifnya untuk membantu membangunkan industri perfileman tempatan supaya lebih berdaya maju dan berpeluang ke peringkat antarabangsa, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengadakan sistem retreat untuk menilai semula strategi pelaksanaan dasar terbabit.

Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim, berkata sistem yang sudah dilaksanakan pada November lepas itu menghasilkan empat usul yang akan dibentangkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKKM) pada Januari depan untuk tindakan lanjut.

“Empat usul itu adalah untuk menempatkan wakil yang terdiri dari karyawan filem untuk skim filem cereka, wakil dalam skim wajib tayang, mengadakan kerjasama lebih kerap dengan produksi luar negara dan memanjangkan tempoh wajib tayang untuk filem tempatan.

“Usul ini terhasil selepas kami melaksanakan sistem reatreat November lepas dan semua ini akan kami bawa ke pengetahuan kementerian untuk dibincangkan,” katanya.

Mengenai pemanjangan tempoh wajib tayang seperti yang dipinta kebanyakan produser, Mohd Mahyidin berkata walaupun dilaksanakan oleh kebanyakan pemilik pawagam namun ia akan diperketatkan lagi bagi memastikan kepentingan karyawan filem tanah air tidak diabaikan.



“Memang pemilik pawagam mematuhi syarat wajib tayang ini tetapi ia didakwa kurang berkesan untuk membantu filem tempatan. Jadi selepas ini, jika ada mana-mana filem tempatan yang jumlah penontonnya melebihi 30 peratus, filem itu harus dikekalkan di pawagam walaupun pada masa yang sama ada filem blockbuster dari Hollywood hendak ditayangkan.

“Ini bagi memastikan nasib filem tempatan diberi layanan sewajarnya,” ”tegasnya.

Mohd Mahyidin berkata demikian ketika ditemui pada majlis santai mesra Seniman dan Seniwati Legenda serta penyerahan duti hiburan di Galeri Perfileman Malaysia, Jalan Pahang, Isnin lalu. Hadir sama Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Maria Menado, Datin Umi Kalsum dan Mariani.

Di majlis itu, Finas memberikan RM2.4 juta kepada keseluruhan 26 filem tempatan dari lapan buah produksi filem tempatan menerusi Galakan Duti Hiburan.

Mendahului senarai adalah MIG Production Sdn Bhd apabila menerima duti hiburan sebanyak RM1.3 juta menerusi sembilan filem terbitannya iaitu Congkak, 'I'm Not Single', Jangan Tegur, Rempit, Syurga Cinta, Brainscan, Senario The Movie - Epsiod 1, Selamat Pagi Cinta dan Jangan Pandang Belakang.

Menduduki senarai kedua tertinggi adalah Primeworks Studio melalui empat filem iaitu Sifu dan Tongga, Susuk, Kami dan Budak Kelantan serta memperoleh RM776,584. Filem Bohsia di bawah Skop Productions pula menerima RM53,670, sementara KRU Productions dengan penerbitan dua filem Cicakman 2:Planet Hitam dan Jin Notti meraih RM97,952.

Empat produksi lain yang masing-masing menerbitkan sebuah filem iaitu Da Huang Pictures melalui filem Punggok Rindukan Bulan menerima RM4,459, Les Copaque melalui filem Geng Pengembaraan Bermula menerima RM182,562, Galaksi Seni melalui filem Momok The Movie menerima RM215,391 dan Vision Works dengan filem Los Dan Faun menerima RM27,435.60.

Mengulas kutipan duti hiburan diperoleh tahun ini, Mahyidin berkata beliau berpuas hati kerana jumlahnya meningkat sebanyak 25 peratus.

“Jika tahun lalu sebanyak RM43 juta ringgit berjaya dikutip, tahun ini kita dapat mengutip lebih 50 juta ringgit. Tahun depan pula kami mensasarkan sebanyak RM55 juta berjaya dikutip.Ini berdasarkan penambahan jumlah filem yang ditayangkan serta bakal ditayangkan kelak.

“Penambahan itu juga berdasarkan pertambahan penonton dan juga bilangan skrin di pawagam. Tahun depan dijangkakan enam pawagam dibina dan ini bermakna lebih 30 skrin dihasilkan. Bayangkan berapa ramai penonton boleh diisi apabila kita mempunyai 98 pawagam pada tahun depan. Saya berharap tahun depan akan lebih membawa sinar baru kepada industri perfileman tempatan,” katanya.

Ditanya apakah pihaknya bercadang untuk menaikkan cukai duti hiburan yang sebelum ini kekal sebanyak 25 peratus, Mahyidin berkata perkara itu terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

“Itu terpulang kepada kerajaan negeri kerana mereka yang mempunyai hak untuk berbuat begitu. Bagaimanapun, perkara ini akan menimbulkan kesan negatif kepada penerbit filem kerana apabila duti hiburan dinaikkan, bermakna harga tiket juga tinggi. Bimbang pula penonton nanti tidak berminat untuk ke pawagam,” katanya.

Pada majlis itu, penonton turut disajikan dengan sesi mengimbas kembali detik-detik manis seniman dan seniwati undangan sewaktu membintangi beberapa filem yang masih dikenang sehingga kini. Antara filem yang dipertontonkan itu termasuklah Ali Baba Bujang lapok, Si Tanggang, Bidasari, Bawang Putih Bawang Merah dan Labu Labi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: