![]() BARISAN pelakon yang menjayakan filem Muallaf. |
Filem terakhir Yasmin sedia hadapi reaksi penonton tempatan
MUNGKIN hasrat kebanyakan media yang hadir menonton tayangan filem Muallaf untuk bertanya soalan lanjut serta kemusykilan terbantut kerana seperti diketahui pengarahnya Yasmin Ahmad meninggal dunia pada 25 Julai lalu.
Dan, kemungkinan juga Muallaf adalah filem pertama dalam sejarah perfileman tanah air apabila pengarahnya meninggal dunia sebelum sempat dipertontonkan. Bagaimanapun Muallaf sudah pun ditayangkan di luar negara iaitu Singapura, Brunei dan Jepun lebih setahun lalu.
Di negara, Muallaf hanya memasuki panggung hari ini berikutan beberapa kontroversi dan terpaksa ditangguhkan atas sebab tertentu.
Sidang media yang diadakan sebaik Muallaf selesai dipertontonkan berlangsung dalam suasana penuh emosi. Adik Allahyarham, Datin Orkid yang mewakili keluarga Yasmin masih lagi bersedih di atas pemergian mengejut kakak tersayang. Begitu juga pelakon yang membintangi filem ini, masing-masing tidak dapat menahan sebak.
Filem Muallaf menimbulkan kontroversi kerana isu pelakon utamanya Sharifah Amani membotakkan kepala. Sejak itu Muallaf dibidas dan mendapat kritikan hebat, namun isu yang diperbesarkan hanyalah babak yang muncul tidak sampai berapa saat.
![]() |
| ORKID (tengah) tidak dapat menahan sebak ketika menghadiri sidang media Muallaf. |
Bagi yang menggemari karya Yasmin, filem kelima arahannya itu tentu sekali menjadi sebuah lagi karya dikagumi. Biarpun teruk dikritik, ketika hayatnya masih ada, Yasmin tidak pernah patah semangat untuk menghasilkan filem.
Filemnya sentiasa memaparkan kesaksamaan kaum dan toleransi agama sehingga dia dituduh terlalu liberal dan menyebabkan sesetengah orang kurang senang dengan keterbukaan pengarah itu.
Muallaf jelas Yasmin yang dipetik daripada beberapa kenyataan ketika beliau masih hidup, hanyalah sebuah filem ringan mengenai dua beradik Rohani dan Rohana yang melarikan diri dari bapa mereka berstatus datuk kerana tidak tahan dengan sifat kejamnya. Ani dan Ana mempunyai sikap pelik menyebut nombor daripada ayat al-Quran, kitab Tao Te Ching dan Injil.
Namun bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai ilmu setinggi Yasmin dan orang bijak pandai agama, ungkapan ayat dari al-Quran dan Injil itu boleh membuatkan terpinga-pinga apabila menontonnya terutama apabila dua beradik itu menyebut mengenai wahabi, tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Istilah itu tidak dizahirkan oleh sebarangan orang. Tidak mungkin ia boleh topik perbualan oleh orang biasa di kedai kopi seperti mana yang dilakukan oleh dua beradik itu dalam filem ini.
![]() |
| TIGA tonggak utama Amani, Brian Yap dan Aleysha. |
Bagaimanapun Yasmin masih dengan trademark memaparkan kesaksamaan kaum dan agama yang tidak banyak pengarah tempatan mampu lakukan. Dia tidak berat sebelah, sebaliknya Yasmin memaparkan kebaikan setiap agama yang menuntut umatnya berbuat baik dan menunjukkan sikap kasih sayang.
Di akhir cerita Muallaf sebenarnya hanya mahu mengajak penonton menanam sifat kasih sayang dan sentiasa memaafkan seperti mana Ani dan Ana yang akan memaafkan setiap orang yang menyakiti mereka sebelum tidur. Mungkin itulah ringan yang dimaksudkan pengarahnya.
Muallaf adalah sebuah kisah benar kata Datin Orkid. Cerita mengenai Brian Goh yang didenda berbogel kerana melakukan onani pada usia yang masih kecil dalam filem ini adalah kisah benar yang berlaku kepada salah seorang sahabat Allahyarham.
Begitu juga kisah Rohani yang dibotakkan kepala oleh bapanya pula adalah kisah yang berlaku kepada rakan kepada anak saudara mereka kerana dihalang oleh bapanya dari bertemu dengan jejaka berlainan agama.
“Dua babak ini sebenarnya hampir dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) tetapi kakak saya tidak mahu adegan itu dipotong. Jika dua babak ini dipotong maka tiadalah cerita dalam Muallaf. Filem kedua terakhir Allahyarham ini sepatutnya ditayangkan Julai lalu, namun disebabkan saingan daripada filem luar ketika itu iaitu Harry Porter, kakak tangguhkan dulu tayangannya. Sepatutnya Muallaf belum lagi ditayangkan namun dengan bantuan Datuk Farid Ridzuan dan Ahmad Puad Onah, filem ini berjaya ditayangkan pada Disember.
“Cerita ini bukan rekaan tetapi kisah benar. Filem yang arwah hasilkan semuanya kisah benar, kakak saya tak payah fikir macam mana hendak reka cerita. Contohnya Rabun mengenai ibu bapa kami, Sepet pula kisah percintaannya, Gubra mengenai perkahwinan Allahyarham dan Mohsin pula mengenai kami adik beradik,” kata Orkid.
Amani risau tiada pelindung
PELAKON yang cukup sinonim dengan Yasmin, Sharifah Amani pula melahirkan kebimbangan berdepan penonton dan pengkritik filem tanah air kerana tiada lagi pelindung yang sentiasa tampil dengan hujah bernas. Segala kritikan yang bakal dilemparkan nanti harus dihadapi sendiri.
“Saya takut kerana tidak ada lagi pelindung yang akan melindungi apabila dikritik. Allahyarham seorang yang sangat bijak, dia sentiasa mempunyai jawapan bernas yang ada kalanya langsung tidak terjangkau oleh fikiran orang biasa seperti kita. Allahyarham bukan jenis yang mudah melenting seperti saya kerana saya seorang yang suka bercakap lepas apabila diusik,” kata Amani.
Kelihatan cukup tabah pada sidang media berkenaan, Amani bagaimanapun memberitahu dia hanya dilihat tabah ketika di khalayak ramai. Namun apabila pulang ke rumah, dia akan merindui arwah dan tidak mampu menahan air mata.
“Walaupun Allahyarham tiada pada hari ini, saya masih bernasib baik kerana sempat menghadiri tayangan filem ini di luar negara seperti Singapura, Brunei dan Jepun,” katanya yang sedikit sebanyak terbawa-bawa perangai Rohani yang penyabar.
Bagi Ning Baizura pula, perkenalan selama 10 tahun bersama-sama arwah bukanlah satu jangka masa lama. Bagaimanapun dia bersyukur kerana impian untuk berlakon di bawah pengarah itu tercapai biarpun cuma untuk beberapa babak saja.
“Setiap kali berjumpa dengan arwah saya selalu melobinya supaya ambil saya berlakon. Akhirnya setelah beberapa kali mencuba nasib, Yasmin berikan juga kepada saya watak. Walaupun watak saya kecil, namun saya berasa bertuah kerana dapat juga berlakon di bawah arahannya,” kata Ning yang memegang watak ibu tiri Rohani.
Selain Amani dan Ning Baizura, Muallaf turut dibintangi Sharifah Aleysha, Brian Yap, Tony Savarimuthu, Datuk Rahim Razali, Tan Mei Ling serta ramai lagi.
Sinopsis Muallaf
Dua beradik Rohani dan Rohana, melarikan diri daripada layanan buruk bapa mereka yang kaya. Mereka mendapat perlindungan di sebuah bandar kecil dan berkenalan dengan Brian Goh, seorang guru muda di sekolah Katolik. Brian amat tertawan dengan dua beradik berkenaan. Tertarik dengan dua beradik yang amat berani dan tabah menghadapi kesusahan, persahabatan mereka memaksa Brian berhadapan dengan sejarah hitam yang menghantuinya. Brian mula hilang kepercayaan kepada agama setelah didenda berbogel di depan orang ramai kerana melakukan onani oleh bapanya seorang alim katolik. Sejak itu, Brian tidak berkunjung ke gereja dan jarang pulang menziarah ibunya. Pengarah Yasmin Ahmad menyelami kemungkinan adanya emosi setelah trauma akibat dilukai orang yang dikasihi. Menyingkap kisah tiga jiwa yang masih mencari erti kehidupan sebenar dan bagaimana mereka menempuh suka duka bersama, Muallaf meraikan erti persahabatan, kemaafan dan penerimaan terhadap sejarah silam.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: