Thursday, December 24, 2009

Tuah badan


Mas Muharni

Penyertaan Mas Muharni dalam FFAP53 di Taiwan dicemburui

DIPERKENALKAN oleh Prof Hatta Azad Khan menerusi filem Wayang, nama Mas Normuharni Sheikhah Mohd Sattar atau lebih dikenali sebagai Mas Muharni kini sedikit demi sedikit mengumpul peminat sendiri hasil penampilan dalam filem yang dinobatkan Filem terbaik Anugerah Skrin 2009 itu, serta lakonannya dalam beberapa drama.

Graduan Diploma Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini turut membintangi filem Jangan Pandang Belakang Congkak. Ketika artikel ini ditulis, dia berada di lokasi penggambaran filem seram Mantra terbitan MIG.

Begitupun, lakonannya sebagai Mariam dalam filem yang turut dilakonkan Hasnol Rahmat dan Zul Handy Black itu terhenti seketika apabila Mas dipilih mewakili Kuala Lumpur ke Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-53 di Kaohsiung, Taiwan di atas tiket filem Wayang. Lalu, terbanglah Mas bersama 14 anggota delegasi yang lain pada 16 Disember lalu. Dia berada di sana selama lima hari.

Gadis manis dari Sungai Petani, Kedah, nyata amat berbangga dengan pemilihan filem sulung lakonannya ke festival terbabit, biarpun Wayang gagal membawa pulang sebarang kejayaan kepada negara. Dua filem lain yang turut mewakili ibu kota ini ialah Talentime dan Papadom.

"Ia pengalaman pertama saya mewakili negara atas tiket filem ke festival peringkat antarabangsa. Pada awalnya, saya agak risau juga, maklumlah saya belum pernah terbang sejauh ini untuk ke mana-mana festival. Bimbang juga saya kalau sukar untuk menyesuaikan diri dengan anggota delegasi serta tempat yang cukup asing.

MAS (dua dari kanan) bersama sebahagian anggota delegasi Kuala Lumpur dan Macau. Delegasi negara diketuai Ahmad Puad Onah (kanan).

"Namun semua kerisauan itu cepat berlalu apabila saya mendapati rakan pelakon serta anggota delegasi lain begitu mesra dan Kaohsiung sendiri sebuah kota yang seronok untuk dilawati. Saya amat gembira dapat berada di sana," kata pelakon berusia 23 tahun ini yang sempat menonton filem dari Jakarta, Jamila & Sang President yang ditayangkan sempena FFAP53.

Katanya, peluang diberikan Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) serta Finas untuknya menjejakkan kaki ke Taiwan mewakili Wayang cukup bermakna buat dirinya.

"Apatah lagi ia filem pertama lakonan saya. Saya percaya, masih ramai pelakon serta penggiat filem lain yang ingin mewakili negara ke festival segah FFAP, tetapi peluang itu nampaknya menjadi milik saya yang masih baru ini. Kawan-kawan saya juga berkata mereka sangat cemburu apabila mendapat tahu saya akan terbang ke sini mewakili filem arahan Prof Hatta," katanya sambil tersenyum mesra.

Kata Mas, dia tentu sekali tidak meletakkan harapan untuk memenangi apa-apa anugerah pada FFAP53, mengenangkan saingan yang bukan calang-calang dari ibu kota peserta.

PAKAIAN tradisional yang dikenakan Mas pada malam kemuncak, menarik minat anggota delegasi lain pada FFAP53.

Sebanyak 17 ibu kota dari Asia pasifik menghantar penyertaan mereka pada festival yang bermula pada 1954 di Tokyo itu.

Namun apa yang paling penting, katanya, peluang itu digunakan untuk menimba pengalaman baru serta berkenalan dengan anggota delegasi kota lain yang sama-sama hadir bagi menghidupkan kembali FFAP selepas dua tahun tidak dianjurkan.

Makin cintai seni

SELEPAS muncul dengan Wayang kira-kira dua tahun lalu, Mas disambar MIG untuk membintangi filem Jangan Pandang Belakang Congkak yang mencatat kejayaan memberangsangkan dengan kutipan mencecah RM6 juta. Kini, dia menjayakan filem Mantra pula, yang dijangka siap penggambarannya akhir bulan ini.

Ketika ini, pelakon berambut panjang ini turut membintangi siri Jangan Pandang Belakang untuk siaran TV2. Siri seram itu muncul antara program paling digemari di saluran berkenaan sehingga ia disambung ke musim kedua.

Bercerita mengenai Mantra, pelakon ini memberitahu dia kini mengerti betapa seksanya apabila wajah perlu disolek berjam-jam bagi menjadikan watak wanita berpenyakit misteri benar-benar berkesan.

"Dalam filem ini, saya diberikan peranan sebagai Mariam, isteri Hamdan. Dia terkena penyakit pelik, dirasuk dan terpaksa diikat bagi mengawal keadaan dirinya. Watak itu memerlukan saya disolek khas. Babak membabitkan saya memerlukan masa agak panjang untuk dirakam. Bermula dengan solekan jam 4 petang, saya hanya boleh mencuci muka pada 9 pagi keesokannya.

"Kini baru saya tahu betapa perit apabila terpaksa disolek begini. Selama ini, saya hanya menonton watak seram orang lain. Ketika itu saya berkata sendiri, alangkah bagusnya jika saya juga dapat disolek ‘cantik’ sebegini. Sekarang, barulah saya sedar kesukarannya. Namun sebagai pelakon, saya tidak kisah disolek buruk sebegitu kerana saya memang ingin mencuba watak seperti itu. Saya juga bersedia untuk memainkan watak seram lain jika ada tawaran sedemikian pada masa depan," katanya.

Ditanya watak impiannya selepas ini, Mas berkata, dia teringin menjayakan filem yang memerlukan dia beraksi lasak serta filem tarian.

"Saya sebenarnya memang suka menari. Selepas menamatkan pengajian di UiTM, saya pernah menyertai kumpulan penari Wilayah Persekutuan dan Petronas. Mungkin atas sebab itu, saya sukakan filem tarian. Filem lakonan Jessica Alba, Lil' Romeo dan Mekhi Phifer berjudul Honey ialah antara filem kegemaran saya sampai ke hari ini," cerita Mas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: